Thursday 9 February 2017

10 Sebab Gagal Temuduga

            Selain daripada asbab bukan rezeki, untuk berjaya dalam temuduga juga adalah terletak kepada kesungguhan serta usaha. Menghadiri temuduga bukan hanya sekadar membawa CV, sijil-sijil akademik mahupun kemahiran, berpenampilan kemas dan juga OTAK. Tetapi apa yang berlaku, ramai di kalangan calon temuduga yang terlupa atau meninggalkan perkara paling utama dinilai iaitu ATTITUDE. Sila baca.

             Salah satu perkara yang membezakan markah seorang calon dengan calon lain yang sama pada pencapaian akademik dan kecerdasan, ialah sikap dan tingkah laku yang dipamerkan melalui personaliti. Personaliti inilah yang menjadi kayu ukur dan dilihat sebagai kelebihan seseorang untuk diterima bekerja.

1. Over Confident a.k.a Berlagak Bagus

~ Harus diingat terdapat beribu-ribu calon yang dipanggil temuduga untuk sesuatu jawatan. Sedangkan kekosongan yang perlu diisi hanyalah mungkin kurang dari seratus orang. 

~ Kurang berkeyakinan sudah pasti menggagalkan diri seseorang menjadi calon pilihan. Manakala, terlalu yakin pula adalah sikap  yang berlebihan dan keterlaluan.

~ Sungguhpun seseorang calon adalah penerima Anugerah Dekan, Tokoh Canselor di hari graduasi, Juara Debat Perdana ataupun bekas Pekerja Terbaik, ia tidak memberi apa-apa makna sekiranya calon teragak-agak ketika ditanya mengenai skop jawatan dipohon, organisasi berkaitan atau isu semasa yang ada kena mengena dengan pekerjaan. 

~ Sikap sebegini akan memakan diri, apabila calon dilihat tidak bersedia menjawab soalan dengan jawapan yang diinginkan. Sebab itu, adalah penting bagi calon, walau bagus macam mana pun, waimma pengalaman kerja dah sepuluh tahun, perlu membuat sedikit research dan bersedia dengan soalan ramalan sebaik mungkin. Misalnya,

a) Penerangan yang ringkas dan padat mengenai latar belakang diri. Ini bukan bab mengangkat bakul terutama bila bercerita pencapaian. Bandingkan ayat "..kerana sayalah pasukan inovasi universiti dapat johan tahun tu disebabkan sistemnya saya reka lain dari yang lain..." dengan "...saya bersama rakan pasukan menjadi johan pertandingan inovasi di mana peranan saya adalah sebagai jurubina sistem..."

b) Huraian mengenai kelemahan dan kekuatan diri. Berilah jawapan yang merendah diri tetapi bukan merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri dan juga tidak menjelaskan kebodohan akibat terlalu yakin menjawab.

          Kelemahan (Merendah diri) : 
          Saya agak sukar bekerja dalam anggota unit yang bertangguh kerja 

         Kelemahan (Merendah-rendahkan diri) :
         Saya kadang-kala kelam kabut orangnya. Tak tahu nak buat yang mana
         satu dahulu

~ Apapun, berlagak tak bertempat hanyalah memudahkan penemuduga mengurangkan jumlah calon yang mahu disenarai pendekkan. Pastikan anda tidak menjadi salah seorang daripada senarai nama yang dibuang.

2. Bercakap Pelat atau Campur Slang Melayu-Inggeris (Calon Melayu)

~ Tolonglah! Kecuali memang dilahirkan atau dibesarkan lebih lama di negara Mat Saleh berbanding dengan tempoh duduk di negara ini. Ini adalah mentaliti yang memalukan diri terutama bagi calon bangsa Melayu yang memohon pekerjaan di sektor kerajaan.

~ Pilihannya hanya ada dua. Sama ada, bercakap sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris ketika disoal dalam Bahasa Inggeris ataupun bercakap sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia sekiranya ditanya dalam Bahasa Malaysia dengan menggunakan lidah Melayu yang fasih.

~ Apekejadahnya bersalin kulit Mat Saleh celup dengan sebutan huruf r tebal, huruf t nak tersembur air liur, kalau dah terang-terangan memang Melayu tulen? Setakat pernah duduk belajar di luar negara, seharusnya tidak mengubah struktur lidah dan nilai Kemelayuan (jati diri)

~ Padahal seorang calon yang diketahui mempunyai kemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris tahap tip top, tetapi masih mampu berbahasa Malaysia dengan sempurna adalah calon yang lebih berpotensi dan dibanggakan.

3. Gelaran Salah Panggilan Hormat Penemuduga

~ Penemuduga adalah seseorang yang selayaknya dihormati. Jadi, carilah pegawai yang mengurus sesi temuduga yang biasanya berada di luar bilik temuduga untuk bertanyakan siapa yang bakal menemuduga.

~ Sekiranya masih tidak pasti, gunakanlah gelaran kehormat yang selamat seperti Tuan atau Puan. Jangan sekali-kali menggelarkan mereka abang atau kakak walaupun mereka membahasakan diri sedemikian.

~ Penemuduga bukanlah kenalan yang diajak bersembang. Kemungkinan ada penemuduga yang menjadikan sesi soal jawab menjadi santai bagi menghilangkan tekanan calon. Namun tak bererti calon boleh duduk bersilang kaki dan gelak sakan ikut suka hati macam duk di kedai kopi. Jangan lupa, anda sedang diperhati.

4. Berpakaian Ala Raja Sehari 

~ Etika berpakaian yang tidak menepati skema pekerjaan menggambarkan calon sebagai seorang yang tidak sensitif dan peka terutamanya calon perempuan. Adalah dinasihatkan untuk tidak memakai baju jarang, fabrik lace, lycra, warna terang seperti merah menyala, oren, hijau pisang dan seumpamanya yang mengganggu penilaian terhadap calon.

~ Begitu juga dengan aksesori. Walaupun calon adalah rakyat Kelantan yang terkenal dengan perhiasan emas, sesi temuduga bukanlah tempat untuk menunjukkan koleksi peribadi. 

~ Make up sederhana yang menzahirkan diri anda yang positif. Bermekap tebal ke temuduga menunjukkan calon kurang keyakinan diri. 

5. Berbohong

~ Adakala yang berlaku, calon terlewat sampai ke sesi temuduga yang telah ditetapkan. Sekiranya diminta alasan, janganlah mereka-reka cerita dengan harapan alasan anda kedengaran lebih logik untuk diterima. Berkata sahaja yang benar. Walaupun hakikatnya anda bangun tidur lewat. 

~ Tidak jujur adalah pantang larang yang sangat diambil berat semasa temuduga. Sangat berisiko. Ia menterjemahkan keseluruhan personaliti calon. Sekiranya calon ditolak kerana pembohongan, kemungkinan dia akan berjumpa lagi dengan penemuduga yang sama bila mencuba buat kali kedua. Dunia ini tak sebesar mana. 

6. Tidak Menepati Masa Temuduga  

~ Sekiranya masa temuduga pun calon tak boleh patuh, apatah lagi masa-masa dikala bekerja nanti. Tahap disiplin calon sangat diambil kira.

7. Serba Tak Tahu

~ Konon takut soalan perangkap, apapun ditanya cakap ok. "Saya ok je Tuan". "Saya setuju Tuan." Nampak sangat tak tetap pendirian atau langsung takde pengetahuan. 

~ Calon seharusnya cuba menjawab dengan memberi sedikit komen yang bersesuaian menggunakan idea dan kefahaman sendiri. Melainkan calon kerja kerajaan tapi penyokong pihak bertentangan. Jika ditanya soal pendirian politik. Contoh jawapan selamat, "Saya menyokong pihak yang membangunkan kerajaan." Takdelah konflik di situ. Ahaks! 

8. Kurang Berdoa

~ Ingin berjaya dalam temuduga tidak cukup dengan hanya berdoa ketika hendak masuk melangkah ke bilik penemuduga. Berdoalah dengan bersungguh semenjak dari awal memohon pekerjaan sehinggalah mendapat keputusannya kelak. 

~ Doa adalah senjata orang beriman

9. Dokumen Kucar Kacir

~ CV yang tak di update. Gambar diri di resume lima tahun lepas atau gambar selfie syok sendiri. Sijil-sijil sokongan original tak disusun dengan teratur dalam fail dan sebagainya. Secara tidak langsung, menzahirkan calon adalah seorang yang tidak organise dan serius dalam aspek pengurusan kerjaya.

10. Bodoh Sombong

~ Terdapat kalangan penemuduga yang juga gemar untuk trigger dan provoke calon bagi menilai sejauh mana calon dapat mengawal emosi. 

~ Usahlah bertegang urat menegakkan fakta-fakta yang anda tidak tahu atau terbawa-bawa emosi sehingga keluar daripada bilik temuduga tanpa mengucapkan sekurang-kurangnya terima kasih. Dahla bodoh, sombong pula kan.

~ Apa jua situasi yang berlaku, calon harus mengakui kesilapan dalam memberikan jawapan (walaupun diyakini betul) dengan cara yang paling berhikmah dan tenang. "Maaf Tuan. Saya cuma menyampaikan pendapat setakat yang saya tahu. Saya yakin Tuan lebih arif dalam soal ini". 

~ Kena hentam pun, gagahkanlah diri untuk senyum dan ucapkan terima kasih atas peluang yang diberi. Mana tahu dah tertulis rezeki, dapat juga nanti.


           So, selamat menghadiri sesi temuduga. Berjaya atau tidak, itu adalah perkara kedua. Yang penting ialah mengutip pengalaman berharga, berusaha memberikan yang terbaik dalam berhadapan dengan penemuduga yang pelbagai gaya. Semoga pengalaman ini, menambahkan keyakinan dan nilai diri menjadi manusia yang dicari-cari untuk diambil bekerja satu hari nanti. Insya Allah.

0 comments: