Thursday 18 December 2014

Dia Hanya Security Guard

Dalam kebasahan dengan berlindungkan sekaki payung, dikala hujan lebat tanpa beralas baju plastik diluar uniform, dia tetap sabar melakukan tugasan biasa. 'Cik staff ke? Ok, boleh masuk'. Tugasnya hanya perlu memastikan setiap orang yang meletakkan kenderaan ke kawasan parking khas mempunyai stiker jabatan. Sampai satu waktu, dibubuh blok bongkah besar tengah laluan bagi menghalang kenderaan lain menceroboh. Ada tikanya dia dilihat terkejar-kejar berlari-lari anak sambil melambaikan tangan, tanda tidak boleh ke arah tuan punya kenderaan yang masih mahu mengalihkan bongkah. Risau benar dia. Silap-silap terlepas pandang ada kenderaan asing yang masuk.

Tak macam yang sebelumnya. Ini security guard baru. Adanya dia, terasa hati dan fikiran lebih tenang ke tempat kerja. Sekurang-kurangnya tak lagi perlu risau memikirkan kemungkinan tempat letak kereta diambil orang atau langsung tak boleh masuk ke tempat letak kereta (telah ada orang lain yang meletakkan kenderaan dengan menutup laluan). Tidak lagi risau sesak. Juga tak perlu lagi bersusah-susah mencari-cari kon untuk diletakkan di parkir sebelum keluar bermesyuarat di luar. Segalanya ditanggung beres. Permulaan hari bekerja yang menggembirakan.

Ya Tuhan! Mudahnya dia melapangkan urusan orang lain. Hadirnya dia seorang, telah memberikan kebaikan kepada beberapa orang yang lain. 

Dia hanya security guard. Dia tidak memiliki segulung ijazah untuk memahami teori pengurusan kerja secara efektif dan sistematik. Pareto Law atau Theory X dan Y. Dia juga tidak pernah khatam Kitab Hadis 40 atau Tafsir Ibn Kathir untuk mengerti betapa besarnya pahala bagi manusia yang hidupnya memudahkan urusan orang lain. Memberi manfaat. Barangkali dia hanya tamat Muqaddam.

Dan dia hanya security guard. Dia mungkin hanya memahami yang sangat jelas, sekiranya dia tidak melaksanakan tugas sebaiknya, ada yang akan memarahi. Atau mungkin dipotong gaji. Lebih teruk diarah berhenti. Maka bertugaslah dia penuh amanah. Berhujan mahupun berpanas terik demi mengharapkan gaji yang tidak seberapa.  

Andai diukur tangga pahala, boleh jadi dia lebih berbanding dari kita. Berapa ramai antara kita yang bergaji besar, kerjanya di pejabat berhawa dingin, duduk di kerusi sofa empuk serba cukup namun masih tidak benar-benar amanah dalam bekerja. Tidak memudahkan bahkan menyukarkan. Amanah itu luas konteksnya. Menyulitkan orang lain dengan karenah-karenah yang tiada timbang rasa juga tidak amanah. Yang di atas meletakkan beban kerja tanpa mengukur tahap upaya pelaksana di bawah juga tidak amanah. Kita punya kelulusan dan kepandaian tapi sejauh manakah mampu memberi makna untuk kita bekerja dengan amanah sebagai pemudah cara kepada orang-orang yang berhubung dengan kita? 

Hiduplah dengan menjadi sebaik-baik manusia. Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain. Itu sunnah. Usahlah dinilai bagusnya kita kerana kertas-kertas sijil akademik yang ada tapi lihatlah betapa mulianya manusia kerana kebaikan-kebaikan yang dikongsikan walau DIA HANYA SECURITY GUARD.
       

Friday 12 December 2014

'...Kun Fayakuun'

Sesungguhnya perjalanan hidup teramat-amat singkat. Semalam kita masih punya kesempatan bergelak ketawa, merasai makanan yang sedap-sedap, menatap wajah-wajah insan yang disayangi, menjiwai drama tontonan penuh emosi hingga berderai-derai air mata ataupun sedang berkira-kira untuk mendapatkan apa yang diimpi. Menjalani kehidupan seperti apa yang kita mahukan. Bahagia.

Namun boleh jadi hari ini kita sudah terlantar sakit tanpa kita duga, bertahan antara hidup dan mati, ditimpa kemalangan yang bukan salah kita, tidak lagi berharta, tidak punya upaya atau langsung terus tidak lagi bernyawa. Kehidupan yang ini, tidak lagi seperti yang dulu. Sekelip mata.

