Sunday 26 February 2017

Tak kahwin Risau Kehidupan Adik-adik Tak Tentu Hala. Perlu Ke?

Fakta berkaitan anak sulung memang popular. Tajuk seperti pengorbanan anak sulung, kelebihan anak sulung, personaliti anak sulung yang ibu bapa perlu tahu dan sebagainya dah selalu kita jumpa. Namun yang paling menarik perhatian aku adalah kenyataan anak sulung juga dianggap sebagai eksperimen ibu bapa.

Lazim orang memperkatakannya daripada sisi peranan ibu bapa. Bagaimana ibu bapa membezakan bentuk didikan. Misalnya dengan bilangan anak yang ramai, di antara anak pertama dan anak yang bongsu, pendekatannya tidak lagi sama. Sebab itu, perspektif anak sulung dengan anak bongsu terhadap keluarga kemungkinannya tak serupa. Sebagaimana yang aku kongsikan daripada pembacaan Pengorbanan Anak Sulung

Tapi aku suka melihatnya daripada sudut anak sulung itu sendiri. Pada aku, anak sulung perempuan yang mempunyai ramai adik-beradik seharusnya menjadi seorang yang lebih realistik bukan idealistik. Mudahnya, usah meletak beban atas bahu sendiri jika rasa diri tak mampu melaksanakan tanggungjawab sesempurna yang diinginkan. Aku tak kata orang lain. Berbalik kepada diri sendiri.

Sekiranya seseorang itu adalah kelahiran September dan merupakan anak pertama seperti aku, berhati-hatilah supaya personaliti diri negatif yang terlalu teliti, suka mengkritik dan sangat sensitif tidak memakan diri di masa hadapan. Boleh rujuk sendiri Personaliti Individu Lahir Bulan September

Tidak hairanlah jika ada kajian yang membuktikan, ramai anak sulung bukan sahaja yang paling bijak dan cemerlang bahkan juga yang paling ramai dirundung kemurungan.

Jika dikatakan anak sulung itu adalah eksperimen, maka aku adalah bahan ujikaji yang terhasil daripada formula yang tidak cukup elemen. Sehingga menjadikan aku ibarat span yang lebih banyak menyerap kesedihan daripada kegembiraan. Bukan salah mak ayah, tetapi kerana karakter aku yang mahukan semuanya lengkap seperti apa yang aku bayangkan. Pasal itulah kadang-kadang aku menyampah dengan diri sendiri. Ahakss!

Saat aku mula memahami tanggungjawab aku sebagai anak sulung, aku mula meletakkan diri sebagai pengisi ruang kosong kepada adik-adik, lantaran ketika itu mak ayah aku sibuk bekerja dan mencari rezeki. Diorang tak suruh pun . Cuma aku percaya mereka (adik-adik) berhak diberi perhatian yang lebih baik berbanding apa yang aku terima.

Ibarat adiwira yang menyelamatkan dunia! Hakikatnya, walau aku berjaya menampal ruang-ruang tersebut tetapi dalam pada masa yang sama, aku tanpa sedar mengorek lubang kosong yang lebih dalam pada diri sendiri. Inikah yang dikatakan pengorbanan? Aku beranggapan, ia sebenarnya adalah akibat daripada salah membuat perhitungan dan penafsiran. Aku tak akan sesekali mampu mengambil alih tugas mak ayah sebab walaubagaimana sekalipun aku tetap seorang anak.

Dulu aku selalu pelik dengan orang perempuan sulung yang ramai adik-beradik tetapi boleh kahwin awal. Tak rasa bersalah ke? Adik-adik masih kecil. Siapa yang nak bantu urus keluarga? Sedang aku pula tak sanggup nak sebut pasal kahwin apatah lagi nak bercinta. Belanja kenduri sahaja dah berapa? Adik-adik aku pun nak pakai duit belanja sekolah mereka. Ikutkan hati, betapa aku inginkan keluarga sendiri. Seronoknya dikelilingi dengan anak-anak yang comel. Natijahnya, setiap lelaki yang hadir dalam hidup aku, terpaksa aku cipta alasan untuk aku ketepikan.

