Ada apa
pada kad ucapan?
Ini antara penilaian dan pemandangan yang aku
rasa menarik untuk direkodkan. Tak sempat nak aku kisahkan masa tengah Krismas.
Ketepikan segala persepsi negatif kita tentang sesetengah budaya barat yang
memang kita dah sedia maklum terlebih dahulu. Sebab apa yang aku nampak bila berada
di Glasgow, wujudnya nilai-nilai positif yang simple tapi besar kesannya.
Kalau kita kat Malaysia, aku rasa bila time
raya, apa-apa jenis raya lah kan, kad-kad ucapan ni dah tak diminati, dianggap
ketinggalan, leceh, membazir dan kalau ada kat mall pun, di rak yang dijual penghabisan
stok tahun ntah bila. Aku sendiri, raya tahun lepas dapat dua keping je kad
raya. Nasib ada. Itupun kad raya yang dikirim atas nama syarikat. Aku pun dah
tak ingat bila last mengirim kad raya dan bila last dapat kad raya daripada kawan-kawan.
Apa yang kebanyakkan kita semua buat termasuk
aku ialah forward sms/whatsApp raya, kan? Kalau aku, memang tak rajin nak
membalas ucapan raya yang diforward melainkan ucapan yang ditaip sendiri oleh
pengirim. Lebih ikhlas. E-card pun aku ingat dah tak sepopular dulu. Atau lagi
tragis mungkin ada antara kita tak ucap apa-apa, kepada sesiapa pun. Nanti
jumpa jugak masa open house. Open house is a trend. Takde duit pun, gigih nak
buat open house. Kesian.
Hakikatnya di sini, waktu nak Krismas, orang
sangatlah ramai di kedai-kedai yang menjual kad ucapan Krismas dan New Year. I
was like ‘Oh my god, this is unbelievable!’. Ada satu kedai ala-ala Lovely Lace
di tingkat bawah Tesco. Hari-hari aku tengok orang ramai kutla ada special
event ke ape sebab dekat-dekat nak Krismas selalu ada budak-budak sekolah buat
persembahan koir kat situ. Bila aku intai, masing-masing tengah sibuk memilih
kad. Ramai betul!
Aku ingat budaya kita sudah sangat ke hadapan,
masyarakat berteknologi hijau lah katakan sehingga kita tidak lagi perlu kepada
kad ucapan. Aku silap. Rupanya budaya kita makin kebelakang sebab kita sekarang
terlalu berkira-kira terhadap nilai silaturrahim dan tidak lagi memahami
bagaimana meraikan hubungan dengan hanya mengirim sekeping kad. WhatsApp free.
Sms baru 5 sen. Mungkin murah lagi. Tapi, antara membaca ucapan yang di forward-forward
dengan menerima kad di tangan, ada perbezaan bukan?
Aku tengok orang-orang di sini memilih kad
macam memilih buku. Dari budak-budak sampailah ke orang tua. Sangat tekun
meneliti ayat-ayat yang ditulis pada kad. Supaya penerimanya merasa more personal dengan mesej di
dalamnya. Tak semestinya kad dikirim kepada yang jauh. Sesama ahli keluarga dalam
rumah pun diorang saling bertukar kad, kata kawan aku. Lagi happening, ada kedai
siap offer half price. Agaknya pun, kalau di Malaysia bila kad dijual separuh
harga, mungkin orang akan mula balik mengirim kad. Kemudian berkira pula dengan
kos setem. Haha..
Tiba-tiba malu sendiri. Negara orang yang moden
pun tetap berupaya mengekalkan tradisi berhubung cara lama. Canggih sangat dah ke
Malaysia? Aku rasa pada masyarakat kat sini, yang penting bukan bagaimana
sesuatu perayaan itu disambut, tapi apa yang membuatkan setiap orang merasa
gembira menjadi sebahagian dari hari istimewa tu walaupun dengan hanya menerima
sekeping kad ucapan. Mana ada orang sedih bila dapat kad raya kan? Tau tak pe..
