Showing posts with label Tips Kekeluargaan. Show all posts
Showing posts with label Tips Kekeluargaan. Show all posts

Saturday, 25 February 2017

Ibu Bapa Lebih Aktif Ber'Facebook'

           ‘Do as I say, Not as I do’. Dalam pada kerisauan ibu bapa dengan gejala ketagihan anak-anak terhadap gadget serta media sosial, sejauh mana ibu bapa sendiri menunjukkan teladan terbaik sebagai role-model untuk dicontohi? Sebab itu, sebelum ibu bapa menegah anak-anak, silalah cermin diri sendiri dahulu akan tabiat yang mungkin tak disedari betapa kita juga adakalanya terleka.

1. Kajian yang dilakukan oleh Facebook pada tahun 2016, mencatatkan secara global, golongan ibu bapa sebenarnya adalah lebih aktif berfacebook berbanding golongan bujang (non parents). Mereka lebih kerap berkongsi gambar anak-anak, video, links yang berkaitan dengan hal keibubapaan.

Sumber : insights.fb.com
2. Perbezaan dengan interaksi post status yang biasa, post gambar bayi sulung pasangan yang baru berkahwin akan mendapat 37% respons daripada ahli keluarga dan 47% respons daripada kawan-kawan. Ini sekaligus memberi ransangan kepada ibu bapa untuk lebih berkongsi perkara-perkara menarik tentang anak-anak mereka di media sosial terutama facebook.

3. Daripada 1.6 juta responden kajian, 56% yang melayari Facebook adalah golongan yang bergelar ibu bapa baru (new parents). Ibu bapa yang baru memiliki cahaya mata ataupun anak berusia kurang daripada setahun, menjadikan gadget sebagai satu-satunya alat untuk berhubung dengan dunia luar seperti keluarga, kawan-kawan mahupun mendapatkan maklumat produk.

         Ini memandangkan, kelahiran bayi secara tidak langsung mengubah jadual kehidupan. Misalnya, ibu akan lebih banyak berjaga di waktu malam dan tidur pada waktu siang. Bapa pula akan mengehadkan waktu bersama kawan di gym ataupun melepak bagi menumpukan kepada penjagaan anak pertama.

        Ibu bapa baru atau yang menjaga anak masih bayi juga cenderung menjadikan gadget sebagai ‘escapism’- menghilangkan tekanan dan mengalihkan perhatian sebentar daripada rutin yang memenatkan. Kebiasaannya, waktu melayari internet mereka ialah seawal pagi. Mereka juga memilih untuk saling berkongsi info berkaitan produk yang digunakan dan yang terbaik di pasaran bagi mendapatkan jaminan serta kualiti sesuatu produk yang digunakan oleh orang lain.


Sumber : mobilecommercepress

3. Fakta tersebut disokong oleh hasil kaji selidik Common Sense Media yang membuktikan ibu bapa menghabiskan masa selama 9 jam 22 minit di media berskrin (televisyen, permainan video dan jaringan sosial) menyamai jumlah masa yang dihabiskan oleh golongan kanak-kanak berumur 9-12 tahun setiap hari.

4. Akhbar Mirror,UK mendedahkan kajian yang dilakukan terhadap 1,200 remaja dan ibu bapa mengenai ‘Kesedihan Anak-anak Di Sebalik Ketagihan Ibu Bapa Terhadap Media Sosial’ mendapati bahawa 41% responden remaja berpendapat ibu bapa tidak mengendahkan anak-anak kerana terlalu asyik dengan gadget. Manakala 51% menyatakan mereka melihat ibu bapa melayari internet ketika di dalam kereta walaupun mereka ada bersama.

         Ini adalah cabaran ibu bapa dalam membina keluarga di zaman siber. Tiada salahnya menikmati kecanggihan teknologi yang ada, selagi mana kita tahu menggunakannya dengan cara yang betul dan mendidik anak-anak untuk menjadi pengguna yang bertanggungjawab. Adalah penting untuk ibu bapa memastikan wujudnya kebersamaan dengan anak-anak dalam apa jua perkara dan situasi. Usah biarkan anak-anak memandu hidupnya sendiri. Fasa anak-anak membesar adalah masa yang tidak dapat di kebelakangkan.

        Menjadi ibu bapa adalah anugerah. Namun menjadi ibu bapa terbaik adalah rezeki yang tidak Tuhan kurniakan kepada semua manusia yang mampu melahirkan anak. Berusahalah!

Saturday, 18 February 2017

Kanak-kanak Diberi Kerja Sekolah, Ibu Bapa Perlu Ambil Kisah

"Tiada kajian membuktikan terdapat kebaikan kepada kanak-kanak (preschool) yang dibekalkan dengan kerja sekolah. Semuanya adalah tekanan dan tidak memberikan sebarang hasil." Kenyataan oleh Alfie Kohn (Pakar Pendidikan & Keibubapaan) dalam artikel parenting.blogs.nytimes.com.

Sumber : kidspot.com.au
            Aku yakin ramai yang berbeza pendapat berkaitan hal ini. Al-maklumlah, bab mendidik ni pun punya banyak mazhab. Biarpun masih ada yang menyatakan terdapat faedah, aku tetap 100% bersetuju, setelah menghabiskan masa 5-6 jam di tadika, memberikan kerja sekolah kepada kanak-kanak tadika (4-6 tahun) dalam bentuk latihan seperti menulis, mewarna, menampal dan sebagainya adalah tidak praktikal. 

1. Masa di rumah adalah ruang untuk kanak-kanak berehat & bermain dengan ahli keluarga.
2. Kanak-kanak perlu dibantu untuk membuat aktiviti menulis, melukis, mengira dan sebagainya bagi menimbulkan keseronokan serta membina perkembangan minda. Tidak semua ibu bapa dapat menumpukan perhatian melayan karenah kanak-kanak membuat kerja rumah.
3. Tanpa perhatian dan sokongan, menyiapkan kerja sekolah bersendirian mendorong kanak-kanak membuatnya dalam keadaan 'paksa-rela'.

          Realitinya, ibu bapa yang tak sibuk di rumah pun, lebih selesa bagi anak-anak main gadget, apatah lagi dengan ibu bapa yang memang dah sibuk setiap masa. Ahakss! Walaubagaimanapun terdapat kaedah lain yang boleh menggantikan kerja sekolah:

1. Memberi latihan penjagaan / pengurusan diri seperti meminta kanak-kanak mencuci tangan sebelum dan selepas makan, meletakkan kasut di rak, menyimpan barang mainan, sikat rambut dan sebagainya apabila di rumah.
2. Menggalakkan pembacaan dengan meminta mereka mengenalpasti imej ataupun label pada produk makanan seperti huruf C pada Cornfleks, M pada Milk, etc semasa bersarapan di rumah.
3. Mendorong kanak-kanak menyelesaikan masalah mudah (problem solving skills) seperti membuka tin susu.
4. Membantu kanak-kanak membina keyakinan diri dengan memberikan peluang membuat keputusan (desicion making skills) seperti memilih menu ketika di kedai makan.

          Ini hanyalah sebahagian daripada kaedah. Jadinya, ibu bapa yang merasakan kerja sekolah adalah suatu bebanan daripada aspek masa, emosi ibu bapa mahupun kanak-kanak sendiri, haruslah berbincang dengan cikgu tadika anak-anak mereka. 

         Janganlah apabila cikgu tadika memaklumkan terdapat kerja sekolah, ibu bapa terus mendesak anak-anak untuk memastikan kerja tersebut disiapkan. Di peringkat ini, alam pembelajaran kanak-kanak seharusnya menjadi momen yang menyeronokkan bukan sebaliknya membiarkan mereka menyiapkan kerja sekolah bersendirian dan merasa tertekan.

         Apa yang kita cuba elakkan ialah kejadian-kejadian seperti ini Dipukul Tak Siap Kerja Sekolah Terdapat banyak kemungkinan dan tak mustahil salah satunya kerana dari kecil kanak-kanak diberi gambaran yang salah berkaitan tanggungjawab terhadap kerja sekolah.

        Hak kanak-kanak adalah untuk riang gembira bersama keluarga. Mereka punya masa yang panjang lagi untuk mengenali apa itu kerja sekolah dalam kamus hidup zaman kanak-kanak!

Sunday, 12 February 2017

Misi 3 Bulan Pandai Jawi : Mengecam & Menghafal Bentuk Huruf

      Kelas bukan sebarang kelas. Kelas intensif jawi sampai budak boleh membaca pantas. Siapa ada anak yang tak pandai membaca Jawi? Meh, aku bantu ajarkan. 

      Aku pada awalnya berniat kerana ingin menolong sahabat adik yang mencari guru di kelas fardhu ain buat sementara. Bagi menjaga student yang bakal menghadapai ujian penilaian akhir tahun.

         Namun bermula dari September tahun lepas, hingga sekarang aku masih kekal mengajar di situ. Memandangkan ia adalah kelas fardhu ain persendirian, studentnya agak terhad dan hanya ada dalam 10-15 pelajar dalam satu kelas. Selesa dan tak memeningkan kepala. Cuma bezanya masuk tahun ini matlamat aku tidak lagi sekadar menjadi guru ganti.

           Baru aku sedar betapa sukar rupanya mengajar Pendidikan Islam untuk budak yang buta Jawi. Hampir separuh daripada budak yang mendaftar tahun 3 dan 4 tidak boleh membaca Jawi langsung. Ada yang kenal huruf tetapi tidak tahu menyebut. Ada pula yang tahu sebut tetapi hurufnya entah mana hala. So, macam mana nak disuruh membaca buku teks atau membuat latihan dalam buku aktiviti, kan.

            Tak mengapa. Aku sahut cabaran ini. Aku ada sekurang-kurangnya 3 bulan untuk aku pastikan anak-anak didik aku boleh membaca Jawi dengan baik. Buat masa ini, aku ketepikan dahulu subjek aku yang lain iaitu Aqidah & Sirah (which is my favorite). Tidak boleh nak dipanjangkan tempoh lebih lama dengan mengambil kira agar budak-budak tu pun tak tertinggal untuk belajar subjek selain Jawi. Permudahkan urusan aku Ya Allah!

           Aku takde strategi atau teknik tertentu. Aku percaya prinsip asas belajar Jawi pun samalah macam membaca Al-Quran. Nak tak nak, kena betul-betul mengecam huruf dan sebutannya. Ada kaedah yang boleh membaca Jawi hanya dalam masa 4 jam katanya. Tapi tak pulak aku beli modul tu. Aku buat jelah kaedah aku sendiri sebab tahap kemahiran budak-budak bukannya sama semua. 

          Untuk dua minggu pertama Februari, aku telah mula mengulang-ngulang sama ada dengan cara menulis atau menghafal huruf-huruf jawi. Alhamdulillah ada dua tiga student yang dah menunjukkan kemajuan. Baru proses mengenal. 


Lam, Le, L

       Aku buat latihan dengan cara memberi perkataan Jawi yang ditulis tidak bersambung, kemudian menukar kepada huruf rumi. Misalnya, ejaan huruf Sin, Kaf, Wau, Lam, Ha ditukar kepada "Sekolah". Aku juga mula sedikit demi sedikit masuk topik baru iaitu huruf vokal Jawi. Alif, wau dan ya. Aku tak pasti sama ada cara aku ini betul atau salah. Tapi pada aku, takde salahnya untuk aku bereksperimentasi. 

      Apapun aku harus bersabar mendidik anak-anak yang menghadapi masalah pembelajaran sebegini. Mereka bukan sahaja lemah Jawi tetapi juga tidak cekap membaca Bahasa Melayu. Tak sabar untuk aku melihat perkembangan mereka hari demi hari. Moga usaha aku ini mendapat keberkatan dan membuahkan kejayaan! Insha Allah. 


Saturday, 11 February 2017

Ibu Bapa Kerja Pejabat Yang Berniaga: Bimbang Tak Cukup atau Takut Kurang?

      Aku adakala tertanya-tanya. Apakah tujuan sebenar orang sekarang berniaga? Aku yakin dengan situasi masyarakat pada hari ini, dalam kelompok sepuluh orang, pasti akan ada dua orang yang berniaga. Tak kiralah berniaga dropship online ke, berniaga produk buatan sendiri ke, berniaga perkhidmatan atau sebagainya. Janji berniaga.

     Aku tak hairan kalau yang berniaga ini adalah di kalangan golongan yang berpendapatan rendah ataupun hanya salah seorang di antara pasangan suami isteri sahaja yang bekerja. Apatah lagi yang menyara anak lebih daripada tiga orang. Aku rasa anak tiga orang pun sudah besar kos sara hidup yang ditanggung ketua keluarga dengan kenaikan harga barang. 
     
    Apapun, yang aku musykilkan adalah dengan golongan berpendapatan sederhana (RM2,000-RM3,000) mahupun bergaji lebih besar di mana suami isteri kedua-duanya bekerja tetap dan makan gaji setiap bulan. 

   Adakah berniaga merupakan solusi untuk menambah pendapatan, menampung masalah kewangan, sekadar mengikut sunnah nabi atau suka-suka macam hobi? 

     Tidak ada salahnya untuk berniaga. Persoalannya, andaikata dua-dua bekerja dan membuat kerja sampingan dengan berniaga, siapakah yang fokus menjaga hal-ehwal keluarga? Dan sejauh mana pula usaha berniaga tersebut dapat menjamin status HALAL hasil yang diperolehi dengan kekangan tenaga dan masa?

        Bukan apa, aku berkira-kira dengan tempoh 24 jam yang perlu diisi oleh kitaran manusia normal yang membuat dua ke tiga kerja dalam sehari.

8.00 pagi - 5.00 petang
9 jam bekerja di pejabat

5.00 petang - 10.00 malam
4 jam 30 minit di rumah (tolak setengah jam kesesakkan perjalanan balik) 

-1 jam menyediakan makan & minum keluarga
-1 jam makan malam & rehat
-2 jam membersihkan diri, memastikan anak-anak solat & mengajar anak membaca al-Quran
-Hanya baki 30 minit menyemak kerja sekolah anak-anak, bertanya khabar anak-anak, suami/isteri

Sumber : Small Business.co.uk
10.00 malam - 12.00 t/malam
2 jam di rumah (menghadap laptop@smart phone)
Respon customer dan menyiapkan urusan tempahan dlln yang berkaitan perniagaan

6.00 pagi
Bangun, solat, siapkan anak-anak, ke tempat kerja

Hidup tak ubah seumpama robot di kilang,kan? Macam tak punya rasa letih. Realitinya, berniaga memerlukan komitmen dan masa yang lebih daripada 2 jam. Masa siapa yang terpaksa dikorbankan kerana mahu mengejar pendapatan berganda?

Di Pejabat

1.Pernahkah melayan whatsapp/ text customer diwaktu pejabat?
2.Pernahkah menggunakan peralatan pejabat (kertas, dakwat printer, komputer, telefon) bagi urusan perniagaan?
3.Pernahkah keluar waktu pejabat atas sebab berjumpa customer atau mengepos barang tempahan walau sekejap?
4.Pernahkah claim elaun kerja lebih masa di pejabat walhal tidak membuat tugasan tetapi menyelesaikan urusan perniagaan?

Di Rumah 

1.Adakah setelah pulang ke rumah dari pejabat, di kepala sibuk memikirkan  tempahan berbanding ibadah seperti solat, mengaji Al-Quran, makan minum keluarga?
2.Adakah lebih banyak masa diluangkan melayan customer di media sosial berbanding dengan melayan dan bersembang bersama suami/isteri & anak-anak atau menziarahi saudara-mara di waktu kelapangan?
3. Apakah tidak ada kesempatan dalam seminggu untuk memberi ruang kepada diri sendiri membaca al-Quran atau menghadiri kuliah agama?

      Sekiranya ada salah satu di antara soalan yang dijawab YA, bak kata Prof. Dr. Muhaya, "Kita kena audit semula nawaitu kita". Sebab kita terkadang khilaf dengan tuntutan hidup di dunia. Penuh ujian dan tipu daya. Peringatan buat diri aku sendiri serta sesiapa yang membaca.

       Kita ditakutkan dengan pelbagai isu kewangan, kemiskinan, ketidakstabilan ekonomi sehingga mendorong kita jadi bimbang dan mengenepikan perkara-perkara lain yang seharusnya menjadi keutamaan. Pengisian jiwa anak-anak, pemantapan ilmu agama, perkembangan sosial dan sahsiah keluarga dan sebagainya.

      Inilah apa yang dunia mahukan. Supaya jiwa Iman kita lemah dan kurang pergantungan kepada Tuhan. Supaya kita sibuk dengan dunia sepanjang masa. Duit...duit...duit...

      Anak-anak kecil dibiarkan  bermain sendirian, berjam-jam lamanya di pusat asuhan, atau lebih malang dirasuah dengan gadget supaya tidak menganggu. Anak-anak remaja sepi daripada perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Entahkan solat, entahkan tidak. Asyik lalai dengan hiburan. Suami/isteri makan masak sendiri atau selalu beli di kedai, adakala dibiar tidur tidak berteman, daripada berbicara laki bini, lebih senang berbual dengan teman-teman online.

     Kenapa perlu lagi berniaga untuk suami isteri yang bekerja dengan gaji yang memadai? Apakah rezeki yang diberi Allah ketika ini tidak cukup? Tidak cukup beras untuk diberi makan? Tidak cukup baju untuk dipakai? Atau merasakan khuatir apa yang dimiliki sekarang ini kurang daripada apa yang ada pada orang? Risau berhabisan? 

   Bagaimana mahu cukup dan bagaimana tidak merasa kurang jika kita berkehendak lebih daripada apa yang kita perlukan, tanpa mengikut kemampuan. Usah pakai sepatu Clarks andai kita hanya layak menyarung Bata.

