Thursday 20 November 2014

SETIA

Jujurnya dalam menyayangi perlu SALING SETIA. Setia akan mengikat hati untuk terus benar mempercayai, meyakini langsung menghilangkan segala ragu dan yang sangsi. Percayalah apa jua ikatan kasih sayang mahupun sesuatu yang dilakukan, dibina dengan kesetiaan akan berpanjangan biarpun yang dicintai jauh dari sisi. 

Setia perlu SALING IKHLAS. Jangan meletakkan harga pada setia kerana ia mungkin bisa membuatkan kita terluka. Andai benar kita setia, harus kita menerima seadanya, kekurangan dan kelemahan juga menghargai kelebihan dan keistimewaan pada yang kita cinta. Tiada yang sempurna begitu juga kita. Berkorban kerana setia, perlu ada batasnya. Untuk apa perlu setia andai apa yang kita cinta, melacurkan apa yang kita percaya. Meruntun hati sedang kita juga berhak bahagia. Untuk apa kita setia, andai apa yang kita lakukan membuatkan seluruh kehidupan kita tidak lagi bermakna. Belajarlah untuk setia selagi mana ia memberi pengertian terhadap apa yang kita percaya.   


Jangan diuji hati yang setia. Kagumlah dengan kehidupan mereka yang serba payah. Betapa si isteri yang sudah tua, kerana setia, sanggup bekerja mencuci sedang suami tidak lagi berupaya. Betapa seorang anak remaja, kerana setia, tidak lagi bersekolah demi menyara keluarga. Betapa seorang pejuang, kerana setia, sanggup syahid kerana agama. Betapa seorang pendidik, kerana setia, tidak pernah berputus asa dengan apa yang diajarkannya sedang menghadapi anak didik sangat menduga. 


Betapa besarnya nilai setia.


Setialah dalam bercinta. Andai akhirnya dia bukan untuk kita, tetap kita percaya jodoh dalam kehidupan bukan ketentuan kita. Bukan kerana kita tidak setia. Kerna itu, orang yang setia harus dihormati perasaannya. Usah pula diukur setia dan cinta pada yang Mencipta kerana itu adalah cinta mutlak tanpa perlu dipersoal di mana setia kita. 


Ada apa pada setia?




Friday 14 November 2014

Kekuatan

Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah pudar. Walaupun kekadang kita jatuh terduduk dengan ujian yang tak mengenal penat, dek semangat kita bangkit berdiri mengharung badai kehidupan. Lihat saja kehidupan manusia yang lahir tanpa kesempurnaan. Masih ramai si buta mengurut kaki yang sempurna, masih ramai si kudung yang melukis tanpa jari, masih ramai antara mereka yang punya semangat tinggi lantas mencipta kekuatan luar biasa untuk meneruskan kehidupan dari kita yang punya segala.

Bersemangatlah!Usah terlalu risau dan kusut lalu keluh kesah dengan urusan dunia yang tak pernah sunyi hingga kita terkadang lupa sedang kekuatan untuk melalui apa yang ada dalam kehidupan hari ini adalah dari Nya yang mengatur juga merencana. Bersemangatlah untuk terus kuat hidup dengan mempertahankan nilai-nilai kebaikan yang kita ada. Bersemangatlah untuk terus kuat hidup demi memperjuangkan prinsip-prinsip hidup beragama kerana akhirnya itu adalah matlamat sebenar kehidupan dunia. Bersemangatlah untuk terus kuat hidup menjaga apa yang kita cinta biarpun bukan milik selamanya. 

Di tengah-tengah perjalanan, kita adakalanya terkeliru dan khilaf dengan mainan dunia, tersepit dengan soal kehidupan, akur dengan gelombang dan arus, TETAP JANGAN LEMAH. Bisiklah pada hati agar hati ini tidak rajuk untuk tegar mencari kekuatan kerana hidup bukan untuk mengalah.       

Thursday 13 November 2014

Harapan

Kuatnya kita untuk terus hidup juga adalah kerana adanya harapan. Kita berharap hidup kita satu hari nanti, akan jadi lebih baik daripada hari ini ataupun kesukaran yang kita lalui pada hari ini,saat ini akan ada harapan untuk menjadi tidak sesukar ini. Lebih bahagia. 

Kerna itu, adalah penting untuk kita membina harapan yang baik-baik supaya kita tak merasa lelah terhadap apa jua perkara yang mendatang dalam kehidupan. Rasa cinta juga menghadirkan harapan. Orang yang mencintai agamanya, sentiasa meletakkan harapan paling teratas untuk menjadi hambaNya yang terbaik dunia dan akhirat. Orang yang mencintai keluarganya akan sentiasa mengharapkan ahli keluarganya aman damai. 


Tanamlah rasa kecintaan dalam hati supaya HARAPAN TIDAK MATI. Selagi kita mencintai, selagi itulah kita merasa yakin terhadap harapan yang kita sandarkan. Dalam apa juga perkara. Lakukanlah apa yang perlu supaya apa yang diharapkan menjadi kenyataan. Hiduplah dengan apa yang kita harapkan dan impikan!

Sunday 9 November 2014

Belajar Mencintai Untuk Menghargai

Semua makhluk yang hidup dalam dunia ni, khususnya yang bernama manusia memerlukan cinta. Sama ada mencintai atau dicintai atau kedua-duanya. Percaya atau tak, cinta mampu menggerakkan manusia untuk melakukan sesuatu yang dulunya nampak mustahil, menjadi satu kenyataan. Dah banyak ditulis dalam sejarah manusia dari zaman berabad lamanya betapa hebatnya KUASA CINTA. Tak kiralah cinta kepada agama, sesama manusia ataupun terhadap kebendaan.



Sebab tu adanya kata-kata 'Cinta mampu mengubah dunia'. Betulkan. Bila hati kita rasa cinta kepada sesuatu, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Tak pun, sedaya upaya menzahirkan rasa kecintaan kita tu dalam apa jua cara. Yang paling penting, bagaimana kita melihat rasa cinta itu boleh membuatkan kita menjadi lebih positif. POSITIF KERANA CINTA. Ada orang yang sanggup belajar jauh beribu batu kerana kecintaannya pada ilmu. Bayangkan rasa cintanya membuatkan dia menjadi manusia yang lebih bersemangat dan bermotivasi untuk mengharungi kepayahan merantau. 





Rasa kecintaan yang mendalam akan membuatkan kita membina impian terhadap kehidupan. Selagi mana kita meletakkan nilai cinta pada prinsip yang benar. 'Lakukan apa yang anda cintai, dan anda akan mencintai apa yang anda lakukan'. Tidak dapat dinafikan lagi. Hidup adalah satu perjalanan yang sangat singkat. 

Selalu orang kata, jangan dikisahkan dengan pertambahan usia anda hidup, sebaliknya adakah bertambah nilai kehidupan dalam usia. So, dengan cinta terhadap apa yang ingin kita lakukan dalam hidup akan akhirnya membuatkan kehidupan kita lebih bermakna. Belajarlah untuk mencintai. Tinggal lagi, sempatkah kita untuk memiliki kehidupan dengan apa yang kita cintakan?