Sementara pejabat-pejabat lain dah mula
lengang, pejabat post kat sini tersangatlah sibuk dengan orang-orang yang
beratur nak membeli setem menjelang Krismas. Nampak di tangan masing-masing
kad-kad dalam sampul. Kebetulan aku pun ke pejabat pos mengirim barang untuk
adik di Malaysia.
Mengimbau zaman budak-budak. Dah lama tak rasa
perasaan macam tu. Menanti-nantikan abang postman, kalau-kalau ada sesiapa yang
mengirim kad raya. Bila dapat kad, penuh dengan pantun-pantun. Pecah tong la,
pecah gelas la bagai. Pecah ketawa. Baca terkekeh-kekeh. Ada yang kirim duit
raya syiling 1 sen. Dan yang pasti tak sabar nak membalasnya. Nostalgia sungguh.
So bayangkanlah, kita baru di tahun 2016 dan
kita dah merasakan budaya mengirim kad raya itu telah pun menjadi suatu kenangan
lama. Apa lagi yang tinggal untuk generasi kita yang akan datang agaknya?
Dahla miskin harta, miskin pula budaya. Huhu..
Tak kata orang lain.
Princess Agnes Dari Turkmenistan
Dalam pada tu, aku mendapat jemputan makan
tengah hari ke rumah salah seorang kenalan di Edinburgh. Cara betul menyebutnya
Edin-Brah. Paling yang aku suka tentang family Ornella ni pasal dia ada seorang
anak perempuan yang sangat cantik like a barbie doll and so polite. Umur baru lima
tahun. Agnes the princess. As what she likes to be called. Ada masa dia terlalu
excited bermain, memang bising satu rumah dengan suara dia. Budak-budak lah
katakan. Pernah sekali aku memang tak tahan gelak bila dengar jawapan Agnes
yang sangat innocent.
Ornella : Agnes, you are like monkey.
Agnes : No,
Agnes is princess.
Ornella : So, who’s monkey here then?
Agnes : Mama (sambil sengih-sengih)
Cuba kalau anak-anak kita di Malaysia cakap
macam tu? Kena cubit la padahnya. Haha..
Agnes adalah kelahiran campuran Rusia, sebelah
bapanya Alex dan Turkmenistan, sebelah ibunya, Ornella. Manalah tak cantik.
Boleh google sendiri tengok betapa hensemnya orang-orang Rusia dan betapa jelitanya
orang-orang Turkmenistan. Bermata biru, rambut perang, hidung halus, bibir
nipis, kulit putih pink-pink macam pakai blusher. Subhanallah. Ni atas dunia. Tak
tergambar dek kita indahnya pula bidadari syurga.
Aku juga pasti tak ramai yang tahu tentang
negara Turkmenistan. Most of the time, Ornella lebih senang menyebut dia dari
Ashgabat. Capital city of Turkmenistan. Aku pun mula-mula ingat Ashgabat nama
negara. Mungkin ini agak asing bagi kita di sebelah Asia Tenggara. Bagi yang
tak tahu macam aku dulu, Turkmenistan adalah juga sebuah negara Islam. Orthodox Christian adalah agama minority. Tapi
kebanyakkan rakyatnya yang muda-muda tidak tahu berbahasa asal. Mereka lebih
fasih berbahasa Rusia.
Selain dari Agnes, lagi satu sebab ialah
kedudukan rumah diorang ni. Tingkap kiri menghadap laut terbentang luas saujana mata
memandang. The North Sea of Antartica. Boleh tengok lighthouse, pulau-pulau, kapal-kapal
dan seagull singgah di birai atap. Dari tingkap kanan pulak boleh nampak Istana
Edinburgh. Tengok guna binocular lagi lah jelas. Tak tahu nak aku gambarkan betapa
cantiknya. Jealousnya aku. Nak jugak rumah macam ni. Huhu..
World of Salad
Menu lunch kali ni, aku dihidangkan dengan
berjenis-jenis salad. Langsung tiada daging demi menghormati aku yang Muslim
ni. Bukan bermakna aku tak makan daging, tapi nak menunjukkan betapa diorang
sangat berhati-hati dengan apa yang aku boleh atau tak boleh makan. Senangkan
kalau semua orang di dunia macam ni. Aku yakin ramai lagi orang Islam kita yang
masih ragu-ragu nak berkunjung ke rumah non-muslim atas isu ini. Jauh sekali
nak bersahabat. Begitulah juga sebaliknya mungkin.
Aku tiada pilihan memandangkan tak ramai orang
Melayu kat sini. Bagaimana sekalipun, aku sangat bersyukur dapat menghayati Islam
dengan mengenal dunia selain tanah kelahiran. Tanpa perlu meletak sempadan atau batasan mengatakan
agama tidak membenarkan itu dan ini. Sentiasa ada kaedahnya. It’s the way of
life. Islam itu syumul. Hatta ke Kutub Antartika.
Jauh pulak aku menyimpang. Ahaks!
Salad yang paling best pada aku, ubi kentang
besar, dibelah dua dan dikukus. Besar macam separuh saiz novel aku rasa. Memang
besarlah dari ubi kentang yang biasa aku jumpa kat Malaysia atau yang pernah
aku makan. Kemudiannya tak silap aku Ornella korek sikit isi ubi kentang dan
isi coleslaw kat dalam ruang yang kosong tu. Tapi coleslaw dia, Waduh! siap ada
mushroom, jagung, kobis putih dan purple tu, carrot, memang meriah. Aku makan
tiga. Bukan tiga sudu. Haha..
Satu lagi jenis salad yang dicampur mayonaise, sayur,
tuna dengan biskut mayat. Yang ni pun sangat awesome bila dimakan dengan roti.
So crunchy. Salad yang tak kurang bestnya, kobis purple digaul dengan red beans.
Macam baked beans tu, tapi warna merah. Dan aku tak pasti nama kobis purple tu apa dalam
bahasa omputih. Tapi yang ni bila makan ada rasa pedas-pedas macam makan
wasabi. Ornella letak serbuk rempah lebih kurang macam black pepper. Pun pada
aku ok. Masih sedap.
Dua lagi salad tu, yang dah biasa pada aku.
Sayur campur-campur dan digaul dengan olive oil ditambah sedikit perahan lemon.
Yang aku biasa tengok tapi tak biasa makan, salad yang ada raddish dengan daun
bawang atau dipanggil spring onion. Tak pergi tekak aku ni. Sorry Ornella. Dia
pun tahu. Haha.. Maka kenyanglah aku hari itu dengan memakan salad dan roti.
Aku tak balik dengan tangan kosong. Dalam
banyak-banyak hadiah yang diletakkan di bawah pokok Krismas tiruan, aku turut dihadiahkan
rice cooker dan satu set cadar. Aku tak meraikannya tapi aku juga tak menolak
hadiah yang diberi. Bukan tak cuba menolak, takut pula Ornella dan Alex berkecil
hati kalau aku tak terima. Aku anggap itu rezeki. Betapa ianya juga terkesan
pada aku.
Samalah konsepnya macam bila Tahun Baru Cina,
ramai orang Cina yang menghadiahkan oren atau hamper pada masyarakat Muslim. Saling
berkongsi hari gembira. Cumanya yang aku terfikir, bila tiba Hari Raya kita,
apa pula yang kita beri? Walaupun aku ada kawan-kawan yang bukan Islam, tapi aku
sendiri tak pernah memberi hadiah atau duit raya pada diorang. Tak pernah
terfikir langsung.
Di Malaysia, raya kita raya kita, raya mereka
pun raya kita. Tak percaya, tengokla siapa yang paling ramai bershopping setiap
kali sale apa pun jenis raya. Haha..
Aku sekadar berkongsi. Baik buruk manapun,
Malaysia tetap di hati. Hari-hari telan roti dan keju, sambal belacan jugak yang
dirindu. Macam tulah ibaratnya.
Setakat ini dulu. Slainte!
0 comments:
Post a Comment