Sunday 12 February 2017

Misi 3 Bulan Pandai Jawi : Mengecam & Menghafal Bentuk Huruf

      Kelas bukan sebarang kelas. Kelas intensif jawi sampai budak boleh membaca pantas. Siapa ada anak yang tak pandai membaca Jawi? Meh, aku bantu ajarkan. 

      Aku pada awalnya berniat kerana ingin menolong sahabat adik yang mencari guru di kelas fardhu ain buat sementara. Bagi menjaga student yang bakal menghadapai ujian penilaian akhir tahun.

         Namun bermula dari September tahun lepas, hingga sekarang aku masih kekal mengajar di situ. Memandangkan ia adalah kelas fardhu ain persendirian, studentnya agak terhad dan hanya ada dalam 10-15 pelajar dalam satu kelas. Selesa dan tak memeningkan kepala. Cuma bezanya masuk tahun ini matlamat aku tidak lagi sekadar menjadi guru ganti.

           Baru aku sedar betapa sukar rupanya mengajar Pendidikan Islam untuk budak yang buta Jawi. Hampir separuh daripada budak yang mendaftar tahun 3 dan 4 tidak boleh membaca Jawi langsung. Ada yang kenal huruf tetapi tidak tahu menyebut. Ada pula yang tahu sebut tetapi hurufnya entah mana hala. So, macam mana nak disuruh membaca buku teks atau membuat latihan dalam buku aktiviti, kan.

            Tak mengapa. Aku sahut cabaran ini. Aku ada sekurang-kurangnya 3 bulan untuk aku pastikan anak-anak didik aku boleh membaca Jawi dengan baik. Buat masa ini, aku ketepikan dahulu subjek aku yang lain iaitu Aqidah & Sirah (which is my favorite). Tidak boleh nak dipanjangkan tempoh lebih lama dengan mengambil kira agar budak-budak tu pun tak tertinggal untuk belajar subjek selain Jawi. Permudahkan urusan aku Ya Allah!

           Aku takde strategi atau teknik tertentu. Aku percaya prinsip asas belajar Jawi pun samalah macam membaca Al-Quran. Nak tak nak, kena betul-betul mengecam huruf dan sebutannya. Ada kaedah yang boleh membaca Jawi hanya dalam masa 4 jam katanya. Tapi tak pulak aku beli modul tu. Aku buat jelah kaedah aku sendiri sebab tahap kemahiran budak-budak bukannya sama semua. 

          Untuk dua minggu pertama Februari, aku telah mula mengulang-ngulang sama ada dengan cara menulis atau menghafal huruf-huruf jawi. Alhamdulillah ada dua tiga student yang dah menunjukkan kemajuan. Baru proses mengenal. 


Lam, Le, L

       Aku buat latihan dengan cara memberi perkataan Jawi yang ditulis tidak bersambung, kemudian menukar kepada huruf rumi. Misalnya, ejaan huruf Sin, Kaf, Wau, Lam, Ha ditukar kepada "Sekolah". Aku juga mula sedikit demi sedikit masuk topik baru iaitu huruf vokal Jawi. Alif, wau dan ya. Aku tak pasti sama ada cara aku ini betul atau salah. Tapi pada aku, takde salahnya untuk aku bereksperimentasi. 

      Apapun aku harus bersabar mendidik anak-anak yang menghadapi masalah pembelajaran sebegini. Mereka bukan sahaja lemah Jawi tetapi juga tidak cekap membaca Bahasa Melayu. Tak sabar untuk aku melihat perkembangan mereka hari demi hari. Moga usaha aku ini mendapat keberkatan dan membuahkan kejayaan! Insha Allah. 


0 comments: