Wednesday 6 January 2016

Mokna & Glasgow_1

Berat badan naik! Arghhh...

Aku rasa antara perkara yang menjadi utmost concern terutama kita yang Muslim ni pasal makanan. Alhamdulillah, setakat ni soal makanan memang tak pernah menjadi masalah.  Jangan tak percaya, tiga minggu duduk sini, berat dah naik sampai 3 kg. Hadoii.. Sedap sangat menikmati kebab Turki dan pizza Arab dekat Maryhill. Seminggu makan kebab je. Kebab kambing kat sini, Masya Allah! So juicy. Marvelous! Pendek kata, jangan risau kalau nak bercuti ke sini. Kat bandar Glasgow pun ada kedai makanan halal. Tapi kalau nak cari yang cop Halal Jakim tu memang tak de la ya.

Kebanyakannya makanan selera Arab. Biryani, nan, kari kambing, ntah apa jenis salad bagai, banyaklah lagi. Tak pun menu Pakistan. Macam-macam manisan ada. Di Glasgow ni, aku tak jumpa lagi kedai makanan masakan Melayu. Kalau ada satey atau nasi goreng, yang jual hanya di restaurant Cina. Mungkin ada di area lain Scotland. Kalaulah ada, nak je cari nasi lemak. Haha..

Kalau tak nak beli makanan siap, nak masak pun boleh. Ada satu tempat namanya Pollokshaws. Majoriti penduduk kat situ Pakistanis. Boleh dikatakan hampir semua kedai makanan area tu menjual makanan yang halal. Kalau nak masak sendiri kat rumah, boleh je beli daging lembu, kambing, ayam, sosej, bahan-bahan mentah yang halal di pasaraya kat sini. Even boleh jumpa macam-macam rempah yang tak jumpa kat Tesco. Menanau aku online google translate. Dah mana tahu nama rempah semua dalam English. Seronok aku sampai situ.

Dalam kepala ni duk fikir nak masak ape eh? Aku beli kacang tanah. Konon nak buat nasi impit. Masalahnya, nasi impit tu nak buat macam mana? Ni la akibat kalau dah setiap kali dulu nak makan nasi impit, beli je yang segera Adabi. Balik rumah rebus. Siap. Ni semua salah Adabi. Haha.. Akhirnya, aku masak tom yam. Lemon grass iaitulah serai yang biasa aku selalu minta ayah ambik je kat kebun belakang rumah, kat sini harganya 6 batang = £2. Hampir RM13 lebih. Rase je nak kunyah serai tu semua.

Ada sekali tu, ntah kenapa tekak ni mengada-ngada nak makan jagung. Musim sejuk macam ni kan memang sedap je nak makan yang rebus-rebus, panas-panas. Tak susah pun nak mendapatkan jagung. Kat Tesco semua ada. Cumanya, harga untuk dua tongkol jagung = £1.45. Lebih kurang RM8 lebih, boleh dapat seplastik penuh kat pasar tani.

Stop. Rasanya aku kena berhenti menilai dan membandingkan sesetengah harga barang di sini dengan Malaysia. Kalau tak, aku tak kan sanggup nak beli apepun. Ahaks!

Sebut pasal makanan halal, aku rasa orang Islam Malaysia lah yang paling bertuah. Siap ada Jakim yang pastikan tahap kehalalan produk makanan yang kita beli. Ditanggung halal. Kat sini, asal yang menjual tu dari negara Islam, kita terpaksa meyakini makanan yang dijual adalah halal. Tapi kita tak tahu cara proses, pembuatan, pengilangan macam mana. Siapa nak tanggung? Well, it’s actually a good chance kalau Jakim or any bodies kat Malaysia yang working on halal labelling expand kat sini, since none had established I guess. To help our Muslims people to be more aware of what are they eating.

Gorbals, Kiblat & Asma

Lagi satu area yang kebanyakkan Muslim di Gorbals. Ikutkan sejarah, ni adalah penempatan Muslim terawal di Glasgow. Sebab tu, masjid utama Glasgow namanya Central Mosque letaknya kat sini. Memang besar masjidnya. Muat lebih 2 ribu jemaah. Mula-mula aku agak keliru dengan waktu solat kat sini. Rupanya waktu masuk asar tu ada khilaf antara mazhab. Ada dua waktu. Waktu yang pertama adalah mengikut Syafi’e.

Aku pun khilaf dengan diri sendiri masa nak pastikan arah kiblat. Walaupun aku duduk dengan family Muslim tapi awalnya aku tak yakin dengan arah kiblat sebab setahu aku arah kiblat menghadap matahari terbenam. Akhirnya teserlahlah kebodohan aku pasal geografi dan pemahaman aku pasal kompas. Huhu..

Memangla semua orang Islam solat menghadap Kaabah, tapi tak semua kedudukan negara sama macam Malaysia! Setelah membuat rujukan, mendownload empat lima application petunjuk kiblat dan setelah berkali-kali mencuba, aku jumpa arah kiblat 118o SouthEast. Arah yang selama ni aku mula solat kat sini. Baru yakin dan tenang. Was-was itu syaitan.

Ikutkan buat masa ni takde la beza benar waktu solat. Yang lain sikit dengan Malaysia, antara Zohor dengan Asar tu pendek. Dalam sejam lebih je. Pukul 6.00 petang dah isya. Masa mula-mula membiasakan diri dengan waktu solat dan waktu siang yang pendek kat sini, aku terpaksa menahan mata untuk tidak terlelap awal. Kalau pukul 7 atau 8 malam dah tertidur, alamatnya terkebil-kebil la mata pukul 2 pagi. Apasal tak siang-siang lagi ni? Haha.. Memang cuaca kat sini sangat menduga kita untuk tidur. Yela, pukul 4 petang dah gelap. Sejuk pulak. Pantang letak kepala. Kat mana-mana pun jadi. ZZzzzz...

Aku pernah sekali solat kat Central Mosque tu. Arahan Imam dalam bahasa urdu. Arahan ye, bukan bacaan dalam solat. Kang silap faham pulak. Pertama, sila off kan handphone dan kedua, rapatkan saf. Tapi aku tetap dapat agak dan mengerti sebab ada perkataan yang lebih kurang macam handphone dan saf. Aku tak pasti pulak macam mana khutbah Jumaat. Mungkin dalam bahasa Inggeris. Bila solat kat sini, sangat-sangat mengingatkan aku suasana solat di masjid masa study di UIA Gombak dulu. Indahnya bila semua Muslim dari pelbagai latar belakang, warna, bahasa, budaya berkumpul untuk satu tujuan. Rindunya.

Masa aku singgah masjid tengah ada edaran makanan untuk orang miskin dan gelandangan by Islamic Relief kalau tak silap. Panjang barisannya. Aku nak tengok dekat tapi tak berani. Aku rasa ni pertama kali aku dapat lihat sendiri keadaan yang macam tu. Sedih dan insaf. Aku kemudian terus naik ke ruang solat wanita di atas. Usai solat, sebelah aku rupanya salah seorang yang menerima bantuan makananan tadi. Aku terpandang pada beg plastik yang dibawa.

Aku bersalaman dan memperkenalkan diri. Dia terus ketawa bila aku beritahu yang aku dari Malaysia. Katanya, ramai orang yang tersilap menyangka dia juga dari Malaysia. ‘So, this is how Malaysian look alike’. Aku pun tergelak. Memang ada wajah orang Melayu.

Namanya Asma dari Bangladesh. Kisahnya dia dah setahun di Glasgow atas tiket refugee. Umur 33 tahun dan dah pun memiliki 3 orang anak. Yang sulung 18 tahun, 16 tahun dan 10 tahun. Terkejut aku. Tak sangka sebab rupa dan fizikal dia langsung tak gaya orang dah berkahwin. Apatah lagi ada anak sedewasa itu. Anak-anak masih di Bangladesh. Dia sedang berusaha mencari kerja. Kalau masih tidak bekerja, dia mungkin akan dihantar balik.

Hidup di sana amat sukar cerita dia. Dia terpaksa berkahwin seusia 14 tahun. Aku tak pasti pulak di mana suami dia. Mungkin diorang sudah tidak lagi bersama. Dia perlu bekerja untuk menyara keluarga. Nampak macam kisah yang sama atau kita biasa dengar pasal pelarian kat mana-mana negara pun. Tapi yang menginsafkan aku dan menambahkan rasa rendah diri, sepanjang dia bercerita, Subhanallah, tenangnya dia. Tersenyum je sepanjang masa. Seolah dia bercerita kisah orang lain pada aku.

Hebatkan. Dari mana datangnya kekuatan seorang wanita yang terpaksa jauh mengembara bersendirian ke sebuah negara asing, dengan bahasa Inggeris yang tersekat-sekat, tanpa duit, tanpa apa-apa sijil akademik, tanpa kemahiran. Allahu Akbar! Jauh aku memikirkan nasib Asma. Bagaimana aku kalau di tempat dia.

Aku berasa sangat ralat sampailah sekarang sebab langsung tak menghulur apa yang ada ketika itu. Sebelum pergi, dia masih sempat mengajak aku bersama turun melihat orang-orang yang masih mengagihkan makanan. Tapi aku terpaksa menolak memandangkan aku juga agak kalut untuk bersiap.

Mengembara seperti ini, sangat membuka mata aku tentang kehidupan. Menambahkan rasa syukur. Meningkatkan nilai kehambaan. Sebab itu aku percaya, kita jangan terlalu risau atau bersedih untuk apa yang kita belum tentu tahu akan terjadi di masa hadapan. Hanya berfikir dan merancang tak mengapa. Ketentuannya itu semua di tangan Dia.

Yang penting apa yang kita lakukan hari ini, segala perbuatan kita hari ini mesti kita lakukan dengan ikhlas dan berlapang dada, positif dan gembira supaya setiap detik akan lebih bermakna dan kita rasa puas melaluinya dengan apa yang kita ada. Sekurangnya-kurangnya kita dapat menikmati hayat sebaiknya kerana esok belum tentu untuk kita.

Setakat ini dulu. Lang May Yer Lum Reek! Slainte!

0 comments: