Friday 15 January 2016

Bersedekah Dari Hati

Barangan Terpakai.. Why Not!

Aku sebenarnya tak sure dengan sistem di UK ni lagi. Adakah kalau kita terlibat sebagai sukarelawan atau berbuat sesuatu untuk tujuan kerja-kerja kebajikan tu bermakna kita boleh dikurangkan dari membayar cukai? Sama macam keadaannya kalau kita membayar zakat kat Malaysiakan.

Tapi yang aku pasti kat Glasgow ni, ada banyak sangat kedai-kedai barangan terpakai yang dinamakan atas organisasi kebajikan. Dan yang bestnya, walaupun barang-barang tu semua second-hand, tapi nampak masih elok dan berbaloi untuk dibeli. Dan pelanggan yang boleh tahan ramai. Ada satu kedai charity yang aku pergi, menjual perabot-perabot. Sofa, meja makan, katil, kusyen semuanya takde yang rosak, cat pun cantik lagi dan tersangatlah murah. Depan pintu kedai, ada signage tulis ‘Only Good Condition Furniture For Donation’.

Jadinya yang aku faham, tentulah pemilik-pemilik barang ni mendermakan barang untuk dijual tanpa ada apa-apa pulangan kan. Macam tu jugak buku-buku. Aku sempat beli beberapa buah buku. Serious seolah-seolah buku baru. Malah aku jumpa buku Long Walk To Freedom pasal Nelson Mandela. Buku tu aku baru je beli kat MPH beberapa bulan lepas. Kalau bernasib baik, akan jumpa banyak lagi buku-buku yang masih dipasaran kat sini. Untuk aku yang memang bukan pengumpul buku ni, pada aku tak kisahlah kalau bekas tangan orang pun asalkan dapat membaca kisah yang sama. 

Teringat pulak aku, sorang kawan kaki novel masa aku study dulu. Punyalah cermat dan sayangkan koleksi buku-buku dia. Bila baca, nak selak pun kena hati-hati takut terkopak di tengah-tengah kulit luar buku. Siapalah yang berani nak meminjam kalau dah macam tu? Haha..

Buku-buku ni ada yang dijual semurah £1.45 (Buy 1 Free 3). Ada yang 99¢ sebuah. Ada yang 50¢ (beli empat dapat free paper bag lagi). Bergantung pada jenis buku. Tetaplah murahkan. Bukan novel je, buku akademik pun ada. Aku beli buku pasal Communication Skills by Bernice Hurst. Sebab apa aku beli. Pertama, sebab background aku dalam bidang komunikasi. Kedua sebab aku rasa, dalam banyak-banyak buku rujukan communication, ni lah antara buku yang menjelaskan apa itu komunikasi secara mudah dan faham tanpa terlebih awal intro bagai dengan teori comm. Thumbs Up!

Kaedah pembelajaran yang bagus pada aku, seharusnya tak terlalu terikat dengan teori. Bergantunglah pada course apa kan. Banyakkan bagi contoh atau simulasi. Tapi pengalaman aku, sistem pembelajaran kita memang macam tu. Chapter pertama syllabus selalunya teori dulu. Sehinggalah aku sambung master pun tak berubah. Tepu otak. Ahaks!

Kalau ada sesetengah barang yang warnanya dah tercalar sikit-sikit tu adatlah. Ada set pinggan mangkuk yang branded tapi mungkin sedikit retak. Barang-barang mainan pun masih boleh diguna cuma mungkin kotaknya dah kerenyot . What do you expect? Sesuailah dengan konsepnya kedai terpakai. Tapi tak menjadi masalah sebab kita akan dapat barang yang baik dengan harga yang terlalu murah. Dan mesej yang paling penting, untuk tujuan amal.

Tanyalah Diri Sendiri..

Melihatkan betapa mewahnya masyarakat kat sini terhadap konsep memberi dan beramal, aku mulalah mereset pemikiran dan pandangan aku tentang bersedekah ni. Kenapa kita di Malaysia tak banyak kedai-kedai yang macam ni? Memanglah takde istilah sedekah dan pahala di negara omputih ni, tapi kebajikan tu antara lain maksudnya menterjemahkan amalan yang sama dengan bersedekah la jugak kan. Kita kan ramai orang Islam. Tentu kita lebih faham tentang kelebihan bersedekah dan ganjaran pahala yang diterima.