     Jangan kisah dengan orang yang berkereta mewah. Jangan peduli dengan orang yang sebulan sekali renovate rumah. Jangan hiraukan dengan orang yang berbelanja gah, bercuti melancong 3-4 kali umrah. Jangan susah hati anak-anak sendiri dapat baju baru setahun sekali, anak orang lain pakai baju jenama bertukar ganti. Ubah mentaliti.

      Usah hidup dengan memikirkan apa kata orang. Bekerjalah semata-semata mencari keberkatan. Kita jaga Allah, Allah akan jaga kita. Berikanlah hak masa dan kasih sayang yang sepatutnya kepada ahli keluarga. 

       Untuk apa kita pertaruhkan kehidupan akhirat demi mendapat kebahagiaan yang tidak kekal di dunia. Untuk apa kita punya anak, sebaliknya tiada siapa yang mendoakan sekembalinya kita ke dunia sana. 

      Berniagalah dengan niat sekadar untuk mempermudahkan urusan ekonomi keluarga, dan bukan kerana bermatlamat untuk senang dan hidup kaya raya.

        


Sunday, 5 February 2017

DIY: Tips Mengenal dan Mahir Menulis Abjad Dengan Cepat & Betul

 Idea ni memang cool and fun!  

          Kebanyakkan kanak-kanak berumur 4-6 tahun menghafal lagu ABC yang biasa kita dengar sejak berzaman lamanya. Dari kita jadi kanak-kanak, sampailah kita pula jadi mak bapak kanak-kanak. Haha..

         Anyway, masalahnya ada di antara mereka hanya tahu menyanyi tapi masih tidak dapat mengecam (recognize) mahupun menulis abjad-abjad tersebut dengan tepat. Kadang-kadang diorang tulis je huruf apa yang diingat. Terutama huruf favorite. Macam anak saudara aku sorang suka huruf M. Huruf apapun tunjuk, mesti bunyi huruf M jugak yang disebut. Orang kata T, dia menggeleng. Padahal memang huruf T. Haha..

           So, aku nak kongsikan ilmu baru semasa mengikut Seminar Pemantapan Pendidikan Pedagogy oleh Pn. Norhanita (Penerima Anugerah Guru Inovasi Kebangsaan 2015) kalau tak salah info. Dialah yang telah mereka kaedah baru dalam memperkenalkan kanak-kanak kepada abjad kecil. Teknik ini telah diajar di kebanyakkan prasekolah dan hasilnya kanak-kanak boleh mengenal huruf dan menulis dengan baik serta betul abjad abc dalam tempoh 2-3 bulan. Malah telah dipraktikkan untuk pembelajaran kanak-kanak seawal usia 4 TAHUN.
           
          Di samping mengharapkan guru-guru tadika mengajar, aku rasa teknik ni juga boleh dilakukan sendiri di rumah sebab tak melibatkan kos apa-apa. Why not? Hanya masa diperlukan dalam 20-30 minit dan kesabaran ibu bapa untuk mendidik anak-anak. Sekurangnya-kurangnya ibu bapa mempunyai aktiviti ilmiah bersama dengan anak-anak selain daripada menonton TV atau masing-masing melayan gajet sendiri. Ahaks!

Let's do this: 
Langkah 1
Perkenalkan anak-anak dengan 13 bentuk-bentuk asas abjad + satu titik (seperti dalam gambar) dalam tempoh 4-5 minggu. Minta anak-anak ingat dan tulis/lukis.
Langkah 2 
Setelah anak-anak mahir, gabungkan bentuk-bentuk asas tersebut menjadi abjad lengkap satu persatu. Ulang sehingga anak-anak boleh menulis dari a-z. 
~ Paling penting, jangan lupa lagunya sekali ya. Aku cadangkan ubah lirik lagu Oh, Nanana! (Didi & Friends).
             
                            Bu...lan sabit, Sa...tu kecil...itu...hu...ruf a...lalala

                 Apapun pada aku, dalam membesarkan anak-anak, matlamat utama bukannya tertumpu kepada membina keupayaan IQ semata-mata.  Tetapi sejauh mana kita dapat menjadi role-model pada mereka untuk memberikan gambaran bahawa kehidupan yang terbaik adalah berlandaskan kecintaan kepada agama dan hubungan kasih sayang sesama ahli keluarga. Buat apa paksa anak-anak kecil belajar pagi ke malam, sedang mak bapak pun tak sembahyang bang. Tak gitu?