Perasaan kasihan dengan adik-adik aku mengatasi segalanya. Mereka lebih perlu diutamakan supaya dalam proses mereka membesar, mereka tahu untuk menghargai ikatan kasih sayang dan adanya sokongan ahli keluarga dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Dan akhirnya aku memahami, setiap keluarga juga kehidupannya berbeza. Bukan semua anak sulung perempuan, situasi keluarganya sama macam aku. Dah bukan jodoh aku. Kata aku menyedapkan hati sendiri.

Di antara tradisi keluarga aku, apa-apa yang berkaitan menghantar anak ke sekolah atau asrama, solusinya adalah dengan menumpang orang atau menaiki kenderaan awam bersendirian. Dari zaman aku, sehingga ke zaman adik aku yang bongsu. Aku tak suka. 

Aku tahu apa perasannya membawa beg yang berat dan kepenatan bertukar ganti kenderaan daripada bus kemudian terpaksa menunggu teksi. Rasa tak hilang penat walhal esoknya kelas dah start. Tak kira lagi perasaan segan dan malu dengan ibu bapa kawan yang mengizin ditumpangkan.

Kerana itu, sejak di universiti aku kerap balik ke rumah paling kurang sebulan sekali asal tahu ada adik-adik aku yang berasrama cuti. Jadi, dengan duit PTPTN, aku ada belanja sendiri mengisi minyak dan berpeluang menghantar adik aku balik semula ke asrama. Aku juga berprinsip, sekiranya keluarga yang menghantar ia sedikit sebanyak memberi suntikan motivasi. Kalau aku kahwin, siapa pula yang akan menggantikan tugas yang aku buat ni?

Sehinggalah aku bekerja dan mampu membeli kereta. Aku memilih kereta jenis sedan. Gaji aku tak besar. Jumlah bersih yang aku terima RM1,600 sahaja. Ansuran kereta dah RM550 sebulan. Banyak mana sangat baki duit yang dapat aku simpan. Tapi tak mengapa. Senang aku ulang-alik menghantar adik-adik dan mereka boleh membawa sebanyak mana barang yang mereka suka. Bonet kereta luas dan selesa. Diorang pun dah tak perlu risau untuk melanjutkan pelajaran walau jauh di ceruk manapun di Malaysia.

Sejak kami kecil, keluarga aku tak pernah didedahkan dengan makanan fast food. Aku sendiri mula mengenali keenakan KFC, McDonalds, A&W dan sebagainya sewaktu aku tinggal bersama Mak long aku. Jujurnya, aku banyak menghabiskan masa membesar dengan Mak long. Secara tak langsung, karakter mak long aku yang kecoh dan minat melancong sedikit sebanyak terkesan kepada aku.  

Jadinya, kalau orang lain menghabiskan duit PTPTN dengan membeli keperluan sendiri atau menyimpan di bank, aku pula ‘membazir’ untuk adik-adik aku merasa makanan, berjalan-jalan atau membelikan pakaian yang tak pernah diorang ada sekali sekala. Aku memang impikan kehidupan keluarga yang aku nampak sebagaimana pada kehidupan sahabat-sahabat aku yang lain. Keluar makan bersama-sama di restauran, balik kampung menziarahi sanak saudara, pakai baju sedondon di Hari Raya ataupun bersarapan sambil berkelah di tepi pantai hujung minggu. Alangkah bahagianya.

Masa aku sekolah, aku tak punya cerita-cerita indah yang dapat aku kongsikan dengan kawan-kawan usai tamat cuti sekolah. Aku hanya duduk rumah. Aku tak mahu adik-adik aku menyimpan kenangan yang sama. Tidak dapat tidak, aku buat perubahan untuk adik-adik aku. Aku tak kisah membazir ke sana ke mari, asal adik-adik aku seronok menikmati rasa hidup bekeluarga.