'...Kun Fayakuun'.

Apa yang telah berlaku dan berlalu tidak mungkin mampu untuk kita putar kembali roda masanya. Beruntunglah kita andai kehidupan semalam dan yang sebelumnya telah kita lalui sebaik mungkin. Telah dapat kita manfaatkan segenap peluang dan ruang dengan perkara-perkara kebaikan dan melengkapkan setiap kekurangan dengan jiwa kehambaan dan redha. Meletakkan keikhlasan pada tahap tertinggi dalam perhubungan. Bersedia untuk kembali ke asal kita dijadikan. Menginsafi penciptaan.

Tak kurang ramainya kita yang mungkin semalam hidup dalam kebencian serta keegoan. Adakala kita mudah menghakimi manusia dengan keterbatasan nilaian akal tanpa jiwa. Hidup atas prasangka. Terkadang apa yang dibibir hanya indah pada mata dunia. Sedang rentak laku tak seirama kata. Kerna itu, kita manusia biasa. Tiada yang sempurna.

Tekadlah dengan niat kebaikan walaupun terasa payah dilakukan. Biarpun sikit tetap peduli. Senyum bukannya rugi. Moga yang sedikit ini menjadi akar untuk menyuburkan pohon-pohon kebaikan yang seterusnya.  Doa barangkali kebaikan yang istiqamah bisa mehazafkan kesilapan-kesilapan semalam dan lalu. Meringankan ujian-ujian yang mendatang di hari esok. Membias keajaiban dalam kegentingan dan kesulitan. Buanglah yang tidak elok jauh-jauh. Kerna esok belum tentu.

'...Kun Fayakuun'.

Hargailah insan-insan yang dekat dengan kita. Setiap yang dipertemukan pasti punya makna. Hayatilah nikmat kehidupan dunia dengan rasa kecintaan kepada kehidupan selepas tiada. Ertikan setiap saat selagi masih bernyawa.


 


Thursday 11 December 2014

Bukan Kenapa Tetapi Bagaimana

Kehidupan takkan berubah ke mana dengan hanya meramal. Dengan memikirkan segala kemungkinan-kemungkinan yang mustahil dan membebani fikiran dengan mencari jawapan terhadap kenapa. Kenapa hidup ini begini dan begitu. Kenapa aku bukan dia. Kenapa satu bukan dua. Kenapa dan kenapa.



Banyak perkara dalam kehidupan berlaku diluar jangka. Tak terjangkau dek akal. Mudahnya, menerima apa yang ditakdirkan adalah apa yang ditentukan terbaik untuk kita bersesuaian dengan apa yang kita minta. Mahu yang lebih baik, maka usahakan dan doakan. Namun kadang-kadang apa yang kita lalui pada hari ini, tidak seperti yang kita rancangkan. Segalanya serba tak kena. Masa berlalu hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, masih tertanya-tanya kenapa begini jalannya untuk kita?



Makin digali kenapa, makin bercambahlah andaian-andaian penyedap rasa. Makin keraplah zikir tasbih 'kalau' di hujung kata. Makin menebal blok-blok penghalang untuk kita pergi lebih jauh. Tetap hidup, masih sediakala. Begitulah. Sedang takdir tak pernah salah.



Berhenti. Usah tanya kenapa. 



Teruskanlah hidup dengan bagaimana. Bagaimana harus kehidupan ini dijadikan lebih indah, lebih bahagia? Bagaimana harus muhasabah untuk menjadi hambaNya yang bersyukur? Bagaimana untuk memperbetulkan apa yang tidak betul? Bagaimana memberi ruang untuk berbuat baik kepada diri juga orang lain? Bagaimana untuk menikmati kehidupan seadanya tanpa perlu mempersoal kenapa? Bagaimana kehidupan ini perlu harus banyak memberi dari menerima?



Nah, terbuka luas di hadapan seribu satu laluan untuk kita cari jawapan. Ciptalah fikiran-fikiran yang positif untuk kita melihat kehidupan sebagai sesuatu yang harus didepani bukan disesalkan. Hidup adalah satu cabaran. Dan kita harus berani. Apa yang ada di masa hadapan mustahil untuk kita tentukan. Namun apa yang ada pada hari ini, adalah kesempatan untuk kita tentukan bagaimana layarnya untuk kita warnakan. Pilihlah untuk tidak lagi kenapa.



Bagaimana?