Saturday, 11 February 2017

Ibu Bapa Kerja Pejabat Yang Berniaga: Bimbang Tak Cukup atau Takut Kurang?

      Aku adakala tertanya-tanya. Apakah tujuan sebenar orang sekarang berniaga? Aku yakin dengan situasi masyarakat pada hari ini, dalam kelompok sepuluh orang, pasti akan ada dua orang yang berniaga. Tak kiralah berniaga dropship online ke, berniaga produk buatan sendiri ke, berniaga perkhidmatan atau sebagainya. Janji berniaga.

     Aku tak hairan kalau yang berniaga ini adalah di kalangan golongan yang berpendapatan rendah ataupun hanya salah seorang di antara pasangan suami isteri sahaja yang bekerja. Apatah lagi yang menyara anak lebih daripada tiga orang. Aku rasa anak tiga orang pun sudah besar kos sara hidup yang ditanggung ketua keluarga dengan kenaikan harga barang. 
     
    Apapun, yang aku musykilkan adalah dengan golongan berpendapatan sederhana (RM2,000-RM3,000) mahupun bergaji lebih besar di mana suami isteri kedua-duanya bekerja tetap dan makan gaji setiap bulan. 

   Adakah berniaga merupakan solusi untuk menambah pendapatan, menampung masalah kewangan, sekadar mengikut sunnah nabi atau suka-suka macam hobi? 

     Tidak ada salahnya untuk berniaga. Persoalannya, andaikata dua-dua bekerja dan membuat kerja sampingan dengan berniaga, siapakah yang fokus menjaga hal-ehwal keluarga? Dan sejauh mana pula usaha berniaga tersebut dapat menjamin status HALAL hasil yang diperolehi dengan kekangan tenaga dan masa?

        Bukan apa, aku berkira-kira dengan tempoh 24 jam yang perlu diisi oleh kitaran manusia normal yang membuat dua ke tiga kerja dalam sehari.

8.00 pagi - 5.00 petang
9 jam bekerja di pejabat

5.00 petang - 10.00 malam
4 jam 30 minit di rumah (tolak setengah jam kesesakkan perjalanan balik) 

-1 jam menyediakan makan & minum keluarga
-1 jam makan malam & rehat
-2 jam membersihkan diri, memastikan anak-anak solat & mengajar anak membaca al-Quran
-Hanya baki 30 minit menyemak kerja sekolah anak-anak, bertanya khabar anak-anak, suami/isteri

Sumber : Small Business.co.uk
10.00 malam - 12.00 t/malam
2 jam di rumah (menghadap laptop@smart phone)
Respon customer dan menyiapkan urusan tempahan dlln yang berkaitan perniagaan

6.00 pagi
Bangun, solat, siapkan anak-anak, ke tempat kerja

Hidup tak ubah seumpama robot di kilang,kan? Macam tak punya rasa letih. Realitinya, berniaga memerlukan komitmen dan masa yang lebih daripada 2 jam. Masa siapa yang terpaksa dikorbankan kerana mahu mengejar pendapatan berganda?

Di Pejabat

1.Pernahkah melayan whatsapp/ text customer diwaktu pejabat?
2.Pernahkah menggunakan peralatan pejabat (kertas, dakwat printer, komputer, telefon) bagi urusan perniagaan?
3.Pernahkah keluar waktu pejabat atas sebab berjumpa customer atau mengepos barang tempahan walau sekejap?
4.Pernahkah claim elaun kerja lebih masa di pejabat walhal tidak membuat tugasan tetapi menyelesaikan urusan perniagaan?

Di Rumah 

1.Adakah setelah pulang ke rumah dari pejabat, di kepala sibuk memikirkan  tempahan berbanding ibadah seperti solat, mengaji Al-Quran, makan minum keluarga?
2.Adakah lebih banyak masa diluangkan melayan customer di media sosial berbanding dengan melayan dan bersembang bersama suami/isteri & anak-anak atau menziarahi saudara-mara di waktu kelapangan?
3. Apakah tidak ada kesempatan dalam seminggu untuk memberi ruang kepada diri sendiri membaca al-Quran atau menghadiri kuliah agama?

      Sekiranya ada salah satu di antara soalan yang dijawab YA, bak kata Prof. Dr. Muhaya, "Kita kena audit semula nawaitu kita". Sebab kita terkadang khilaf dengan tuntutan hidup di dunia. Penuh ujian dan tipu daya. Peringatan buat diri aku sendiri serta sesiapa yang membaca.

       Kita ditakutkan dengan pelbagai isu kewangan, kemiskinan, ketidakstabilan ekonomi sehingga mendorong kita jadi bimbang dan mengenepikan perkara-perkara lain yang seharusnya menjadi keutamaan. Pengisian jiwa anak-anak, pemantapan ilmu agama, perkembangan sosial dan sahsiah keluarga dan sebagainya.

      Inilah apa yang dunia mahukan. Supaya jiwa Iman kita lemah dan kurang pergantungan kepada Tuhan. Supaya kita sibuk dengan dunia sepanjang masa. Duit...duit...duit...

      Anak-anak kecil dibiarkan  bermain sendirian, berjam-jam lamanya di pusat asuhan, atau lebih malang dirasuah dengan gadget supaya tidak menganggu. Anak-anak remaja sepi daripada perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Entahkan solat, entahkan tidak. Asyik lalai dengan hiburan. Suami/isteri makan masak sendiri atau selalu beli di kedai, adakala dibiar tidur tidak berteman, daripada berbicara laki bini, lebih senang berbual dengan teman-teman online.

     Kenapa perlu lagi berniaga untuk suami isteri yang bekerja dengan gaji yang memadai? Apakah rezeki yang diberi Allah ketika ini tidak cukup? Tidak cukup beras untuk diberi makan? Tidak cukup baju untuk dipakai? Atau merasakan khuatir apa yang dimiliki sekarang ini kurang daripada apa yang ada pada orang? Risau berhabisan? 

   Bagaimana mahu cukup dan bagaimana tidak merasa kurang jika kita berkehendak lebih daripada apa yang kita perlukan, tanpa mengikut kemampuan. Usah pakai sepatu Clarks andai kita hanya layak menyarung Bata.

     Jangan kisah dengan orang yang berkereta mewah. Jangan peduli dengan orang yang sebulan sekali renovate rumah. Jangan hiraukan dengan orang yang berbelanja gah, bercuti melancong 3-4 kali umrah. Jangan susah hati anak-anak sendiri dapat baju baru setahun sekali, anak orang lain pakai baju jenama bertukar ganti. Ubah mentaliti.

      Usah hidup dengan memikirkan apa kata orang. Bekerjalah semata-semata mencari keberkatan. Kita jaga Allah, Allah akan jaga kita. Berikanlah hak masa dan kasih sayang yang sepatutnya kepada ahli keluarga. 

       Untuk apa kita pertaruhkan kehidupan akhirat demi mendapat kebahagiaan yang tidak kekal di dunia. Untuk apa kita punya anak, sebaliknya tiada siapa yang mendoakan sekembalinya kita ke dunia sana. 

      Berniagalah dengan niat sekadar untuk mempermudahkan urusan ekonomi keluarga, dan bukan kerana bermatlamat untuk senang dan hidup kaya raya.

        


Thursday, 9 February 2017

10 Sebab Gagal Temuduga

            Selain daripada asbab bukan rezeki, untuk berjaya dalam temuduga juga adalah terletak kepada kesungguhan serta usaha. Menghadiri temuduga bukan hanya sekadar membawa CV, sijil-sijil akademik mahupun kemahiran, berpenampilan kemas dan juga OTAK. Tetapi apa yang berlaku, ramai di kalangan calon temuduga yang terlupa atau meninggalkan perkara paling utama dinilai iaitu ATTITUDE. Sila baca.

             Salah satu perkara yang membezakan markah seorang calon dengan calon lain yang sama pada pencapaian akademik dan kecerdasan, ialah sikap dan tingkah laku yang dipamerkan melalui personaliti. Personaliti inilah yang menjadi kayu ukur dan dilihat sebagai kelebihan seseorang untuk diterima bekerja.

1. Over Confident a.k.a Berlagak Bagus

~ Harus diingat terdapat beribu-ribu calon yang dipanggil temuduga untuk sesuatu jawatan. Sedangkan kekosongan yang perlu diisi hanyalah mungkin kurang dari seratus orang. 

~ Kurang berkeyakinan sudah pasti menggagalkan diri seseorang menjadi calon pilihan. Manakala, terlalu yakin pula adalah sikap  yang berlebihan dan keterlaluan.

~ Sungguhpun seseorang calon adalah penerima Anugerah Dekan, Tokoh Canselor di hari graduasi, Juara Debat Perdana ataupun bekas Pekerja Terbaik, ia tidak memberi apa-apa makna sekiranya calon teragak-agak ketika ditanya mengenai skop jawatan dipohon, organisasi berkaitan atau isu semasa yang ada kena mengena dengan pekerjaan. 

~ Sikap sebegini akan memakan diri, apabila calon dilihat tidak bersedia menjawab soalan dengan jawapan yang diinginkan. Sebab itu, adalah penting bagi calon, walau bagus macam mana pun, waimma pengalaman kerja dah sepuluh tahun, perlu membuat sedikit research dan bersedia dengan soalan ramalan sebaik mungkin. Misalnya,

a) Penerangan yang ringkas dan padat mengenai latar belakang diri. Ini bukan bab mengangkat bakul terutama bila bercerita pencapaian. Bandingkan ayat "..kerana sayalah pasukan inovasi universiti dapat johan tahun tu disebabkan sistemnya saya reka lain dari yang lain..." dengan "...saya bersama rakan pasukan menjadi johan pertandingan inovasi di mana peranan saya adalah sebagai jurubina sistem..."

b) Huraian mengenai kelemahan dan kekuatan diri. Berilah jawapan yang merendah diri tetapi bukan merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri dan juga tidak menjelaskan kebodohan akibat terlalu yakin menjawab.

          Kelemahan (Merendah diri) : 
          Saya agak sukar bekerja dalam anggota unit yang bertangguh kerja 

         Kelemahan (Merendah-rendahkan diri) :
         Saya kadang-kala kelam kabut orangnya. Tak tahu nak buat yang mana
         satu dahulu

~ Apapun, berlagak tak bertempat hanyalah memudahkan penemuduga mengurangkan jumlah calon yang mahu disenarai pendekkan. Pastikan anda tidak menjadi salah seorang daripada senarai nama yang dibuang.

2. Bercakap Pelat atau Campur Slang Melayu-Inggeris (Calon Melayu)

~ Tolonglah! Kecuali memang dilahirkan atau dibesarkan lebih lama di negara Mat Saleh berbanding dengan tempoh duduk di negara ini. Ini adalah mentaliti yang memalukan diri terutama bagi calon bangsa Melayu yang memohon pekerjaan di sektor kerajaan.

~ Pilihannya hanya ada dua. Sama ada, bercakap sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris ketika disoal dalam Bahasa Inggeris ataupun bercakap sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia sekiranya ditanya dalam Bahasa Malaysia dengan menggunakan lidah Melayu yang fasih.

~ Apekejadahnya bersalin kulit Mat Saleh celup dengan sebutan huruf r tebal, huruf t nak tersembur air liur, kalau dah terang-terangan memang Melayu tulen? Setakat pernah duduk belajar di luar negara, seharusnya tidak mengubah struktur lidah dan nilai Kemelayuan (jati diri)

~ Padahal seorang calon yang diketahui mempunyai kemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris tahap tip top, tetapi masih mampu berbahasa Malaysia dengan sempurna adalah calon yang lebih berpotensi dan dibanggakan.

3. Gelaran Salah Panggilan Hormat Penemuduga

~ Penemuduga adalah seseorang yang selayaknya dihormati. Jadi, carilah pegawai yang mengurus sesi temuduga yang biasanya berada di luar bilik temuduga untuk bertanyakan siapa yang bakal menemuduga.

~ Sekiranya masih tidak pasti, gunakanlah gelaran kehormat yang selamat seperti Tuan atau Puan. Jangan sekali-kali menggelarkan mereka abang atau kakak walaupun mereka membahasakan diri sedemikian.

~ Penemuduga bukanlah kenalan yang diajak bersembang. Kemungkinan ada penemuduga yang menjadikan sesi soal jawab menjadi santai bagi menghilangkan tekanan calon. Namun tak bererti calon boleh duduk bersilang kaki dan gelak sakan ikut suka hati macam duk di kedai kopi. Jangan lupa, anda sedang diperhati.

4. Berpakaian Ala Raja Sehari 

~ Etika berpakaian yang tidak menepati skema pekerjaan menggambarkan calon sebagai seorang yang tidak sensitif dan peka terutamanya calon perempuan. Adalah dinasihatkan untuk tidak memakai baju jarang, fabrik lace, lycra, warna terang seperti merah menyala, oren, hijau pisang dan seumpamanya yang mengganggu penilaian terhadap calon.

~ Begitu juga dengan aksesori. Walaupun calon adalah rakyat Kelantan yang terkenal dengan perhiasan emas, sesi temuduga bukanlah tempat untuk menunjukkan koleksi peribadi. 

~ Make up sederhana yang menzahirkan diri anda yang positif. Bermekap tebal ke temuduga menunjukkan calon kurang keyakinan diri. 

5. Berbohong

~ Adakala yang berlaku, calon terlewat sampai ke sesi temuduga yang telah ditetapkan. Sekiranya diminta alasan, janganlah mereka-reka cerita dengan harapan alasan anda kedengaran lebih logik untuk diterima. Berkata sahaja yang benar. Walaupun hakikatnya anda bangun tidur lewat. 

~ Tidak jujur adalah pantang larang yang sangat diambil berat semasa temuduga. Sangat berisiko. Ia menterjemahkan keseluruhan personaliti calon. Sekiranya calon ditolak kerana pembohongan, kemungkinan dia akan berjumpa lagi dengan penemuduga yang sama bila mencuba buat kali kedua. Dunia ini tak sebesar mana. 

6. Tidak Menepati Masa Temuduga  

~ Sekiranya masa temuduga pun calon tak boleh patuh, apatah lagi masa-masa dikala bekerja nanti. Tahap disiplin calon sangat diambil kira.

7. Serba Tak Tahu

~ Konon takut soalan perangkap, apapun ditanya cakap ok. "Saya ok je Tuan". "Saya setuju Tuan." Nampak sangat tak tetap pendirian atau langsung takde pengetahuan. 

~ Calon seharusnya cuba menjawab dengan memberi sedikit komen yang bersesuaian menggunakan idea dan kefahaman sendiri. Melainkan calon kerja kerajaan tapi penyokong pihak bertentangan. Jika ditanya soal pendirian politik. Contoh jawapan selamat, "Saya menyokong pihak yang membangunkan kerajaan." Takdelah konflik di situ. Ahaks! 

8. Kurang Berdoa

~ Ingin berjaya dalam temuduga tidak cukup dengan hanya berdoa ketika hendak masuk melangkah ke bilik penemuduga. Berdoalah dengan bersungguh semenjak dari awal memohon pekerjaan sehinggalah mendapat keputusannya kelak. 

~ Doa adalah senjata orang beriman

9. Dokumen Kucar Kacir

~ CV yang tak di update. Gambar diri di resume lima tahun lepas atau gambar selfie syok sendiri. Sijil-sijil sokongan original tak disusun dengan teratur dalam fail dan sebagainya. Secara tidak langsung, menzahirkan calon adalah seorang yang tidak organise dan serius dalam aspek pengurusan kerjaya.

10. Bodoh Sombong

~ Terdapat kalangan penemuduga yang juga gemar untuk trigger dan provoke calon bagi menilai sejauh mana calon dapat mengawal emosi. 

~ Usahlah bertegang urat menegakkan fakta-fakta yang anda tidak tahu atau terbawa-bawa emosi sehingga keluar daripada bilik temuduga tanpa mengucapkan sekurang-kurangnya terima kasih. Dahla bodoh, sombong pula kan.

~ Apa jua situasi yang berlaku, calon harus mengakui kesilapan dalam memberikan jawapan (walaupun diyakini betul) dengan cara yang paling berhikmah dan tenang. "Maaf Tuan. Saya cuma menyampaikan pendapat setakat yang saya tahu. Saya yakin Tuan lebih arif dalam soal ini". 

~ Kena hentam pun, gagahkanlah diri untuk senyum dan ucapkan terima kasih atas peluang yang diberi. Mana tahu dah tertulis rezeki, dapat juga nanti.


           So, selamat menghadiri sesi temuduga. Berjaya atau tidak, itu adalah perkara kedua. Yang penting ialah mengutip pengalaman berharga, berusaha memberikan yang terbaik dalam berhadapan dengan penemuduga yang pelbagai gaya. Semoga pengalaman ini, menambahkan keyakinan dan nilai diri menjadi manusia yang dicari-cari untuk diambil bekerja satu hari nanti. Insya Allah.

Monday, 6 February 2017

6 Tips Pengacara Majlis

Apalah sangat jadi pengacara majlis?? Siapa yang cakap macam ni tidak syak memang dia tak tahu langsung apa-apa pasal hal ehwal pengurusan majlis atau acara. Aku memang tak bersetuju. Kalau rasa tugasan pengacara tu lekeh atau tak penting, cubalah sendiri jadi mc.

Kelancaran perjalanan sesuatu majlis sebenarnya adalah bergantung hampir 80% kepada juru acaranya. Selebihnya teknikal dan pengisian majlis itu sendiri. Melalui pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pengacaraan majlis rasmi atau tidak rasmi, seorang pengacara merupakan refleks mood kepada keseluruhan majlis.

Kalau pengacara macam bosan je, maka bosanlah majlis tu. Kalau pengacara pandai menceriakan majlis, dua jam duduk dalam dewan pun tak terasa. Rasa nak dengar lagi dan lagi coletahnya. Kalau pengacara gabra, sudah tentu kelam kabut lah majlis tersebut jadinya.

Bayangkan anugerah-anugerah besar seperti Oscar ataupun penyampaian Majlis Konvokesyen yang meletakkan pengacara tangkap muat. Sah-sah, walau hebat pada sound sistem, gimik gempak, lightning bagai, tetap orang akan kata majlis tu entah hapa-hapa.

So, ini adalah 6 tips yang membantu seseorang menjadi pengacara yang bagus.

1. Tiada masalah mikrofon fobia

~ Macam mana nak bercakap depan orang ramai, kalau tengok mikrofon pun dah longgar kepala lutut? Gemuruh yang ketara mendorong kita melakukan banyak kesilapan dan mudah panik. Haha..

2. Dapat menyesuaikan intonasi percakapan, volume suara dan gerak badan dengan format majlis

~ Tak semestinya pengacara tu kena ada suara yang merdu. Bukannya nak menyanyi. Cuma kena bijak menentukan style penyampaian yang bertepatan

~ Majlis rasmi memerlukan nada percakapan yang tenang, suara yang sederhana dan gerak badan yang terkawal (sopan santun ala-ala pengacara Nona atau pembaca berita)

~ Majlis tidak rasmi memerlukan nada yang ceria, lontaran suara yang lebih energetic dan gerak badan yang aktif

3. Sentiasa senyum sepanjang tugasan pengacaraan

~ Kenapa? Pengacara yang masam akan membuatkan suasana majlis suram. Spoil

~ Tak percaya, lakukanlah dan lihat sendiri perbezaan bercakap sambil senyum  dengan tidak senyum

4. Tampil kemas dan selesa dipandang

~ Pengacara bukan hanya untuk si jelitawan atau macho sahaja. Saat seseorang pengacara mula menuturkan kata, semua mata akan tertumpu kepadanya. Imej pengacara melambangkan imej pihak yang menganjurkan majlis juga melambangkan tahap intelektual seseorang. Bukan rupa semata, ok

~ Berpakaian dan touch up lah dengan ala kadar sesuai mengikut suasana atau tempat sesuatu majlis. Dah kenapa nak pakai gaun ala-ala gala night dan mekap kalah superstar sedangkan tu majlis international conference, kan?

~Kalau nampak selekah pula, orang dah lupa majlis tu pasal apa. Sebaliknya orang hanya akan bercakap pasal gaya penampilan pengacara. Senang cerita, rujuk la di internet tema pakaian yang sesuai sebelum menjadi juru acara sesuatu majlis. Banyak contoh.

5. Boleh bekerja secara teamwork

~ Walaupun pengacara majlis hanyalah seorang atau duet, ini tak bermakna seseorang itu hanya perlu mendapatkan tentatif acara dan dah tak berhubung apa-apa dengan pihak penganjur. Setelah itu muncul di hari tugasan majlis. Memang menempah mautla. Haha..

~Berpengalaman macam mana sekalipun, adalah penting seseorang pengacara mendapatkan info daripada pihak penganjur skala sesuatu acara itu sendiri. Sekurang-kurangnya sama ada melibatkan orang kenamaan atau tidak, protokol, jumlah jemputan, flow acara, etc bagi mengelakkan sebarang insiden di luar jangkaan seperti tersalah umum nama pemenang atau nama VIP

~ Bagi komitmen untuk hadir rehersal

6. Menjadi diri sendiri

~ Untuk rasa lebih dekat dengan audiens, dan supaya audiens memberikan perhatian terhadap apa yang disampaikan, sebaiknya jadilah diri sendiri yang menggembirakan. Ia juga membantu seseorang pengacara untuk rasa lebih relaks dan berkeyakinan

~ Jika seseorang pengacara itu berkarakter komedi, tiada salahnya untuk diselitkan humor yang bersesuaian mengikut kesesuaian majlis. Jika gemar berpantun seloka, sekali sekala serikan ucapan dengan bahasa-bahasa indah di dengar selagi mana ia tak menggangu kandungan ucapan. Kecuali itu adalah majlis pertandingan berpantun


Menjadi seorang pengacara majlis tak semudah yang disangkakan. Walaubagaimanapun, dengan persediaan dan doa, pastinya tak mustahil nama akan disebut-sebut dan dijemput lagi untuk acara yang seterusnya.

Sunday, 5 February 2017

4 Perkara Cikgu Tadika Mesti Ada

        Jangan pandang profession cikgu tadika sebelah mata. Cikgu tadika sekarang dah tak sama macam cikgu tadika dulu. Walaupun student hanyalah anak-anak usia 4-6 tahun, kaedah pengajaran dan pendekatan dah di tahap professional. 

        Aku rasa ibu bapa budak-budak tu pun belum tentu dapat ajar anak sendiri sebaik cikgu tadika. Aku banyak belajar daripada cikgu-cikgu tadika yang lain. Yang mana sesetengah yang aku jumpa, aku rasa diaorang memang dilahirkan untuk menjadi cikgu tadika. Maksud aku, dengan bakat dan kemahiran ala-ala pakar psikologi kanak-kanak, dijamin anak-anak kecil ini dapat dibentuk dengan baik IQ dan EQ nya.

        Setelah beberapa lama aku terjebak dalam kerjaya pendidikan awal kanak-kanak, selain daripada kelayakan akademik, aku senaraikan 4 lagi kriteria untuk menjadi cikgu tadika yang awesome. 

1. Seorang yang sejak lahiriah sukakan kanak-kanak (bukan buat-buat suka) tetapi tidak pula berjiwa keanak-anakkan. 

~ Paling utama dia sayangkan budak-budak dalam apa jua situasi. Bukan hanya masa budak tu comel dan terurus sahaja. Budak berhingus ke, budak berkudis ke, budak busuk ke. Dia tetap ok.

~ Payahlah kalau dah cikgu tadika, mental & emosi pun macam anak-anak. Asyik nak bersuka ria sepanjang masa. Macam mana nak handle budak yang menangis, yang terbuang air kecil/besar, nak berurusan dengan penjaga, bekerja mengikut sistem dan teamwork, etc. Pasal tu lah aku rasa ada kes orang gila pun boleh tersilap di ambil bekerja di taska/tadika. 

2. Seorang yang kreatif.

~ Kreatif ni subjektif. Sekurang-kurangnya dia mempunyai minat dengan dunia kanak-kanak seperti kartun ataupun warna. Aku pernah tengok cikgu-cikgu tadika ni punyalah kreatif, diorang hasilkan Jalur Gemilang hasil daripada tapak tangan budak-budak yang diberus dengan water colour. 

~ Dalam dunia kanak-kanak, tak susah pun nak jadi seseorang yang berimaginasi dan penuh dengan idea-idea yang menyeronokkan. Kena fikirkan perkara-perkara yang menarik perhatian mereka. Extra point untuk seseorang yang gemar menyanyi dan menyampaikan pengajaran melalui lagu. Memang syokla budak-budak belajar. 

3. Seseorang yang tegas tapi fun

~ Bukan garang yang amat ala ibu tiri Cinderella. Cara didikan macam tu dah tak pratikal. Tegas kerana mahu mengawal budak-budak daripada hilang fokus. Aku ok je kalau ada cikgu yang siap pakai rotan. Bukan guna pun. Sekadar amaran bagi budak-budak duduk diam.

~ Yang soft lemah gemalai pun tak sesuai. Aku tak pernah lagi jumpa dengan cikgu tadika yang suaranya perlahan. Haha.. tahu jelah budak-budak sekarang.

~ Cikgu tadika mestilah fun pada karakter dan penampilan. Kalau boleh pakai baju yang colourful dan ceria setiap hari datang kerja. Tak percaya, tengok masa hari pertama pendaftaran tadika. Budak-budak akan mengerumuni cikgu yang tampil cantik bergaya dan nampak mesra. Karakter fun tak bermakna kena ketawa selalu, tetapi yang membuatkan budak-budak tak rasa takut untuk diajak bercerita dan bersembang. Budak kecil pun kalau dilayan pandai bergosip tau. 

4. Seorang yang ikhlas.

~ Dia menganggap kerjaya cikgu tadika sama seperti seorang ibu /bapa yang mengajar anaknya sendiri. Sanggup berkorban masa, wang dan tenaga untuk memberikan yang terbaik.

~ Aku rasa yang ini tak perlu huraian lanjut kut. Yang pasti, kalau seseorang tu kerja tadika hanya kerana takde kerja lain nak buat, dia tak akan bertahan lama. 

            Impian aku bukan nak jadi cikgu tadika sebenarnya. Aku tak minat pun nak jadi cikgu. Takde kelayakan dan kemampuan mental fizikal macam ramai sahabat-sahabat aku yang kebanyakkannya bergelar guru. Usahkan kata sahabat. Mak aku sendiri pun seorang guru. 

          Aku dah pernah beberapa kali jadi guru sementara di sekolah rendah menggantikan guru bersalin. Berhadapan dengan murid-murid seramai 30-40 orang satu kelas hari-hari, ibarat meredah cabaran X-Factor buat aku. Gilalah! Aku memang angkat bendera putih. Tak sanggup. 

           Dari dulu impian aku nak jadi macam Angelina Jolie yang terlibat dengan UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees). Membela nasib anak-anak kecil mangsa pelarian. Bukan nak jadi duta tu, tapi nak membantu semampu mungkin supaya mereka, si kecil yang punya semangat luar biasa ini dapat kehidupan yang lebih baik. Macam kanak-kanak lain sebaya. Jauh daripada kemelut peperangan dan kebuluran.  Aku berdoa moga dalam hayat ini, aku dapat merasa peluang macam tu walau sekali.

         Jadinya, apabila satu hari adik aku menawarkan kerja mengajar di tadika, aku memang tak fikir 2 kali. Sejam je pun sehari. Mengajar pendidikan Islam (Jawi, Sirah, Aqidah, Akhlak & Bahasa Arab). Dah dari dulu masa aku kolej hinggalah ke universiti, aku selalu ambil kesempatan mengajar di tadika asal cuti sem panjang. 



       Sungguh pun peranan aku tak sebesar misi UNHCR, tapi aku percaya dengan mendidik anak-anak kecil tentang agama juga adalah salah satu bentuk pembelaan untuk mereka memahami nikmat dilahirkan sebagai seorang Islam. Apatah lagi diorang ni sangat naif dan berhati bersih.

         So, kalau rasa ada ciri-ciri sebegini dalam diri, bolehlah memohon untuk menjadi cikgu tadika. Berbanggalah menjadi di antara orang yang terawal memperkenalkan dunia kepada generasi pewaris bumi masa hadapan. Akulah tu! Yippiee..! Ahaks!








DIY: Tips Mengenal dan Mahir Menulis Abjad Dengan Cepat & Betul

 Idea ni memang cool and fun!  

          Kebanyakkan kanak-kanak berumur 4-6 tahun menghafal lagu ABC yang biasa kita dengar sejak berzaman lamanya. Dari kita jadi kanak-kanak, sampailah kita pula jadi mak bapak kanak-kanak. Haha..

         Anyway, masalahnya ada di antara mereka hanya tahu menyanyi tapi masih tidak dapat mengecam (recognize) mahupun menulis abjad-abjad tersebut dengan tepat. Kadang-kadang diorang tulis je huruf apa yang diingat. Terutama huruf favorite. Macam anak saudara aku sorang suka huruf M. Huruf apapun tunjuk, mesti bunyi huruf M jugak yang disebut. Orang kata T, dia menggeleng. Padahal memang huruf T. Haha..

           So, aku nak kongsikan ilmu baru semasa mengikut Seminar Pemantapan Pendidikan Pedagogy oleh Pn. Norhanita (Penerima Anugerah Guru Inovasi Kebangsaan 2015) kalau tak salah info. Dialah yang telah mereka kaedah baru dalam memperkenalkan kanak-kanak kepada abjad kecil. Teknik ini telah diajar di kebanyakkan prasekolah dan hasilnya kanak-kanak boleh mengenal huruf dan menulis dengan baik serta betul abjad abc dalam tempoh 2-3 bulan. Malah telah dipraktikkan untuk pembelajaran kanak-kanak seawal usia 4 TAHUN.
           
          Di samping mengharapkan guru-guru tadika mengajar, aku rasa teknik ni juga boleh dilakukan sendiri di rumah sebab tak melibatkan kos apa-apa. Why not? Hanya masa diperlukan dalam 20-30 minit dan kesabaran ibu bapa untuk mendidik anak-anak. Sekurangnya-kurangnya ibu bapa mempunyai aktiviti ilmiah bersama dengan anak-anak selain daripada menonton TV atau masing-masing melayan gajet sendiri. Ahaks!

Let's do this: 
Langkah 1
Perkenalkan anak-anak dengan 13 bentuk-bentuk asas abjad + satu titik (seperti dalam gambar) dalam tempoh 4-5 minggu. Minta anak-anak ingat dan tulis/lukis.
Langkah 2 
Setelah anak-anak mahir, gabungkan bentuk-bentuk asas tersebut menjadi abjad lengkap satu persatu. Ulang sehingga anak-anak boleh menulis dari a-z. 
~ Paling penting, jangan lupa lagunya sekali ya. Aku cadangkan ubah lirik lagu Oh, Nanana! (Didi & Friends).
             
                            Bu...lan sabit, Sa...tu kecil...itu...hu...ruf a...lalala

                 Apapun pada aku, dalam membesarkan anak-anak, matlamat utama bukannya tertumpu kepada membina keupayaan IQ semata-mata.  Tetapi sejauh mana kita dapat menjadi role-model pada mereka untuk memberikan gambaran bahawa kehidupan yang terbaik adalah berlandaskan kecintaan kepada agama dan hubungan kasih sayang sesama ahli keluarga. Buat apa paksa anak-anak kecil belajar pagi ke malam, sedang mak bapak pun tak sembahyang bang. Tak gitu?




Saturday, 4 February 2017

Aku Lost! Berhenti Kerja Kerajaan

           Ya Allah..terima kasih untuk sebuah kehidupan yang membahagiakan. Aku lost bukan sebab aku berhenti kerja kerajaan, tapi sebab aku kerja kerajaanlah aku lost. Siapalah yang memulakan doktrin hidup jadi senang dengan kerja kerajaan? Senang berhutang. Ahaks! Orang ingat aku berhenti sebab aku dah banyak duit. Padahal duit dalam simpanan bank semua dah habis. Sumpah tak tipu. Macam mana nak banyak duit. Aku jadi penjawat awam yang tulus ikhlas tak sampai 6 tahun. Haha.. aku kerja outstation jauh-jauh pun kadang aku tak claim tau. Tambah nak bayar hutang PTPTN, sewa bulanan kereta, loan Bank Rakyat, etc.

            Apapun aku memang teramat tak tahan. Suffer gila nak bangun bersiap ke tempat kerja. Asal tayar kereta melintasi garisan pintu masuk bangunan pejabat, aku dah rasa nak muntah hijau. Tapi aku tak pernah menjadikan ia alasan untuk aku datang lewat atau melengah-lengahkan tugasan. Aku masih waras untuk sedaya upaya memastikan gaji yang aku terima adalah gaji yang halal dan berkat. Tetap bagaimanapun aku rasa serba tak kena sebab kenapa kehidupan kerjaya aku tak tenang dan gembira seperti yang diimpikan?

            Dipendekkan cerita, hampir setahun aku berdoa, istikharah dan meneliti kisah-kisah pengalaman hidup orang lain yang berhenti makan gaji. Akhirnya aku menemui kekuatan. Pedulilah pasal kelembapan ekonomi, isu pengambilan pekerja dibekukanlah, persaingan dengan orang yang dah sedia menganggur, itu dan ini. Rezeki Allah yang tentukan. Kenapa nak risau? Janji aku usaha mengikut syariat seperti yang Rasulullah ajarkan. Insha Allah, aku ok. Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Bulan November 2015 aku menghantar notis resign.

            Aku berhenti tanpa back up plan. Hakikatnya, ya hidup aku tak senang macam dulu (pernah takde sesen pun dalam wallet) tapi aku langsung tak menyesal. Langsung TIDAK! Yang aku ralat sebab aku lambat buat keputusan untuk pilih jalan ni. Haha.. ‘ala kulli hal, perancangan Allah lah yang Maha Sempurna. I Love My Life! Best! Best! Best! Alhamdulillah.

     Aku percaya, dapat berhenti daripada menghambakan diri dek mengharapkan gaji bulan-bulan pun adalah rezeki buat diri aku. Bukan semua orang punya peluang macam aku ni, kan. Aku sebenarnya yakin 100%. Dalam keadaan dasar/pelaksanaan kerja dan kepelbagaian spesis manusia yang entah apa-apa sekarang ni, di mana-mana jelah sekalipun pun, andaikata diberi pilihan yang sama pada semua orang yang ada dalam sektor makan gaji, sure majoriti angkat kaki.

            Kalau aku tersilap, bermakna akulah yang tak bernasib baik tercampak dalam environment kerja yang tak membantu aku to be a better Muslimah. Aku bukan tak suka kerja bawah orang atau bersistem. Prinsip aku bila bekerja is simple:

1. Aku memang jenis orang gila kerja. Sampai tak makan pun, tak de hal. Aku memang tak minat nak mengulor-ngulor (atau jadi ular-ular pemangsa yang menelan makhluk lemah tanpa belas ihsan. Metafora ok. Ahaks!), apatah lagi duk kat pantry berjam-jam. Walau aku gila kerja, tapi bila kerja menjadikan aku gila, aku surrender.

2. Dengan tahap pemikiran aku yang masih belum mahir dalam hukum-hakam agama, aku berpegang, semakin tinggi gaji yang kita dapat, sepatutnya semakin bertambahlah amalan ibadah kita. Betul apa. Dah kalau kita mahukan sesuatu dengan seseorang, bukan ke kita sanggup utamakan atau menurut apa yang orang tu suruh? 

Samalah juga kita dengan Allah. Kita minta rezeki daripada Dia kan. Sepatutnya lagi banyak Allah bagi (memakbulkan permintaan), lagi bersungguhlah kita buat apa yang diperintahkan. Tapi realitinya, makin naik gaji, makin kita terpaksa menjaga prestasi. (Kaki kipas punyalah ramai). Yang bos suruh tula jugak kita pulun buat sampai kita sendiri lewat solat. SKT punya pasal. Tu tak kira lagi masa masuk mesyuarat. Dari mula lepas Zohor hingga hujung Asar mesyuarat baru tamat (ada kut tak sempat solat Zohor) Ahhh..malas aku nak layankan. Haha...

3. Aku kerja for fun. Sebab kerja adalah kehidupan aku. Bukan fun yang orang kata kerja kerajaan boleh relaks, datang punch card pastu pergi mengeteh sampai dah nak waktu makan tengah hari,  duduk bergosip sambil-sambil menghadap facebook, selepas rehat solat Jumaat dah tak masuk pejabat, siap ada orang sempat mengarang buku bagai. 

Sorry, that’s not me. Fun maksud aku, bila kita dapat menikmati kepuasan bekerja sepenuhnya kerana Allah dan kita tahu kerja yang kita lakukan bukan sahaja memberikan kebaikan kepada kepada diri sendiri (as a human) tetapi juga kepada orang lain. Sayangnya, selepas beberapa tahun bekerja, aku tak rasa ada nilai-nilai tu. Lebih tepat, aku tak sesuai dengan bidang kerja yang aku lakukan. So, untuk apa aku teruskan.

4. Aku tak berminat nak kejar status bos atau dapat APC. Kalau orang kata, politik pejabat it’s normal, pada aku mana dalilnya. Tu semua kata-kata orang yang merebut dunia. Aku takde masalah jadi orang bawahan asalkan aku happy dan ikhlas dengan apa yang aku lakukan. Tapi, kalau aku terpaksa bertahan dengan situasi tekanan kerja (yang mengganggu ketenteraman hidup) untuk bertahun-tahun lagi semata-mata nak menanti ditawarkan kenaikan pangkat, aku tak akan buat. 

Apa jadi sekiranya dalam menunggu tiba-tiba aku mati? Oh, tidak! Ruginya hidup aku selama ini. Aku mati dalam kesengsaraan. Dah la tak cukup amalan, termasuk pula dalam golongan orang-orang yang meletakkan dunia di hadapan. So, instead of hold on, aku move on. Aku yakin rahmat Allah ada di mana-mana. I’m deserve to have a better life.

            Aku belum lagi kerja 10 tahun, tapi aku dah dapat migrain, panic attack (sakit dada yang menyucuk-nyucuk secara mendadak), tekanan emosi, kitaran menstruasi aku terganggu, kerap demam dan insomnia. Bila aku sakit-sakit macam ni, do other people care? Nope. Bukan aku nak orang kesian, tapi dalam dunia pekerjaan, orang tak akan peduli kalau kita sakit kerana kerja. Siapa suruh kau tak pandai handle tekanan? Walhal orang tak tahu apa yang kita hadapi. Berbaloikah?. You need to help yourself.

        Biarpun kehidupan aku bermula tahun ini berubah hampir 360°, aku sangat bersyukur. Lantaklah orang kata aku bodoh atau gila, aku rela. Gaji ribu-ribu jadi separuh ribu. Dulu selang tiga minggu sekali, shopping baju & tudung baru, langsung sekarang sudah berbulan-bulan tak ke kedai pakaian. Kalau sekali sekala melepak, merasalah makan di restoran berhawa dingin. Tapi kali ini, nak makan kat luar pun kena fikir lima enam kali. Sebelum ini pakai bil, dah terpaksa pula guna prepaid. Haha.. Tapi aku dah tak kisah semua tu. Sebab aku rasa tenang menikmati kehidupan yang aku mahukan seperti yang aku lalui hari ini.
          
         Aku takdelah hidup mewah mana pun dalam kehidupan beberapa tahun lepas. Cuma walaupun selesa, apabila terlalu banyak perkara dan PRINSIP yang terpaksa dikorbankan kerana bergantung kepada makan gaji bulanan. Aku sanggup lepaskan dan bermula semula merangkak dari alif ke ba ke ta. Sekurang-kurangnya aku dapat reset arah pergantungan hidup aku. Aku tak hidup ‘bertuhankan’ kerajaan. Bekerja sendiri membuatkan aku benar-benar membulatkan tawakkal pada rezeki ketentuan Allah S.W.T dan redha.

         Aku seolah-olah diberi peluang kedua untuk membina semula kehidupan. Kurang dua bulan berehat-rehat di rumah, aku mendapat kerja. Apa yang aku usahakan sekarang adalah sesuatu yang membuatkan hidup aku bermatlamat dan aku tahu apa yang aku buat. Walau kadang takde duit, tapi tak pernah sekali pun aku sampai tahap kena ikat perut. Kasih sayang Allah S.W.T akan sentiasa mengurniakan rezeki dalam cara yang kita tak jangka. 

     Kali ini aku akan manfaatkan setiap saat sebaik mungkin, merencana kehidupan dengan perkara-perkara kebaikan yang membuatkan hidup aku lebih bermakna dalam aku menikmati kebahagian juga ketenangan. Aku tenang biarpun dalam kepenatan. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar segala rintihan dan keinginan hambaNya yang sabar. Aku tenang untuk lebih menghampirkan diri kepada Tuhan pemilik alam. Bukankah itu tujuan asal kita diciptakan?


          I was lost in darkness. But I’m grateful for that to make me now found the lights. Aku tak kaya, tapi aku bahagia!. Subhanallah.


Friday, 15 January 2016

Bersedekah Dari Hati

Barangan Terpakai.. Why Not!

Aku sebenarnya tak sure dengan sistem di UK ni lagi. Adakah kalau kita terlibat sebagai sukarelawan atau berbuat sesuatu untuk tujuan kerja-kerja kebajikan tu bermakna kita boleh dikurangkan dari membayar cukai? Sama macam keadaannya kalau kita membayar zakat kat Malaysiakan.

Tapi yang aku pasti kat Glasgow ni, ada banyak sangat kedai-kedai barangan terpakai yang dinamakan atas organisasi kebajikan. Dan yang bestnya, walaupun barang-barang tu semua second-hand, tapi nampak masih elok dan berbaloi untuk dibeli. Dan pelanggan yang boleh tahan ramai. Ada satu kedai charity yang aku pergi, menjual perabot-perabot. Sofa, meja makan, katil, kusyen semuanya takde yang rosak, cat pun cantik lagi dan tersangatlah murah. Depan pintu kedai, ada signage tulis ‘Only Good Condition Furniture For Donation’.

Jadinya yang aku faham, tentulah pemilik-pemilik barang ni mendermakan barang untuk dijual tanpa ada apa-apa pulangan kan. Macam tu jugak buku-buku. Aku sempat beli beberapa buah buku. Serious seolah-seolah buku baru. Malah aku jumpa buku Long Walk To Freedom pasal Nelson Mandela. Buku tu aku baru je beli kat MPH beberapa bulan lepas. Kalau bernasib baik, akan jumpa banyak lagi buku-buku yang masih dipasaran kat sini. Untuk aku yang memang bukan pengumpul buku ni, pada aku tak kisahlah kalau bekas tangan orang pun asalkan dapat membaca kisah yang sama. 

Teringat pulak aku, sorang kawan kaki novel masa aku study dulu. Punyalah cermat dan sayangkan koleksi buku-buku dia. Bila baca, nak selak pun kena hati-hati takut terkopak di tengah-tengah kulit luar buku. Siapalah yang berani nak meminjam kalau dah macam tu? Haha..

Buku-buku ni ada yang dijual semurah £1.45 (Buy 1 Free 3). Ada yang 99¢ sebuah. Ada yang 50¢ (beli empat dapat free paper bag lagi). Bergantung pada jenis buku. Tetaplah murahkan. Bukan novel je, buku akademik pun ada. Aku beli buku pasal Communication Skills by Bernice Hurst. Sebab apa aku beli. Pertama, sebab background aku dalam bidang komunikasi. Kedua sebab aku rasa, dalam banyak-banyak buku rujukan communication, ni lah antara buku yang menjelaskan apa itu komunikasi secara mudah dan faham tanpa terlebih awal intro bagai dengan teori comm. Thumbs Up!

Kaedah pembelajaran yang bagus pada aku, seharusnya tak terlalu terikat dengan teori. Bergantunglah pada course apa kan. Banyakkan bagi contoh atau simulasi. Tapi pengalaman aku, sistem pembelajaran kita memang macam tu. Chapter pertama syllabus selalunya teori dulu. Sehinggalah aku sambung master pun tak berubah. Tepu otak. Ahaks!

Kalau ada sesetengah barang yang warnanya dah tercalar sikit-sikit tu adatlah. Ada set pinggan mangkuk yang branded tapi mungkin sedikit retak. Barang-barang mainan pun masih boleh diguna cuma mungkin kotaknya dah kerenyot . What do you expect? Sesuailah dengan konsepnya kedai terpakai. Tapi tak menjadi masalah sebab kita akan dapat barang yang baik dengan harga yang terlalu murah. Dan mesej yang paling penting, untuk tujuan amal.

Tanyalah Diri Sendiri..

Melihatkan betapa mewahnya masyarakat kat sini terhadap konsep memberi dan beramal, aku mulalah mereset pemikiran dan pandangan aku tentang bersedekah ni. Kenapa kita di Malaysia tak banyak kedai-kedai yang macam ni? Memanglah takde istilah sedekah dan pahala di negara omputih ni, tapi kebajikan tu antara lain maksudnya menterjemahkan amalan yang sama dengan bersedekah la jugak kan. Kita kan ramai orang Islam. Tentu kita lebih faham tentang kelebihan bersedekah dan ganjaran pahala yang diterima.

Tak dinafikan akhir-akhir ni, timbul kesedaran masyarakat kita terutama individu yang memang aktif dalam kerja amal ataupun yang pernah tinggal di luar negara untuk mula menghidup dan menggerakkan kedai-kedai terpakai untuk tujuan mengumpul dana. Tapi setakat ini berapa jumlah yang ada? Sambutannya bagaimana?

Mungkin aku silap. Tapi aku rasa kebanyakkan kita tebal rasa malu nak membeli di kedai terpakai. Kita masih ada persepsi membeli barangan second hand ni untuk orang-orang yang tak berduit. Atau barangan terpakai tak de kualiti. Sebab kita adalah masyarakat yang selalu mengharapkan lebih dari apa yang kita beri. Mungkin kita bayar barang harga sepuluh ringgit tapi kita suka menjangkakan barang yang seperti seratus ringgit harganya. 

Kalau tak, tak delah pulak keluar video sindiran tentang perkara-perkara yang hanya berlaku di Malaysia tu kan. Salah satunya pasal masyarakat kita yang sangat sinonim dengan barang-barang percuma. Beli laptop satu, tapi kisahnya dari beg sampailah ke skrin laptop nak free. I bayar hokeyy! Haha..

Aku rasa kalau kereta tak semahal harganya sekarang, mungkin kedai kereta terpakai pun takde kat Malaysia. Semua orang nak guna kereta first hand. Tak mampu, masih boleh hutang bank. Ataupun orang kita takde apa nak di sedekahkan sebab memang takde barang yang elok, yang tak elok dah dibuang atau kalau pun masih elok, pasti ada harganya. 

Aku pernah mendengar kisah keluarga yang hanya berjual beli barang yang sudah digunakan sesama ahli keluarga. Si Kakak berura-ura membeli tv baru, lalu menjual tv lama separuh harga kepada Si Adik. Si Abang tidak lagi menggunakan laptop yang telah digunakan bertahun-tahun lamanya, menjualkan kepada Si Kakak. Ntahlah. Minta maaf, aku tak setuju. Tak salah menjual kepada ahli keluarga, tapi bergantunglah kepada barangnya juga. Kalau kenderaan, mungkin ada logiknya sebab begitu banyak kos yang telah dibelanjakan. Tapi kalau barangan kegunaan yang biasa, apa salahnya bersedekah atau lebih baik menghadiahkan sahaja. Maka berpanjanganlah pahala. 

‘Biarlah dibayar sedikit. Kalau tak, nanti tak appreciate’. Pulak dah.

Tak pun tengoklah situasi kita masa banjir. Aku yang terlibat mengumpul barang-barang derma dari orang ramai ni, sangat terkilan bila ada yang mendermakan baju-baju lama yang dah pun berbau lipas dan kuning. Berkotak-kotak. Ada sesetengah tu baju-baju yang dah koyak atau tak lengkap sepasang. Begitu juga dengan makanan. Ada yang dah tamat tarikh luput. Agaknya lebih baik derma dari dibuang begitu sahaja. Soalnya, berpahalakah kita menderma barang yang tidak berguna? Matlamat tidak menghalalkan cara.

Samalah jugak halnya di pejabat. Bos-bos yang dah memang gaji berkepuk-kepuk, kereta, handphone semua atas tanggungan jabatan, bila kurang sedikit claim, bising menggila. Walhal ada staff-staff bawahan yang gaji ciput langsung tak kisah dengan kerja lebih masa tanpa menuntut apapun. Tak semua, tapi realitinya berlaku di mana-mana.

Sebab tu aku yakin, fahaman kita khususnya masyarakat Islam di Malaysia tentang konsep derma dan sedekah ni masih kabur. Aku pun tak searif mana, tapi cukuplah dengan merenung keadaan yang aku dapat lihat hari ni, betapa menyedarkan aku bahawa bersedekah ini lagi besar nilainya bila memberi sesuatu yang kita sendiri rasa ianya berharga buat kita tanpa mengharapkan balasan apa. Sungguh.



Setakat ini dulu. Slainte!