Mak ayah aku jenis ibu bapa yang autokratik. Bukan kuku besi. Tetapi berpendirian membuat keputusan tanpa campur tangan anak-anak sendiri. Apatah lagi mendengar pandangan anak perempuan. Ada sekali kemuncak kepada penentangan apabila ayah aku secara tiba-tiba, tergesa-gesa mahu pindah rumah. Berkat petunjuk Allah daripada balik ibadah umrah. Kata dia. 

Hancur luluh hati aku bila melihat rumah yang bakal kami duduki adalah rumah usang yang telah ditinggalkan lebih 10 tahun di sebuah tanah seluas satu ekar setengah dalam hutan. Sedangkan sebelum itu kami duduk di sebuah rumah teres dalam sebuah kawasan kejiranan. Aku pura-pura gembira.

Sudah aku katakan. Aku adalah anak September yang cenderung memendam perasaan. Aku tak menentang secara luaran tetapi aku benar-benar tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Fikiran dan emosi aku terganggu. Aku simpati dengan nasib adik-adik di rumah yang perlukan ruang selesa untuk hidup dan belajar. Bekalan air pun selalu terputus. Aku tekad mahu berhenti pengajian semasa aku sedang ditahun ketiga fakulti undang-undang. Bidang yang aku idam. Keputusan peperiksaan aku merosot teruk.

Syukurlah Allah membukakan hati aku untuk berfikir dengan lebih rasional. Jika aku tidak habis universiti, bagaimana dapat aku menjadi contoh kakak yang terbaik untuk adik-adik aku nanti? Aku batalkan hasrat tersebut. Aku membuat rayuan menukar jurusan yang lebih ringan. Tetapi aku pula dah menyusahkan mak ayah aku kerana terpaksa membayar yuran sendiri tanpa bantuan PTPTN.

Alhamdulillah, sekarang adik aku yang bongsu pun dah bergelar mahasiswi. Aku juga yang menghantarnya sewaktu hari pertama mendaftar. Walaupun masih banyak urusan keluarga yang seharusnya aku pikul, namun secara perlahan-lahan aku mengundurkan diri. Biarlah adik-adik aku pula yang sudah besar menyambung peranan. Aku bukan adiwira. Aku bukan superwoman. Aku hanya manusia biasa yang juga berhak untuk punya hidup sendiri sebelum sampai masa menutupkan mata.

Aku sedar yang aku tidak akan boleh selamanya melindungi adik-adik aku daripada merasa keseorangan dan hidup bergantungan. Diorang sendiri pun belum tentu dapat memahami dan menghargai segala apa yang telah aku lakukan. Yang pasti diorang juga perlu diberi ruang untuk mengalami sendiri kesusahan hidup berdikari dan berusaha untuk bangkit semula setelah jatuh. Ia adalah proses kehidupan normal semua manusia yang harus ditempuhi.

Menjadi anak sulung adalah hadiah yang tak ternilai sekiranya kita bijak membuat pilihan. Merencana kehidupan dengan berkiblatkan imaginasi yang penuh idealistik dan kesempurnaan hanya akan membawa kita jauh daripada realiti kehidupan keluarga sebenar, yang akhirnya membuatkan kita menjadi anak sulung yang tak punya apa untuk dibanggakan. Sungguhpun begitu, ia bukanlah penghalang untuk kita tersenyum bahagia dengan segala tanggungjawab yang telah dilaksana.

Buat anak-anak sulung seperti aku, kalau dah ada jodoh yang baik, terimalah saja lamaran. Kalau dapat peluang bekerja di tempat yang kita inginkan, pergilah. Tak usahlah berbolak-balik selagi mak ayah izinkan. Berkorban biarlah bertempat agar kehidupan sendiri tak disia-siakan.

0 comments: