Saturday 18 February 2017

Kanak-kanak Diberi Kerja Sekolah, Ibu Bapa Perlu Ambil Kisah

"Tiada kajian membuktikan terdapat kebaikan kepada kanak-kanak (preschool) yang dibekalkan dengan kerja sekolah. Semuanya adalah tekanan dan tidak memberikan sebarang hasil." Kenyataan oleh Alfie Kohn (Pakar Pendidikan & Keibubapaan) dalam artikel parenting.blogs.nytimes.com.

Sumber : kidspot.com.au
            Aku yakin ramai yang berbeza pendapat berkaitan hal ini. Al-maklumlah, bab mendidik ni pun punya banyak mazhab. Biarpun masih ada yang menyatakan terdapat faedah, aku tetap 100% bersetuju, setelah menghabiskan masa 5-6 jam di tadika, memberikan kerja sekolah kepada kanak-kanak tadika (4-6 tahun) dalam bentuk latihan seperti menulis, mewarna, menampal dan sebagainya adalah tidak praktikal. 

1. Masa di rumah adalah ruang untuk kanak-kanak berehat & bermain dengan ahli keluarga.
2. Kanak-kanak perlu dibantu untuk membuat aktiviti menulis, melukis, mengira dan sebagainya bagi menimbulkan keseronokan serta membina perkembangan minda. Tidak semua ibu bapa dapat menumpukan perhatian melayan karenah kanak-kanak membuat kerja rumah.
3. Tanpa perhatian dan sokongan, menyiapkan kerja sekolah bersendirian mendorong kanak-kanak membuatnya dalam keadaan 'paksa-rela'.

          Realitinya, ibu bapa yang tak sibuk di rumah pun, lebih selesa bagi anak-anak main gadget, apatah lagi dengan ibu bapa yang memang dah sibuk setiap masa. Ahakss! Walaubagaimanapun terdapat kaedah lain yang boleh menggantikan kerja sekolah:

1. Memberi latihan penjagaan / pengurusan diri seperti meminta kanak-kanak mencuci tangan sebelum dan selepas makan, meletakkan kasut di rak, menyimpan barang mainan, sikat rambut dan sebagainya apabila di rumah.
2. Menggalakkan pembacaan dengan meminta mereka mengenalpasti imej ataupun label pada produk makanan seperti huruf C pada Cornfleks, M pada Milk, etc semasa bersarapan di rumah.
3. Mendorong kanak-kanak menyelesaikan masalah mudah (problem solving skills) seperti membuka tin susu.
4. Membantu kanak-kanak membina keyakinan diri dengan memberikan peluang membuat keputusan (desicion making skills) seperti memilih menu ketika di kedai makan.

          Ini hanyalah sebahagian daripada kaedah. Jadinya, ibu bapa yang merasakan kerja sekolah adalah suatu bebanan daripada aspek masa, emosi ibu bapa mahupun kanak-kanak sendiri, haruslah berbincang dengan cikgu tadika anak-anak mereka. 

         Janganlah apabila cikgu tadika memaklumkan terdapat kerja sekolah, ibu bapa terus mendesak anak-anak untuk memastikan kerja tersebut disiapkan. Di peringkat ini, alam pembelajaran kanak-kanak seharusnya menjadi momen yang menyeronokkan bukan sebaliknya membiarkan mereka menyiapkan kerja sekolah bersendirian dan merasa tertekan.

         Apa yang kita cuba elakkan ialah kejadian-kejadian seperti ini Dipukul Tak Siap Kerja Sekolah Terdapat banyak kemungkinan dan tak mustahil salah satunya kerana dari kecil kanak-kanak diberi gambaran yang salah berkaitan tanggungjawab terhadap kerja sekolah.

        Hak kanak-kanak adalah untuk riang gembira bersama keluarga. Mereka punya masa yang panjang lagi untuk mengenali apa itu kerja sekolah dalam kamus hidup zaman kanak-kanak!

0 comments: