Sunday 26 February 2017

Tak kahwin Risau Kehidupan Adik-adik Tak Tentu Hala. Perlu Ke?

Fakta berkaitan anak sulung memang popular. Tajuk seperti pengorbanan anak sulung, kelebihan anak sulung, personaliti anak sulung yang ibu bapa perlu tahu dan sebagainya dah selalu kita jumpa. Namun yang paling menarik perhatian aku adalah kenyataan anak sulung juga dianggap sebagai eksperimen ibu bapa.

Lazim orang memperkatakannya daripada sisi peranan ibu bapa. Bagaimana ibu bapa membezakan bentuk didikan. Misalnya dengan bilangan anak yang ramai, di antara anak pertama dan anak yang bongsu, pendekatannya tidak lagi sama. Sebab itu, perspektif anak sulung dengan anak bongsu terhadap keluarga kemungkinannya tak serupa. Sebagaimana yang aku kongsikan daripada pembacaan Pengorbanan Anak Sulung

Tapi aku suka melihatnya daripada sudut anak sulung itu sendiri. Pada aku, anak sulung perempuan yang mempunyai ramai adik-beradik seharusnya menjadi seorang yang lebih realistik bukan idealistik. Mudahnya, usah meletak beban atas bahu sendiri jika rasa diri tak mampu melaksanakan tanggungjawab sesempurna yang diinginkan. Aku tak kata orang lain. Berbalik kepada diri sendiri.

Sekiranya seseorang itu adalah kelahiran September dan merupakan anak pertama seperti aku, berhati-hatilah supaya personaliti diri negatif yang terlalu teliti, suka mengkritik dan sangat sensitif tidak memakan diri di masa hadapan. Boleh rujuk sendiri Personaliti Individu Lahir Bulan September

Tidak hairanlah jika ada kajian yang membuktikan, ramai anak sulung bukan sahaja yang paling bijak dan cemerlang bahkan juga yang paling ramai dirundung kemurungan.

Jika dikatakan anak sulung itu adalah eksperimen, maka aku adalah bahan ujikaji yang terhasil daripada formula yang tidak cukup elemen. Sehingga menjadikan aku ibarat span yang lebih banyak menyerap kesedihan daripada kegembiraan. Bukan salah mak ayah, tetapi kerana karakter aku yang mahukan semuanya lengkap seperti apa yang aku bayangkan. Pasal itulah kadang-kadang aku menyampah dengan diri sendiri. Ahakss!

Saat aku mula memahami tanggungjawab aku sebagai anak sulung, aku mula meletakkan diri sebagai pengisi ruang kosong kepada adik-adik, lantaran ketika itu mak ayah aku sibuk bekerja dan mencari rezeki. Diorang tak suruh pun . Cuma aku percaya mereka (adik-adik) berhak diberi perhatian yang lebih baik berbanding apa yang aku terima.

Ibarat adiwira yang menyelamatkan dunia! Hakikatnya, walau aku berjaya menampal ruang-ruang tersebut tetapi dalam pada masa yang sama, aku tanpa sedar mengorek lubang kosong yang lebih dalam pada diri sendiri. Inikah yang dikatakan pengorbanan? Aku beranggapan, ia sebenarnya adalah akibat daripada salah membuat perhitungan dan penafsiran. Aku tak akan sesekali mampu mengambil alih tugas mak ayah sebab walaubagaimana sekalipun aku tetap seorang anak.

Dulu aku selalu pelik dengan orang perempuan sulung yang ramai adik-beradik tetapi boleh kahwin awal. Tak rasa bersalah ke? Adik-adik masih kecil. Siapa yang nak bantu urus keluarga? Sedang aku pula tak sanggup nak sebut pasal kahwin apatah lagi nak bercinta. Belanja kenduri sahaja dah berapa? Adik-adik aku pun nak pakai duit belanja sekolah mereka. Ikutkan hati, betapa aku inginkan keluarga sendiri. Seronoknya dikelilingi dengan anak-anak yang comel. Natijahnya, setiap lelaki yang hadir dalam hidup aku, terpaksa aku cipta alasan untuk aku ketepikan.

Perasaan kasihan dengan adik-adik aku mengatasi segalanya. Mereka lebih perlu diutamakan supaya dalam proses mereka membesar, mereka tahu untuk menghargai ikatan kasih sayang dan adanya sokongan ahli keluarga dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Dan akhirnya aku memahami, setiap keluarga juga kehidupannya berbeza. Bukan semua anak sulung perempuan, situasi keluarganya sama macam aku. Dah bukan jodoh aku. Kata aku menyedapkan hati sendiri.

Di antara tradisi keluarga aku, apa-apa yang berkaitan menghantar anak ke sekolah atau asrama, solusinya adalah dengan menumpang orang atau menaiki kenderaan awam bersendirian. Dari zaman aku, sehingga ke zaman adik aku yang bongsu. Aku tak suka. 

Aku tahu apa perasannya membawa beg yang berat dan kepenatan bertukar ganti kenderaan daripada bus kemudian terpaksa menunggu teksi. Rasa tak hilang penat walhal esoknya kelas dah start. Tak kira lagi perasaan segan dan malu dengan ibu bapa kawan yang mengizin ditumpangkan.

Kerana itu, sejak di universiti aku kerap balik ke rumah paling kurang sebulan sekali asal tahu ada adik-adik aku yang berasrama cuti. Jadi, dengan duit PTPTN, aku ada belanja sendiri mengisi minyak dan berpeluang menghantar adik aku balik semula ke asrama. Aku juga berprinsip, sekiranya keluarga yang menghantar ia sedikit sebanyak memberi suntikan motivasi. Kalau aku kahwin, siapa pula yang akan menggantikan tugas yang aku buat ni?

Sehinggalah aku bekerja dan mampu membeli kereta. Aku memilih kereta jenis sedan. Gaji aku tak besar. Jumlah bersih yang aku terima RM1,600 sahaja. Ansuran kereta dah RM550 sebulan. Banyak mana sangat baki duit yang dapat aku simpan. Tapi tak mengapa. Senang aku ulang-alik menghantar adik-adik dan mereka boleh membawa sebanyak mana barang yang mereka suka. Bonet kereta luas dan selesa. Diorang pun dah tak perlu risau untuk melanjutkan pelajaran walau jauh di ceruk manapun di Malaysia.

Sejak kami kecil, keluarga aku tak pernah didedahkan dengan makanan fast food. Aku sendiri mula mengenali keenakan KFC, McDonalds, A&W dan sebagainya sewaktu aku tinggal bersama Mak long aku. Jujurnya, aku banyak menghabiskan masa membesar dengan Mak long. Secara tak langsung, karakter mak long aku yang kecoh dan minat melancong sedikit sebanyak terkesan kepada aku.  

Jadinya, kalau orang lain menghabiskan duit PTPTN dengan membeli keperluan sendiri atau menyimpan di bank, aku pula ‘membazir’ untuk adik-adik aku merasa makanan, berjalan-jalan atau membelikan pakaian yang tak pernah diorang ada sekali sekala. Aku memang impikan kehidupan keluarga yang aku nampak sebagaimana pada kehidupan sahabat-sahabat aku yang lain. Keluar makan bersama-sama di restauran, balik kampung menziarahi sanak saudara, pakai baju sedondon di Hari Raya ataupun bersarapan sambil berkelah di tepi pantai hujung minggu. Alangkah bahagianya.

Masa aku sekolah, aku tak punya cerita-cerita indah yang dapat aku kongsikan dengan kawan-kawan usai tamat cuti sekolah. Aku hanya duduk rumah. Aku tak mahu adik-adik aku menyimpan kenangan yang sama. Tidak dapat tidak, aku buat perubahan untuk adik-adik aku. Aku tak kisah membazir ke sana ke mari, asal adik-adik aku seronok menikmati rasa hidup bekeluarga.

Mak ayah aku jenis ibu bapa yang autokratik. Bukan kuku besi. Tetapi berpendirian membuat keputusan tanpa campur tangan anak-anak sendiri. Apatah lagi mendengar pandangan anak perempuan. Ada sekali kemuncak kepada penentangan apabila ayah aku secara tiba-tiba, tergesa-gesa mahu pindah rumah. Berkat petunjuk Allah daripada balik ibadah umrah. Kata dia. 

Hancur luluh hati aku bila melihat rumah yang bakal kami duduki adalah rumah usang yang telah ditinggalkan lebih 10 tahun di sebuah tanah seluas satu ekar setengah dalam hutan. Sedangkan sebelum itu kami duduk di sebuah rumah teres dalam sebuah kawasan kejiranan. Aku pura-pura gembira.

Sudah aku katakan. Aku adalah anak September yang cenderung memendam perasaan. Aku tak menentang secara luaran tetapi aku benar-benar tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Fikiran dan emosi aku terganggu. Aku simpati dengan nasib adik-adik di rumah yang perlukan ruang selesa untuk hidup dan belajar. Bekalan air pun selalu terputus. Aku tekad mahu berhenti pengajian semasa aku sedang ditahun ketiga fakulti undang-undang. Bidang yang aku idam. Keputusan peperiksaan aku merosot teruk.

Syukurlah Allah membukakan hati aku untuk berfikir dengan lebih rasional. Jika aku tidak habis universiti, bagaimana dapat aku menjadi contoh kakak yang terbaik untuk adik-adik aku nanti? Aku batalkan hasrat tersebut. Aku membuat rayuan menukar jurusan yang lebih ringan. Tetapi aku pula dah menyusahkan mak ayah aku kerana terpaksa membayar yuran sendiri tanpa bantuan PTPTN.

Alhamdulillah, sekarang adik aku yang bongsu pun dah bergelar mahasiswi. Aku juga yang menghantarnya sewaktu hari pertama mendaftar. Walaupun masih banyak urusan keluarga yang seharusnya aku pikul, namun secara perlahan-lahan aku mengundurkan diri. Biarlah adik-adik aku pula yang sudah besar menyambung peranan. Aku bukan adiwira. Aku bukan superwoman. Aku hanya manusia biasa yang juga berhak untuk punya hidup sendiri sebelum sampai masa menutupkan mata.

Aku sedar yang aku tidak akan boleh selamanya melindungi adik-adik aku daripada merasa keseorangan dan hidup bergantungan. Diorang sendiri pun belum tentu dapat memahami dan menghargai segala apa yang telah aku lakukan. Yang pasti diorang juga perlu diberi ruang untuk mengalami sendiri kesusahan hidup berdikari dan berusaha untuk bangkit semula setelah jatuh. Ia adalah proses kehidupan normal semua manusia yang harus ditempuhi.

Menjadi anak sulung adalah hadiah yang tak ternilai sekiranya kita bijak membuat pilihan. Merencana kehidupan dengan berkiblatkan imaginasi yang penuh idealistik dan kesempurnaan hanya akan membawa kita jauh daripada realiti kehidupan keluarga sebenar, yang akhirnya membuatkan kita menjadi anak sulung yang tak punya apa untuk dibanggakan. Sungguhpun begitu, ia bukanlah penghalang untuk kita tersenyum bahagia dengan segala tanggungjawab yang telah dilaksana.

Buat anak-anak sulung seperti aku, kalau dah ada jodoh yang baik, terimalah saja lamaran. Kalau dapat peluang bekerja di tempat yang kita inginkan, pergilah. Tak usahlah berbolak-balik selagi mak ayah izinkan. Berkorban biarlah bertempat agar kehidupan sendiri tak disia-siakan.

Saturday 25 February 2017

Ibu Bapa Lebih Aktif Ber'Facebook'

           ‘Do as I say, Not as I do’. Dalam pada kerisauan ibu bapa dengan gejala ketagihan anak-anak terhadap gadget serta media sosial, sejauh mana ibu bapa sendiri menunjukkan teladan terbaik sebagai role-model untuk dicontohi? Sebab itu, sebelum ibu bapa menegah anak-anak, silalah cermin diri sendiri dahulu akan tabiat yang mungkin tak disedari betapa kita juga adakalanya terleka.

1. Kajian yang dilakukan oleh Facebook pada tahun 2016, mencatatkan secara global, golongan ibu bapa sebenarnya adalah lebih aktif berfacebook berbanding golongan bujang (non parents). Mereka lebih kerap berkongsi gambar anak-anak, video, links yang berkaitan dengan hal keibubapaan.

Sumber : insights.fb.com
2. Perbezaan dengan interaksi post status yang biasa, post gambar bayi sulung pasangan yang baru berkahwin akan mendapat 37% respons daripada ahli keluarga dan 47% respons daripada kawan-kawan. Ini sekaligus memberi ransangan kepada ibu bapa untuk lebih berkongsi perkara-perkara menarik tentang anak-anak mereka di media sosial terutama facebook.

3. Daripada 1.6 juta responden kajian, 56% yang melayari Facebook adalah golongan yang bergelar ibu bapa baru (new parents). Ibu bapa yang baru memiliki cahaya mata ataupun anak berusia kurang daripada setahun, menjadikan gadget sebagai satu-satunya alat untuk berhubung dengan dunia luar seperti keluarga, kawan-kawan mahupun mendapatkan maklumat produk.

         Ini memandangkan, kelahiran bayi secara tidak langsung mengubah jadual kehidupan. Misalnya, ibu akan lebih banyak berjaga di waktu malam dan tidur pada waktu siang. Bapa pula akan mengehadkan waktu bersama kawan di gym ataupun melepak bagi menumpukan kepada penjagaan anak pertama.

        Ibu bapa baru atau yang menjaga anak masih bayi juga cenderung menjadikan gadget sebagai ‘escapism’- menghilangkan tekanan dan mengalihkan perhatian sebentar daripada rutin yang memenatkan. Kebiasaannya, waktu melayari internet mereka ialah seawal pagi. Mereka juga memilih untuk saling berkongsi info berkaitan produk yang digunakan dan yang terbaik di pasaran bagi mendapatkan jaminan serta kualiti sesuatu produk yang digunakan oleh orang lain.


Sumber : mobilecommercepress

3. Fakta tersebut disokong oleh hasil kaji selidik Common Sense Media yang membuktikan ibu bapa menghabiskan masa selama 9 jam 22 minit di media berskrin (televisyen, permainan video dan jaringan sosial) menyamai jumlah masa yang dihabiskan oleh golongan kanak-kanak berumur 9-12 tahun setiap hari.

4. Akhbar Mirror,UK mendedahkan kajian yang dilakukan terhadap 1,200 remaja dan ibu bapa mengenai ‘Kesedihan Anak-anak Di Sebalik Ketagihan Ibu Bapa Terhadap Media Sosial’ mendapati bahawa 41% responden remaja berpendapat ibu bapa tidak mengendahkan anak-anak kerana terlalu asyik dengan gadget. Manakala 51% menyatakan mereka melihat ibu bapa melayari internet ketika di dalam kereta walaupun mereka ada bersama.

         Ini adalah cabaran ibu bapa dalam membina keluarga di zaman siber. Tiada salahnya menikmati kecanggihan teknologi yang ada, selagi mana kita tahu menggunakannya dengan cara yang betul dan mendidik anak-anak untuk menjadi pengguna yang bertanggungjawab. Adalah penting untuk ibu bapa memastikan wujudnya kebersamaan dengan anak-anak dalam apa jua perkara dan situasi. Usah biarkan anak-anak memandu hidupnya sendiri. Fasa anak-anak membesar adalah masa yang tidak dapat di kebelakangkan.

        Menjadi ibu bapa adalah anugerah. Namun menjadi ibu bapa terbaik adalah rezeki yang tidak Tuhan kurniakan kepada semua manusia yang mampu melahirkan anak. Berusahalah!

Thursday 23 February 2017

Oh, Tidak! Demam Campak Kali Kedua!

       Siapa kata demam campak hanya kena sekali seumur hidup? Aku boleh buktikan kenyataan tersebut salah sama sekali. Sebab aku kena dua kali. Aku cuba juga mencari beberapa pandangan pakar perubatan berkaitan hal ini. Salah satunya yang aku kongsikan ini adalah daripada blog Dr. Zubaidi, Demam campak boleh berulang

       Kali pertama aku menghidap demam campak sewaktu berusia 3 tahun. Berbeza dengan serangan yang pertama, untuk kali kedua ini, aku dapat merasai dan menyedari sendiri simptom-simptom jangkitan demam campak (memandangkan umur dah tua). Dah makcik-makcik. Dulu budak-budak. Tak ingat apa-apa, kan. 

       Walaupun sengsara like a nightmare, tapi best sebab aku menikmati pengalaman sebenar mendapat demam campak. Sekarang aku dah boleh kata, ‘aku tahulah, sebab aku dah kena. Nanti jadi macam tu..macam ni..’ Haha.. Haruslah diingatkan, jangkitan demam campak dewasa adalah lebih teruk dan serius berbanding demam campak kanak-kanak umur kurang setahun.

       Cuma, cabarannya sebab aku kena masa minggu kedua tengah syok raya. Gelembung-gelembung air saiz sederhana atau ruam-ruam (blisters) tu  banyak pula tumbuh di muka. Boleh kata keseluruhan muka aku temasuklah di bahagian kening hingga pangkal telinga. 

       Sesungguhnya, parut demam campak pada orang dewasa tak semudah menghilangkan parut demam campak budak-budak. Cobaan.

Kronologi Demam Campak

Sebelum

1. Aku dikelilingi hampir seminggu oleh anak-anak saudara aku (yang telah pun dijangkiti demam campak) kerana diorang dikuarantinkan di rumah aku.  Dikelilingi bermaksud, aku lepak makan dengan diorang, duduk sama-sama tengok tv dan sebagainya. Padahal aku dah pakai topeng penutup hidung dan mulut.

Virus demam campak (varicella) disebarkan melalui udara seperti batuk atau bersin.

2. Lebih kurang dua minggu selepas itu, aku perasan adakalanya pandangan aku tiba-tiba kabur. Aku tak boleh nampak tarikh pada kalendar (jenis yang standard ada lumba kuda) dalam jarak yang dekat. Aku fikir aku rabun. Ni tanda-tanda penuaan ke? Bisik hati aku. Aku dah sedih.

Tempoh jangkitan boleh berlaku dalam tempoh 10-21 hari.

3. Kemudian, aku mula terasa pening (berat kepala) dan lemah badan. Suhu badan meningkat. Aku demam. Aku cuti kerja sehari (Hari Rabu) sebab memang dah tak larat. Dua hari seterusnya (Khamis & Jumaat) aku kerja seperti biasa pasal aku ingat demam dah sembuh walau masih pening kepala dan pandangan semakin kurang jelas.

Simptom demam campak; Demam tinggi, batuk, selesema dan sakit tekak, mata berair dan sensitif kepada cahaya, sakit otot

4. Aku tiba-tiba terjaga di awal pagi hari Isnin minggu seterusnya. Badan rasa rimas dan miang. Ketika tangan aku menggaru ke bahagian pinggang, dah terasa timbul ruam-ruam berair dalam 4-5 biji. Aku ingat ruam biasa. Aku pecahkan pasal memang aku suka picit ruam. Aku sambung tidur. Bangun semula nak solat subuh, Ya Allah..banyaknya ruam kat badan! Sah,aku demam campak!!!

Ruam akan kekal selama 4 – 7 hari. Jangan sesekali picit ruam. Semasa ruam timbul, suhu badan biasanya sangat tinggi. Demam campak boleh menjangkiti orang lain dalam masa seminggu sebelum timbul ruam sehingga 4 hari selepasnya.

Semasa

1. Aku terlantar 2 minggu atas katil. Tak larat nak bangun langsung. Tak berselera makan. Berat aku susut 3 kilogram. Minggu kedua aku minum air kelapa tiga hari, sekali sehari. Kata orang, air kelapa berupaya mengeluarkan semua bisa ruam-ruam campak sehingga habis. Tapi aku tak nampak sangat pun perubahan yang signifikan. Mungkin sebab sepatutnya air kelapa ni harus diminum di awal-awal jangkitan.

2. Aku tetap membasahkan diri dengan mandi air campuran sodabikarbonat sehari sekali. Pantang larang orang tua, tak boleh mandi masa kena demam campak. Tapi aku tak boleh tak mandi pasal nak solat rasa tak bersih. Jadi, aku research. Petuanya mandi sebaldi air dan ditambah 2 sudu teh soda bikarbonat boleh mengurangkan kegatalan. Ia tak merubah pun warna air. Tapi bila mandi kulit rasa licin sedikit macam mandi dengan minyak. Dan hasilnya memang tak gatal.

3. Bekas ruam demam campak tidak serasi dengan apa jua krim yang berasaskan minyak. Setelah aku pastikan tiada lagi tumbuh ruam baru, aku mulakan operasi menghilangkan parut. Rupanya, tak sesuai guna virgin coconut oil atau gel gamat. Memang semakin hitam parut. Aku cuba letak bedak sejuk, tapi aku pulak yang tak selesa bila kulit muka rasa tegang.

4. Aku berusaha mengamalkan segala pantang-larang lain seperti  mengelakkan makan kicap, terkena air hujan, berada berhampiran dapur ketika orang menggoreng dan tak makan telur.

Selepas

1. Setelah sembuh daripada demam, tinggal lagi kena gigih hilangkan parut. Selain daripada menggunakan produk Mary Kay, aku juga cuba ikut petua lama dengan membasuh muka dengan jus lemon. Hiris nipis lemon, sapukan jusnya terus ke muka. Kulit muka setiap orang berbeza. Jangan banyak sangat nanti pedih. Muka aku ok je walau aku tonyoh hirisan lemon tu. Aku buat 3 minggu tapi kesannya tak begitu ketara.

2. Selepas jus lemon, aku cuba pula cuci muka dengan sodabikarbonat. Habislah 2-3 botol saiz sederhana sodabikarbonat yang orang buat bahan kek tu. Pun aku tak berpuas hati dengan hasilnya.

3. Kemudian aku mencuba petua menggunakan kulit kayu manis. Melalui pembacaan daripada pelbagai blog, aku rumuskan hanya kulit kayu manis yang halus selamat untuk digunakan. Jangan guna serbuk. Aku kikis kulit kayu manis pada batu pengasah mak aku (zaman ni dah susah nak jumpa) dengan sedikit air dan sapu ke muka dua kali sehari. Keberkesanannya tidak dinafikan lagi. Memanglah pedih tapi puas hati. Dalam 3 minggu, parut demam campak semakin menipis dan hilang.

4. Empat bulan tempoh yang aku ambil untuk betul-betul mendapatkan wajah yang lebih meyakinkan tanpa parut hitam. Lekuk-lekuk di kening dan pipi tu dapatlah nak aku pulih seperti asal. Seolah rekahan di bulan. Buat kenangan. Haha...


       Aku tak dapat bayangkan keadaan aku kalau aku masih bekerja di pejabat saat aku mengalami semua ni. Bagaimana aku nak berhadapan dengan client dan supplier? Pakai purdahlah jawabnya. Ahakks!! 

       Nasihat aku, jangan senang hati bila dah kena demam campak kali pertama. Kerana tak mustahil anda juga boleh merasainya lagi buat kali kedua. Na'uzubillah.

Monday 20 February 2017

Sahabat Yang Tak Best dan Best

         Persahabatan tidak harus diukur dengan tempoh perkenalan. Walau kenal dari zaman sekolah namun sudah saling tidak bertanya khabar bertahun-tahun lamanya, aku tak rasa hubungan sebegitu layak lagi dipanggil bersahabat. 

        Yang tak best 1. Kalau tetiba ada kawan lama yang pernah baik dulu-dulu, menyapa dalam post facebook terlajak mesra takpun bagi statement, 'Ya Allah, you ke mana?", aku memang buat tak tahu. Yes, i know you but you are no longer my good friend. Ahakss!

       Apa tidaknya. Kita pula yang ditanya ke mana. Padahal selama ni kita yang paling rajin berjalan ke rumah mereka bila ada kelapangan. Kita ni bersungguhlah mewajibkan diri datang asal dijemput kenduri kendara majlis mereka. Padahal mereka, selagi kita tak contact, pedulikan kita pun tak. Selagi takde perkara yang perlu disampaikan, hilang terus mereka dari radar. Communication Zero!

        Point aku bukan nak suruh sahabat-sahabat aku datang rumah. Maksud aku, (Yang tak best 2) kalau selama kita bersahabat sebelum ini, asyik aku je yang mengambil tahu hal kahwin, bersalin, pindah rumah, tukar tempat kerja, adik abang bernikah, mak ayah sakit, tambah ahli keluarga, etc. sedang pasal aku takde pula nak kisah, aku rasa it's nor fair for me. Bodoh pun ada. Haha.. senang cakap, aku boleh sebut a-z nama ahli keluarga adik-beradik sahabat aku. Yang mana keja sana, yang ni belajar kat sini. Hal adik-adik aku pula, aku tak rasa diorang semua tahu. 

      Bila baca kisah Rasulullah s.a.w, bagaimana baginda dan para sahabat saling menyokong dalam setiap perkara, aku baru faham. Apa yang Rasulullah s.a.w sendiri lakukan atas kapasiti sebagai seorang sahabat, maka sahabat Rasulullah s.a.w yang lain pun akan buat. Rasulullah s.a.w. ziarah sahabat, sahabat pun menziarahi Rasulullah. 

   Adat bersahabat samalah macam orang bercinta. Tak jadi kalau hanya bertepuk sebelah pihak. Reciprocal. Saling memberi dan menerima. Dalam persahabatan pun istilah berkorban itu ada. Korban masa, tenaga, harta benda untuk kekal bersaudara. Sebab tu, prinsip aku sekarang senang je. Kalau ada ketikanya, aku ter-menyepikan diri, siapa yang cari aku semula sahaja yang aku layankan. Senang. Baru kita tahu siapa yang sebenarnya yang ambil berat ke mana kita. Lesser is better in friendship. 

     Yang tak best 3. Sahabat yang selalu menjadikan alasan 'sibuk' atau takde mase setiap kali dihubungi, pada aku hanyalah terjemahan untuk mengatakan yang diri aku ini sebenarnya, 'you are not important'. Aku tak mengharapkan apapun balasan atas setiap kebaikan. Cuma, apabila ada sahabat-sahabat baik yang langsung tidak memberi ruang untuk mereka cakna pasal aku, so why bother? Semua orang sibuk dengan hal masing-masing, kan. Tapi sejauh mana kita menghargai serta membuktikan persahabatan itu adalah lebih utama. 

    Yang best, pada aku sahabat bermakna, seseorang yang sentiasa berusaha untuk mengambil tahu perkhabaran sahabatnya yang lain dengan niat yang baik. Who cares about each other. Sungguhpun tak berada depan mata, tapi ada inisiatif untuk sekali sekala bertanya khabar melalui whatsapp ke atau tag nama kita di facebook untuk berkongsi sesuatu perkara bersama. 

      Yang tak best 4. Kalau diorang kata, tetap ingat aku dalam hati. Aku pun serupa. Dalam hati jelah nama-nama dikau ku semadikan. Haha..

     Cara orang perempuan bersahabat dengan cara orang lelaki adalah berbeza. Orang lelaki tak menjadi hal bersahabat dengan teman-teman yang dah akrab dari zaman sekolah. Walau status berubah daripada single kepada bapa anak tiga, tetap mantain bersahabat dengan orang yang sama sampai tua. 

     Sebaliknya orang perempuan Melayu di Malaysia, kebanyakkannya status mengubah siapa dia dan siapa sahabatnya. Aku rasalah. Ahakss! Mungkin sebab subject matter kehidupan dah tak sama. Takpun, masa berkawan zaman sekolah dulu semuanya tengah happy-happy, yang seronok-seronok je. Sekarang dah fokus melayan suami dan anak-anak tercinta. Tapi perlu ke sampai lupa sahabat? Entah. Nasib baik tak semua kawan aku macam tu.

        Apapun, dalam kehidupan aku kini, persahabatan yang bermakna ialah dengan insan-insan yang aku bersama sejak mula mengenali dunia bekerja. Sebabnya dalam menempuhi alam pekerjaan yang mencabar, mereka sentiasa di sisi, banyak berkongsi dan sama merasai kepahitan, kesedihan, kepayahan, kegembiraan, kebahagiaan, yang menjadikan ikatan persahabatan antara satu sama lain bertambah erat. Terima kasih sahabat. I owe you guys dunia akhirat!

"Sahabat yang best ialah sahabat yang menerima kita seadanya tanpa prasangka, sanggup memberikan masanya buat kita dan menjaga nama baik kita walau dia di belakang kita. Inilah kunci yang mengukuhkan kepercayaan dan membina kesetiaan dalam persahabatan buat selamanya."



Saturday 18 February 2017

Kanak-kanak Diberi Kerja Sekolah, Ibu Bapa Perlu Ambil Kisah

"Tiada kajian membuktikan terdapat kebaikan kepada kanak-kanak (preschool) yang dibekalkan dengan kerja sekolah. Semuanya adalah tekanan dan tidak memberikan sebarang hasil." Kenyataan oleh Alfie Kohn (Pakar Pendidikan & Keibubapaan) dalam artikel parenting.blogs.nytimes.com.

Sumber : kidspot.com.au
            Aku yakin ramai yang berbeza pendapat berkaitan hal ini. Al-maklumlah, bab mendidik ni pun punya banyak mazhab. Biarpun masih ada yang menyatakan terdapat faedah, aku tetap 100% bersetuju, setelah menghabiskan masa 5-6 jam di tadika, memberikan kerja sekolah kepada kanak-kanak tadika (4-6 tahun) dalam bentuk latihan seperti menulis, mewarna, menampal dan sebagainya adalah tidak praktikal. 

1. Masa di rumah adalah ruang untuk kanak-kanak berehat & bermain dengan ahli keluarga.
2. Kanak-kanak perlu dibantu untuk membuat aktiviti menulis, melukis, mengira dan sebagainya bagi menimbulkan keseronokan serta membina perkembangan minda. Tidak semua ibu bapa dapat menumpukan perhatian melayan karenah kanak-kanak membuat kerja rumah.
3. Tanpa perhatian dan sokongan, menyiapkan kerja sekolah bersendirian mendorong kanak-kanak membuatnya dalam keadaan 'paksa-rela'.

          Realitinya, ibu bapa yang tak sibuk di rumah pun, lebih selesa bagi anak-anak main gadget, apatah lagi dengan ibu bapa yang memang dah sibuk setiap masa. Ahakss! Walaubagaimanapun terdapat kaedah lain yang boleh menggantikan kerja sekolah:

1. Memberi latihan penjagaan / pengurusan diri seperti meminta kanak-kanak mencuci tangan sebelum dan selepas makan, meletakkan kasut di rak, menyimpan barang mainan, sikat rambut dan sebagainya apabila di rumah.
2. Menggalakkan pembacaan dengan meminta mereka mengenalpasti imej ataupun label pada produk makanan seperti huruf C pada Cornfleks, M pada Milk, etc semasa bersarapan di rumah.
3. Mendorong kanak-kanak menyelesaikan masalah mudah (problem solving skills) seperti membuka tin susu.
4. Membantu kanak-kanak membina keyakinan diri dengan memberikan peluang membuat keputusan (desicion making skills) seperti memilih menu ketika di kedai makan.

          Ini hanyalah sebahagian daripada kaedah. Jadinya, ibu bapa yang merasakan kerja sekolah adalah suatu bebanan daripada aspek masa, emosi ibu bapa mahupun kanak-kanak sendiri, haruslah berbincang dengan cikgu tadika anak-anak mereka. 

         Janganlah apabila cikgu tadika memaklumkan terdapat kerja sekolah, ibu bapa terus mendesak anak-anak untuk memastikan kerja tersebut disiapkan. Di peringkat ini, alam pembelajaran kanak-kanak seharusnya menjadi momen yang menyeronokkan bukan sebaliknya membiarkan mereka menyiapkan kerja sekolah bersendirian dan merasa tertekan.

         Apa yang kita cuba elakkan ialah kejadian-kejadian seperti ini Dipukul Tak Siap Kerja Sekolah Terdapat banyak kemungkinan dan tak mustahil salah satunya kerana dari kecil kanak-kanak diberi gambaran yang salah berkaitan tanggungjawab terhadap kerja sekolah.

        Hak kanak-kanak adalah untuk riang gembira bersama keluarga. Mereka punya masa yang panjang lagi untuk mengenali apa itu kerja sekolah dalam kamus hidup zaman kanak-kanak!

Thursday 16 February 2017

5 Kebenaran Yang Orang Tidak Tahu Tentang Andartu

Dalam masyarakat kita, wanita yang lambat berkahwin dilabel anak dara tua (andartu) atau anak dara lanjut usia (andalusia). Selain daripada menyumbang kepada masalah populasi dunia, isu andartu ini tak kurang menjadi stigma masyarakat yang sukar untuk diperbetulkan.

Hebatkan jadi andartu. Ramai orang concern. Tidak mengapa. Orang boleh fikir macam-macam sebab orang tak faham. Apatah lagi orang yang dah berumahtangga dari umur muda. Usia 23-25 tahun dah kahwin. Tak sempat pun memahami apa rasanya hidup lama dengan status single. Ini adalah emosi yang orang lain tak boleh selami kecuali yang mengalaminya sendiri. Ahakss!

1. Kata orang kita, anak dara tua hormon tak stabil.

Meroyan tak tentu pasal. Yang orang lain buat semua serba tak kena. Asyik dia je betul. Angin satu badan. Lagi teruk bila orang dakwa, dah perangai buruk macam tu, memang tak akan laku sampai bila-bila. Terutama lady boss yang kuat kerja. Pejabat dah jadi rumah kedua. Siapa yang berani tawar diri jadi suami? Dah ibarat macam takde masa untuk diri sendiri. Jiwa orang kurang kasih sayang, sebab tu stress memanjang.

Apa yang orang tak tahu...

~ Wanita bekerjaya yang masih belum berumahtangga, sedang usia mencecah angka tiga puluhan, adalah orang yang hatinya kalis sunyi. Kerjaya adalah tempat menghilangkan rasa kesedihan dan lonely. Tiada wanita dalam dunia yang tidak ingin mencintai bahkan dicintai. Namun tak pula duduk mengenang nasib dan berendam air mata berhari-hari walau hidup bersendiri.

~ Dalam pada orang lain punya ruang untuk menyayangi dan disayangi (anak-anak&suami), bagi andartu kerja adalah perkara kecintaan yang memberi keseronokan dan pengisi kehidupan. Atas alasan itu, komitmen terhadap kerjaya adalah lebih daripada segalanya kerana ia memberikan kepuasan.

~ Jadi, kadang-kadang bila ada andartu yang cerewet lain macam, bersabarlah dengan leteran dan kemarahan. Ini adalah kelemahan mereka yang sentiasa meletakkan kerjaya seumpama menjaga keluarga. Samalah jika ada yang mengganggu atau berbuat yang tidak elok kepada anak atau suami bagi wanita yang sudah bekeluarga. Bukankah anda pun akan melenting sama?

~ Cuma ini bukanlah alasan untuk para andartu mengambil kesempatan menyusahkan kehidupan dengan tidak mengambil kira keadaan orang yang bekeluarga atau menyakitkan hati orang lain kerana merasa cemburu dengan kebahagian mereka.

2. Kata orang kita, anak dara tua ni memilih.

Yang itu tak mahu, yang ini tak suka. Macam lah dia tu bagus atau lawa sangat. Kahwin aje, asal jangan mati takde sape-sape. Tidak pun, orang selalu kasihan menengok nasib ada anak yang tak beribu. Penyelesaiannya kahwinkan sahaja bapanya (duda) dengan andartu.

Apa yang orang tak tahu...

~ Sungguhpun jodoh adalah ketentuan Tuhan, setiap orang punya hak untuk memilih siapa yang dia suka. Kenapa pula bila dilabel anak dara tua, dah terpaksa berkahwin dengan lelaki mana-mana? Sangatlah tidak adil. 

~ Jadi, usahlah mendesak anak dara yang lanjut usia ini berkahwin bila dia tidak suka. Walau sekalipun bimbangkan masa hadapannya, perkara yang terbaik ialah tidak memberikan tekanan supaya siapapun bergelar andartu tidak tersalah membuat pilihan dengan berkahwin atas dasar pujukan dan mengikut kemahuan orang lain atau kerana menjaga hati orang tua. 

~ Doakanlah agar dia dipermudahkan jodoh dan dibukakan hati untuk menjadi seorang isteri kepada seseorang yang dicintai.

~ Meskipun begitu, memilih biarlah berpada. Tiada siapa yang sempurna. Sebagaimana banyaknya kurang pada diri sendiri, lihatlah seseorang pada kebaikan dan nilai keperibadiaan diri seadanya. Paling penting adalah beragama dan mengamalkan agama (berakhlak).

3. Kata orang kita, anak dara tua susah nak dapat anak.

Kahwin hujung usia tak dapat zuriat. Benih dah tak subur. Nanti boleh dapat anak cacat.

Apa yang orang tak tahu...

~ Biarpun fakta sains, ini adalah nasihat yang melukakan. Sebagai orang Islam yang beriman, menjadi anak dara tua bukanlah satu pilihan. Semua wanita mahu dibangkitkan dalam kelompok umat yang mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. melalui ikatan perkahwinan.

~ Orang akan memperkata apa yang mereka nilai pada luaran. Itu kebiasaan. Seolah-olah lupa, samalah dengan jodoh, rezeki anak pun Tuhan yang tentukan. Kalau dikata sukar dapat anak kerana lambat kahwin, bagaimana pula dengan yang bertahun-tahun berumahtangga tapi masih tidak berzuriat?

~ Jadi, hormatilah keputusan atau situasi seseorang wanita yang dikata ‘tua’ tapi masih belum berumahtangga. Berhati-hatilah apabila mengutarakan kata-kata. Memberikan komen dengan kenyataan-kenyataan negatif tidak membantu seseorang wanita menamatkan status anak dara tua, malah menjadikan andartu semakin menjauhkan diri menghadapi masyarakat dan menambah rasa rendah diri mereka.

4. Kata orang kita, anak dara tua buat laki orang tak selamat.

Wanita-wanita bersuami jadi takut. Ada andartu cantik bergaya kerja dengan laki dia di pejabat. Tu tak lain nak mengorat suami orang dah beranak tiga.

Apa yang orang tak tahu...

~ Tak semua anak dara tua terdesak hingga sanggup bermadu. Apatah lagi menghancurkan rumahtangga wanita lain. Lebih sedih, bila yang merendah-rendahkan martabat seorang wanita adalah dari kalangan wanita sendiri.

~ Tak mustahil, sesetengah keadaan, apabila terjadi hal-hal orang ketiga dalam rumah tangga, yang melibatkan anak dara tua, seorang wanita (isteri) juga perlu memperhalusi hubungan antara dia dengan suami. Bahkan sejauh mana si suami juga melibatkan diri dalam hal sebegini. Bak kata pepatah, tepuk sebelah tangan tak berbunyi. Ini supaya status anak dara tua tak menjadi ‘kambing hitam’ sebagai punca perpisahan sesebuah perkahwinan.

5. Kata orang kita, anak dara tua trauma.

Takut nak berkahwin. Apatah lagi kalau hidup dengan persekitaran yang hari-hari mendengar atau melihat krisis suami isteri bercakaran, anak-anak pula jadi mangsa. Orang pun kata, “Sedangkan yang dah bercerai-berai pun boleh bertemu jodoh semula, jangankan pula yang masih anak dara...”

Apa yang orang tak tahu...

~ Bukan trauma. Hanya bersikap lebih teliti dan berwaspada. Bayangkan selama hidup bersendiri, anak dara tua tidak memerlukan sesiapa untuk bergantung hidup mengharapkan kasih sayang manusia. Mereka berusaha sendiri mencari kegembiraan dan melakukan perkara-perkara yang menyenangkan perasaan.

~ Jadi, katakanlah seseorang anak dara tua berkahwin di usia lewat 30 an. Sebolehnya, apabila meninggalkan zaman bujang, ia bukanlah satu keputusan yang meletakkan kehidupan mereka (untuk tahun-tahun yang akan datang) dalam risiko di ambang penceraian atau konflik perhubungan. Kerana sudah pasti, bagi sesiapun, keputusan untuk mendirikan rumahtangga bukanlah satu pilihan untuk disia-siakan. 



Jodoh adalah RAHSIA Allah. Perancangan Allah adalah yang terbaik. Andartu, Andalusia atau apa jua gelaran seumpama bukanlah satu dosa untuk orang lain menghina. Yang penting, jaga diri dan sentiasalah meyakini sesungguhnya menjadi andartu itu adalah insan special yang osem!! 

Sunday 12 February 2017

Misi 3 Bulan Pandai Jawi : Mengecam & Menghafal Bentuk Huruf

      Kelas bukan sebarang kelas. Kelas intensif jawi sampai budak boleh membaca pantas. Siapa ada anak yang tak pandai membaca Jawi? Meh, aku bantu ajarkan. 

      Aku pada awalnya berniat kerana ingin menolong sahabat adik yang mencari guru di kelas fardhu ain buat sementara. Bagi menjaga student yang bakal menghadapai ujian penilaian akhir tahun.

         Namun bermula dari September tahun lepas, hingga sekarang aku masih kekal mengajar di situ. Memandangkan ia adalah kelas fardhu ain persendirian, studentnya agak terhad dan hanya ada dalam 10-15 pelajar dalam satu kelas. Selesa dan tak memeningkan kepala. Cuma bezanya masuk tahun ini matlamat aku tidak lagi sekadar menjadi guru ganti.

           Baru aku sedar betapa sukar rupanya mengajar Pendidikan Islam untuk budak yang buta Jawi. Hampir separuh daripada budak yang mendaftar tahun 3 dan 4 tidak boleh membaca Jawi langsung. Ada yang kenal huruf tetapi tidak tahu menyebut. Ada pula yang tahu sebut tetapi hurufnya entah mana hala. So, macam mana nak disuruh membaca buku teks atau membuat latihan dalam buku aktiviti, kan.

            Tak mengapa. Aku sahut cabaran ini. Aku ada sekurang-kurangnya 3 bulan untuk aku pastikan anak-anak didik aku boleh membaca Jawi dengan baik. Buat masa ini, aku ketepikan dahulu subjek aku yang lain iaitu Aqidah & Sirah (which is my favorite). Tidak boleh nak dipanjangkan tempoh lebih lama dengan mengambil kira agar budak-budak tu pun tak tertinggal untuk belajar subjek selain Jawi. Permudahkan urusan aku Ya Allah!

           Aku takde strategi atau teknik tertentu. Aku percaya prinsip asas belajar Jawi pun samalah macam membaca Al-Quran. Nak tak nak, kena betul-betul mengecam huruf dan sebutannya. Ada kaedah yang boleh membaca Jawi hanya dalam masa 4 jam katanya. Tapi tak pulak aku beli modul tu. Aku buat jelah kaedah aku sendiri sebab tahap kemahiran budak-budak bukannya sama semua. 

          Untuk dua minggu pertama Februari, aku telah mula mengulang-ngulang sama ada dengan cara menulis atau menghafal huruf-huruf jawi. Alhamdulillah ada dua tiga student yang dah menunjukkan kemajuan. Baru proses mengenal. 


Lam, Le, L

       Aku buat latihan dengan cara memberi perkataan Jawi yang ditulis tidak bersambung, kemudian menukar kepada huruf rumi. Misalnya, ejaan huruf Sin, Kaf, Wau, Lam, Ha ditukar kepada "Sekolah". Aku juga mula sedikit demi sedikit masuk topik baru iaitu huruf vokal Jawi. Alif, wau dan ya. Aku tak pasti sama ada cara aku ini betul atau salah. Tapi pada aku, takde salahnya untuk aku bereksperimentasi. 

      Apapun aku harus bersabar mendidik anak-anak yang menghadapi masalah pembelajaran sebegini. Mereka bukan sahaja lemah Jawi tetapi juga tidak cekap membaca Bahasa Melayu. Tak sabar untuk aku melihat perkembangan mereka hari demi hari. Moga usaha aku ini mendapat keberkatan dan membuahkan kejayaan! Insha Allah. 


Saturday 11 February 2017

Ibu Bapa Kerja Pejabat Yang Berniaga: Bimbang Tak Cukup atau Takut Kurang?

      Aku adakala tertanya-tanya. Apakah tujuan sebenar orang sekarang berniaga? Aku yakin dengan situasi masyarakat pada hari ini, dalam kelompok sepuluh orang, pasti akan ada dua orang yang berniaga. Tak kiralah berniaga dropship online ke, berniaga produk buatan sendiri ke, berniaga perkhidmatan atau sebagainya. Janji berniaga.

     Aku tak hairan kalau yang berniaga ini adalah di kalangan golongan yang berpendapatan rendah ataupun hanya salah seorang di antara pasangan suami isteri sahaja yang bekerja. Apatah lagi yang menyara anak lebih daripada tiga orang. Aku rasa anak tiga orang pun sudah besar kos sara hidup yang ditanggung ketua keluarga dengan kenaikan harga barang. 
     
    Apapun, yang aku musykilkan adalah dengan golongan berpendapatan sederhana (RM2,000-RM3,000) mahupun bergaji lebih besar di mana suami isteri kedua-duanya bekerja tetap dan makan gaji setiap bulan. 

   Adakah berniaga merupakan solusi untuk menambah pendapatan, menampung masalah kewangan, sekadar mengikut sunnah nabi atau suka-suka macam hobi? 

     Tidak ada salahnya untuk berniaga. Persoalannya, andaikata dua-dua bekerja dan membuat kerja sampingan dengan berniaga, siapakah yang fokus menjaga hal-ehwal keluarga? Dan sejauh mana pula usaha berniaga tersebut dapat menjamin status HALAL hasil yang diperolehi dengan kekangan tenaga dan masa?

        Bukan apa, aku berkira-kira dengan tempoh 24 jam yang perlu diisi oleh kitaran manusia normal yang membuat dua ke tiga kerja dalam sehari.

8.00 pagi - 5.00 petang
9 jam bekerja di pejabat

5.00 petang - 10.00 malam
4 jam 30 minit di rumah (tolak setengah jam kesesakkan perjalanan balik) 

-1 jam menyediakan makan & minum keluarga
-1 jam makan malam & rehat
-2 jam membersihkan diri, memastikan anak-anak solat & mengajar anak membaca al-Quran
-Hanya baki 30 minit menyemak kerja sekolah anak-anak, bertanya khabar anak-anak, suami/isteri

Sumber : Small Business.co.uk
10.00 malam - 12.00 t/malam
2 jam di rumah (menghadap laptop@smart phone)
Respon customer dan menyiapkan urusan tempahan dlln yang berkaitan perniagaan

6.00 pagi
Bangun, solat, siapkan anak-anak, ke tempat kerja

Hidup tak ubah seumpama robot di kilang,kan? Macam tak punya rasa letih. Realitinya, berniaga memerlukan komitmen dan masa yang lebih daripada 2 jam. Masa siapa yang terpaksa dikorbankan kerana mahu mengejar pendapatan berganda?

Di Pejabat

1.Pernahkah melayan whatsapp/ text customer diwaktu pejabat?
2.Pernahkah menggunakan peralatan pejabat (kertas, dakwat printer, komputer, telefon) bagi urusan perniagaan?
3.Pernahkah keluar waktu pejabat atas sebab berjumpa customer atau mengepos barang tempahan walau sekejap?
4.Pernahkah claim elaun kerja lebih masa di pejabat walhal tidak membuat tugasan tetapi menyelesaikan urusan perniagaan?

Di Rumah 

1.Adakah setelah pulang ke rumah dari pejabat, di kepala sibuk memikirkan  tempahan berbanding ibadah seperti solat, mengaji Al-Quran, makan minum keluarga?
2.Adakah lebih banyak masa diluangkan melayan customer di media sosial berbanding dengan melayan dan bersembang bersama suami/isteri & anak-anak atau menziarahi saudara-mara di waktu kelapangan?
3. Apakah tidak ada kesempatan dalam seminggu untuk memberi ruang kepada diri sendiri membaca al-Quran atau menghadiri kuliah agama?

      Sekiranya ada salah satu di antara soalan yang dijawab YA, bak kata Prof. Dr. Muhaya, "Kita kena audit semula nawaitu kita". Sebab kita terkadang khilaf dengan tuntutan hidup di dunia. Penuh ujian dan tipu daya. Peringatan buat diri aku sendiri serta sesiapa yang membaca.

       Kita ditakutkan dengan pelbagai isu kewangan, kemiskinan, ketidakstabilan ekonomi sehingga mendorong kita jadi bimbang dan mengenepikan perkara-perkara lain yang seharusnya menjadi keutamaan. Pengisian jiwa anak-anak, pemantapan ilmu agama, perkembangan sosial dan sahsiah keluarga dan sebagainya.

      Inilah apa yang dunia mahukan. Supaya jiwa Iman kita lemah dan kurang pergantungan kepada Tuhan. Supaya kita sibuk dengan dunia sepanjang masa. Duit...duit...duit...

      Anak-anak kecil dibiarkan  bermain sendirian, berjam-jam lamanya di pusat asuhan, atau lebih malang dirasuah dengan gadget supaya tidak menganggu. Anak-anak remaja sepi daripada perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Entahkan solat, entahkan tidak. Asyik lalai dengan hiburan. Suami/isteri makan masak sendiri atau selalu beli di kedai, adakala dibiar tidur tidak berteman, daripada berbicara laki bini, lebih senang berbual dengan teman-teman online.

     Kenapa perlu lagi berniaga untuk suami isteri yang bekerja dengan gaji yang memadai? Apakah rezeki yang diberi Allah ketika ini tidak cukup? Tidak cukup beras untuk diberi makan? Tidak cukup baju untuk dipakai? Atau merasakan khuatir apa yang dimiliki sekarang ini kurang daripada apa yang ada pada orang? Risau berhabisan? 

   Bagaimana mahu cukup dan bagaimana tidak merasa kurang jika kita berkehendak lebih daripada apa yang kita perlukan, tanpa mengikut kemampuan. Usah pakai sepatu Clarks andai kita hanya layak menyarung Bata.

     Jangan kisah dengan orang yang berkereta mewah. Jangan peduli dengan orang yang sebulan sekali renovate rumah. Jangan hiraukan dengan orang yang berbelanja gah, bercuti melancong 3-4 kali umrah. Jangan susah hati anak-anak sendiri dapat baju baru setahun sekali, anak orang lain pakai baju jenama bertukar ganti. Ubah mentaliti.

      Usah hidup dengan memikirkan apa kata orang. Bekerjalah semata-semata mencari keberkatan. Kita jaga Allah, Allah akan jaga kita. Berikanlah hak masa dan kasih sayang yang sepatutnya kepada ahli keluarga. 

       Untuk apa kita pertaruhkan kehidupan akhirat demi mendapat kebahagiaan yang tidak kekal di dunia. Untuk apa kita punya anak, sebaliknya tiada siapa yang mendoakan sekembalinya kita ke dunia sana. 

      Berniagalah dengan niat sekadar untuk mempermudahkan urusan ekonomi keluarga, dan bukan kerana bermatlamat untuk senang dan hidup kaya raya.

        


Thursday 9 February 2017

10 Sebab Gagal Temuduga

            Selain daripada asbab bukan rezeki, untuk berjaya dalam temuduga juga adalah terletak kepada kesungguhan serta usaha. Menghadiri temuduga bukan hanya sekadar membawa CV, sijil-sijil akademik mahupun kemahiran, berpenampilan kemas dan juga OTAK. Tetapi apa yang berlaku, ramai di kalangan calon temuduga yang terlupa atau meninggalkan perkara paling utama dinilai iaitu ATTITUDE. Sila baca.

             Salah satu perkara yang membezakan markah seorang calon dengan calon lain yang sama pada pencapaian akademik dan kecerdasan, ialah sikap dan tingkah laku yang dipamerkan melalui personaliti. Personaliti inilah yang menjadi kayu ukur dan dilihat sebagai kelebihan seseorang untuk diterima bekerja.

1. Over Confident a.k.a Berlagak Bagus

~ Harus diingat terdapat beribu-ribu calon yang dipanggil temuduga untuk sesuatu jawatan. Sedangkan kekosongan yang perlu diisi hanyalah mungkin kurang dari seratus orang. 

~ Kurang berkeyakinan sudah pasti menggagalkan diri seseorang menjadi calon pilihan. Manakala, terlalu yakin pula adalah sikap  yang berlebihan dan keterlaluan.

~ Sungguhpun seseorang calon adalah penerima Anugerah Dekan, Tokoh Canselor di hari graduasi, Juara Debat Perdana ataupun bekas Pekerja Terbaik, ia tidak memberi apa-apa makna sekiranya calon teragak-agak ketika ditanya mengenai skop jawatan dipohon, organisasi berkaitan atau isu semasa yang ada kena mengena dengan pekerjaan. 

~ Sikap sebegini akan memakan diri, apabila calon dilihat tidak bersedia menjawab soalan dengan jawapan yang diinginkan. Sebab itu, adalah penting bagi calon, walau bagus macam mana pun, waimma pengalaman kerja dah sepuluh tahun, perlu membuat sedikit research dan bersedia dengan soalan ramalan sebaik mungkin. Misalnya,

a) Penerangan yang ringkas dan padat mengenai latar belakang diri. Ini bukan bab mengangkat bakul terutama bila bercerita pencapaian. Bandingkan ayat "..kerana sayalah pasukan inovasi universiti dapat johan tahun tu disebabkan sistemnya saya reka lain dari yang lain..." dengan "...saya bersama rakan pasukan menjadi johan pertandingan inovasi di mana peranan saya adalah sebagai jurubina sistem..."

b) Huraian mengenai kelemahan dan kekuatan diri. Berilah jawapan yang merendah diri tetapi bukan merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri dan juga tidak menjelaskan kebodohan akibat terlalu yakin menjawab.

          Kelemahan (Merendah diri) : 
          Saya agak sukar bekerja dalam anggota unit yang bertangguh kerja 

         Kelemahan (Merendah-rendahkan diri) :
         Saya kadang-kala kelam kabut orangnya. Tak tahu nak buat yang mana
         satu dahulu

~ Apapun, berlagak tak bertempat hanyalah memudahkan penemuduga mengurangkan jumlah calon yang mahu disenarai pendekkan. Pastikan anda tidak menjadi salah seorang daripada senarai nama yang dibuang.

2. Bercakap Pelat atau Campur Slang Melayu-Inggeris (Calon Melayu)

~ Tolonglah! Kecuali memang dilahirkan atau dibesarkan lebih lama di negara Mat Saleh berbanding dengan tempoh duduk di negara ini. Ini adalah mentaliti yang memalukan diri terutama bagi calon bangsa Melayu yang memohon pekerjaan di sektor kerajaan.

~ Pilihannya hanya ada dua. Sama ada, bercakap sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris ketika disoal dalam Bahasa Inggeris ataupun bercakap sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia sekiranya ditanya dalam Bahasa Malaysia dengan menggunakan lidah Melayu yang fasih.

~ Apekejadahnya bersalin kulit Mat Saleh celup dengan sebutan huruf r tebal, huruf t nak tersembur air liur, kalau dah terang-terangan memang Melayu tulen? Setakat pernah duduk belajar di luar negara, seharusnya tidak mengubah struktur lidah dan nilai Kemelayuan (jati diri)

~ Padahal seorang calon yang diketahui mempunyai kemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris tahap tip top, tetapi masih mampu berbahasa Malaysia dengan sempurna adalah calon yang lebih berpotensi dan dibanggakan.

3. Gelaran Salah Panggilan Hormat Penemuduga

~ Penemuduga adalah seseorang yang selayaknya dihormati. Jadi, carilah pegawai yang mengurus sesi temuduga yang biasanya berada di luar bilik temuduga untuk bertanyakan siapa yang bakal menemuduga.

~ Sekiranya masih tidak pasti, gunakanlah gelaran kehormat yang selamat seperti Tuan atau Puan. Jangan sekali-kali menggelarkan mereka abang atau kakak walaupun mereka membahasakan diri sedemikian.

~ Penemuduga bukanlah kenalan yang diajak bersembang. Kemungkinan ada penemuduga yang menjadikan sesi soal jawab menjadi santai bagi menghilangkan tekanan calon. Namun tak bererti calon boleh duduk bersilang kaki dan gelak sakan ikut suka hati macam duk di kedai kopi. Jangan lupa, anda sedang diperhati.

4. Berpakaian Ala Raja Sehari 

~ Etika berpakaian yang tidak menepati skema pekerjaan menggambarkan calon sebagai seorang yang tidak sensitif dan peka terutamanya calon perempuan. Adalah dinasihatkan untuk tidak memakai baju jarang, fabrik lace, lycra, warna terang seperti merah menyala, oren, hijau pisang dan seumpamanya yang mengganggu penilaian terhadap calon.

~ Begitu juga dengan aksesori. Walaupun calon adalah rakyat Kelantan yang terkenal dengan perhiasan emas, sesi temuduga bukanlah tempat untuk menunjukkan koleksi peribadi. 

~ Make up sederhana yang menzahirkan diri anda yang positif. Bermekap tebal ke temuduga menunjukkan calon kurang keyakinan diri. 

5. Berbohong

~ Adakala yang berlaku, calon terlewat sampai ke sesi temuduga yang telah ditetapkan. Sekiranya diminta alasan, janganlah mereka-reka cerita dengan harapan alasan anda kedengaran lebih logik untuk diterima. Berkata sahaja yang benar. Walaupun hakikatnya anda bangun tidur lewat. 

~ Tidak jujur adalah pantang larang yang sangat diambil berat semasa temuduga. Sangat berisiko. Ia menterjemahkan keseluruhan personaliti calon. Sekiranya calon ditolak kerana pembohongan, kemungkinan dia akan berjumpa lagi dengan penemuduga yang sama bila mencuba buat kali kedua. Dunia ini tak sebesar mana. 

6. Tidak Menepati Masa Temuduga  

~ Sekiranya masa temuduga pun calon tak boleh patuh, apatah lagi masa-masa dikala bekerja nanti. Tahap disiplin calon sangat diambil kira.

7. Serba Tak Tahu

~ Konon takut soalan perangkap, apapun ditanya cakap ok. "Saya ok je Tuan". "Saya setuju Tuan." Nampak sangat tak tetap pendirian atau langsung takde pengetahuan. 

~ Calon seharusnya cuba menjawab dengan memberi sedikit komen yang bersesuaian menggunakan idea dan kefahaman sendiri. Melainkan calon kerja kerajaan tapi penyokong pihak bertentangan. Jika ditanya soal pendirian politik. Contoh jawapan selamat, "Saya menyokong pihak yang membangunkan kerajaan." Takdelah konflik di situ. Ahaks! 

8. Kurang Berdoa

~ Ingin berjaya dalam temuduga tidak cukup dengan hanya berdoa ketika hendak masuk melangkah ke bilik penemuduga. Berdoalah dengan bersungguh semenjak dari awal memohon pekerjaan sehinggalah mendapat keputusannya kelak. 

~ Doa adalah senjata orang beriman

9. Dokumen Kucar Kacir

~ CV yang tak di update. Gambar diri di resume lima tahun lepas atau gambar selfie syok sendiri. Sijil-sijil sokongan original tak disusun dengan teratur dalam fail dan sebagainya. Secara tidak langsung, menzahirkan calon adalah seorang yang tidak organise dan serius dalam aspek pengurusan kerjaya.

10. Bodoh Sombong

~ Terdapat kalangan penemuduga yang juga gemar untuk trigger dan provoke calon bagi menilai sejauh mana calon dapat mengawal emosi. 

~ Usahlah bertegang urat menegakkan fakta-fakta yang anda tidak tahu atau terbawa-bawa emosi sehingga keluar daripada bilik temuduga tanpa mengucapkan sekurang-kurangnya terima kasih. Dahla bodoh, sombong pula kan.

~ Apa jua situasi yang berlaku, calon harus mengakui kesilapan dalam memberikan jawapan (walaupun diyakini betul) dengan cara yang paling berhikmah dan tenang. "Maaf Tuan. Saya cuma menyampaikan pendapat setakat yang saya tahu. Saya yakin Tuan lebih arif dalam soal ini". 

~ Kena hentam pun, gagahkanlah diri untuk senyum dan ucapkan terima kasih atas peluang yang diberi. Mana tahu dah tertulis rezeki, dapat juga nanti.


           So, selamat menghadiri sesi temuduga. Berjaya atau tidak, itu adalah perkara kedua. Yang penting ialah mengutip pengalaman berharga, berusaha memberikan yang terbaik dalam berhadapan dengan penemuduga yang pelbagai gaya. Semoga pengalaman ini, menambahkan keyakinan dan nilai diri menjadi manusia yang dicari-cari untuk diambil bekerja satu hari nanti. Insya Allah.