Tak dinafikan akhir-akhir ni, timbul kesedaran masyarakat kita terutama individu yang memang aktif dalam kerja amal ataupun yang pernah tinggal di luar negara untuk mula menghidup dan menggerakkan kedai-kedai terpakai untuk tujuan mengumpul dana. Tapi setakat ini berapa jumlah yang ada? Sambutannya bagaimana?

Mungkin aku silap. Tapi aku rasa kebanyakkan kita tebal rasa malu nak membeli di kedai terpakai. Kita masih ada persepsi membeli barangan second hand ni untuk orang-orang yang tak berduit. Atau barangan terpakai tak de kualiti. Sebab kita adalah masyarakat yang selalu mengharapkan lebih dari apa yang kita beri. Mungkin kita bayar barang harga sepuluh ringgit tapi kita suka menjangkakan barang yang seperti seratus ringgit harganya. 

Kalau tak, tak delah pulak keluar video sindiran tentang perkara-perkara yang hanya berlaku di Malaysia tu kan. Salah satunya pasal masyarakat kita yang sangat sinonim dengan barang-barang percuma. Beli laptop satu, tapi kisahnya dari beg sampailah ke skrin laptop nak free. I bayar hokeyy! Haha..

Aku rasa kalau kereta tak semahal harganya sekarang, mungkin kedai kereta terpakai pun takde kat Malaysia. Semua orang nak guna kereta first hand. Tak mampu, masih boleh hutang bank. Ataupun orang kita takde apa nak di sedekahkan sebab memang takde barang yang elok, yang tak elok dah dibuang atau kalau pun masih elok, pasti ada harganya. 

Aku pernah mendengar kisah keluarga yang hanya berjual beli barang yang sudah digunakan sesama ahli keluarga. Si Kakak berura-ura membeli tv baru, lalu menjual tv lama separuh harga kepada Si Adik. Si Abang tidak lagi menggunakan laptop yang telah digunakan bertahun-tahun lamanya, menjualkan kepada Si Kakak. Ntahlah. Minta maaf, aku tak setuju. Tak salah menjual kepada ahli keluarga, tapi bergantunglah kepada barangnya juga. Kalau kenderaan, mungkin ada logiknya sebab begitu banyak kos yang telah dibelanjakan. Tapi kalau barangan kegunaan yang biasa, apa salahnya bersedekah atau lebih baik menghadiahkan sahaja. Maka berpanjanganlah pahala. 

‘Biarlah dibayar sedikit. Kalau tak, nanti tak appreciate’. Pulak dah.

Tak pun tengoklah situasi kita masa banjir. Aku yang terlibat mengumpul barang-barang derma dari orang ramai ni, sangat terkilan bila ada yang mendermakan baju-baju lama yang dah pun berbau lipas dan kuning. Berkotak-kotak. Ada sesetengah tu baju-baju yang dah koyak atau tak lengkap sepasang. Begitu juga dengan makanan. Ada yang dah tamat tarikh luput. Agaknya lebih baik derma dari dibuang begitu sahaja. Soalnya, berpahalakah kita menderma barang yang tidak berguna? Matlamat tidak menghalalkan cara.

Samalah jugak halnya di pejabat. Bos-bos yang dah memang gaji berkepuk-kepuk, kereta, handphone semua atas tanggungan jabatan, bila kurang sedikit claim, bising menggila. Walhal ada staff-staff bawahan yang gaji ciput langsung tak kisah dengan kerja lebih masa tanpa menuntut apapun. Tak semua, tapi realitinya berlaku di mana-mana.

Sebab tu aku yakin, fahaman kita khususnya masyarakat Islam di Malaysia tentang konsep derma dan sedekah ni masih kabur. Aku pun tak searif mana, tapi cukuplah dengan merenung keadaan yang aku dapat lihat hari ni, betapa menyedarkan aku bahawa bersedekah ini lagi besar nilainya bila memberi sesuatu yang kita sendiri rasa ianya berharga buat kita tanpa mengharapkan balasan apa. Sungguh.



Setakat ini dulu. Slainte!

0 comments: