Saturday 11 February 2017

Ibu Bapa Kerja Pejabat Yang Berniaga: Bimbang Tak Cukup atau Takut Kurang?

      Aku adakala tertanya-tanya. Apakah tujuan sebenar orang sekarang berniaga? Aku yakin dengan situasi masyarakat pada hari ini, dalam kelompok sepuluh orang, pasti akan ada dua orang yang berniaga. Tak kiralah berniaga dropship online ke, berniaga produk buatan sendiri ke, berniaga perkhidmatan atau sebagainya. Janji berniaga.

     Aku tak hairan kalau yang berniaga ini adalah di kalangan golongan yang berpendapatan rendah ataupun hanya salah seorang di antara pasangan suami isteri sahaja yang bekerja. Apatah lagi yang menyara anak lebih daripada tiga orang. Aku rasa anak tiga orang pun sudah besar kos sara hidup yang ditanggung ketua keluarga dengan kenaikan harga barang. 
     
    Apapun, yang aku musykilkan adalah dengan golongan berpendapatan sederhana (RM2,000-RM3,000) mahupun bergaji lebih besar di mana suami isteri kedua-duanya bekerja tetap dan makan gaji setiap bulan. 

   Adakah berniaga merupakan solusi untuk menambah pendapatan, menampung masalah kewangan, sekadar mengikut sunnah nabi atau suka-suka macam hobi? 

     Tidak ada salahnya untuk berniaga. Persoalannya, andaikata dua-dua bekerja dan membuat kerja sampingan dengan berniaga, siapakah yang fokus menjaga hal-ehwal keluarga? Dan sejauh mana pula usaha berniaga tersebut dapat menjamin status HALAL hasil yang diperolehi dengan kekangan tenaga dan masa?

        Bukan apa, aku berkira-kira dengan tempoh 24 jam yang perlu diisi oleh kitaran manusia normal yang membuat dua ke tiga kerja dalam sehari.

8.00 pagi - 5.00 petang
9 jam bekerja di pejabat

5.00 petang - 10.00 malam
4 jam 30 minit di rumah (tolak setengah jam kesesakkan perjalanan balik) 

-1 jam menyediakan makan & minum keluarga
-1 jam makan malam & rehat
-2 jam membersihkan diri, memastikan anak-anak solat & mengajar anak membaca al-Quran
-Hanya baki 30 minit menyemak kerja sekolah anak-anak, bertanya khabar anak-anak, suami/isteri

Sumber : Small Business.co.uk
10.00 malam - 12.00 t/malam
2 jam di rumah (menghadap laptop@smart phone)
Respon customer dan menyiapkan urusan tempahan dlln yang berkaitan perniagaan

6.00 pagi
Bangun, solat, siapkan anak-anak, ke tempat kerja

Hidup tak ubah seumpama robot di kilang,kan? Macam tak punya rasa letih. Realitinya, berniaga memerlukan komitmen dan masa yang lebih daripada 2 jam. Masa siapa yang terpaksa dikorbankan kerana mahu mengejar pendapatan berganda?

Di Pejabat

1.Pernahkah melayan whatsapp/ text customer diwaktu pejabat?
2.Pernahkah menggunakan peralatan pejabat (kertas, dakwat printer, komputer, telefon) bagi urusan perniagaan?
3.Pernahkah keluar waktu pejabat atas sebab berjumpa customer atau mengepos barang tempahan walau sekejap?
4.Pernahkah claim elaun kerja lebih masa di pejabat walhal tidak membuat tugasan tetapi menyelesaikan urusan perniagaan?

Di Rumah 

1.Adakah setelah pulang ke rumah dari pejabat, di kepala sibuk memikirkan  tempahan berbanding ibadah seperti solat, mengaji Al-Quran, makan minum keluarga?
2.Adakah lebih banyak masa diluangkan melayan customer di media sosial berbanding dengan melayan dan bersembang bersama suami/isteri & anak-anak atau menziarahi saudara-mara di waktu kelapangan?
3. Apakah tidak ada kesempatan dalam seminggu untuk memberi ruang kepada diri sendiri membaca al-Quran atau menghadiri kuliah agama?

      Sekiranya ada salah satu di antara soalan yang dijawab YA, bak kata Prof. Dr. Muhaya, "Kita kena audit semula nawaitu kita". Sebab kita terkadang khilaf dengan tuntutan hidup di dunia. Penuh ujian dan tipu daya. Peringatan buat diri aku sendiri serta sesiapa yang membaca.

       Kita ditakutkan dengan pelbagai isu kewangan, kemiskinan, ketidakstabilan ekonomi sehingga mendorong kita jadi bimbang dan mengenepikan perkara-perkara lain yang seharusnya menjadi keutamaan. Pengisian jiwa anak-anak, pemantapan ilmu agama, perkembangan sosial dan sahsiah keluarga dan sebagainya.

      Inilah apa yang dunia mahukan. Supaya jiwa Iman kita lemah dan kurang pergantungan kepada Tuhan. Supaya kita sibuk dengan dunia sepanjang masa. Duit...duit...duit...

      Anak-anak kecil dibiarkan  bermain sendirian, berjam-jam lamanya di pusat asuhan, atau lebih malang dirasuah dengan gadget supaya tidak menganggu. Anak-anak remaja sepi daripada perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Entahkan solat, entahkan tidak. Asyik lalai dengan hiburan. Suami/isteri makan masak sendiri atau selalu beli di kedai, adakala dibiar tidur tidak berteman, daripada berbicara laki bini, lebih senang berbual dengan teman-teman online.

     Kenapa perlu lagi berniaga untuk suami isteri yang bekerja dengan gaji yang memadai? Apakah rezeki yang diberi Allah ketika ini tidak cukup? Tidak cukup beras untuk diberi makan? Tidak cukup baju untuk dipakai? Atau merasakan khuatir apa yang dimiliki sekarang ini kurang daripada apa yang ada pada orang? Risau berhabisan? 

   Bagaimana mahu cukup dan bagaimana tidak merasa kurang jika kita berkehendak lebih daripada apa yang kita perlukan, tanpa mengikut kemampuan. Usah pakai sepatu Clarks andai kita hanya layak menyarung Bata.

     Jangan kisah dengan orang yang berkereta mewah. Jangan peduli dengan orang yang sebulan sekali renovate rumah. Jangan hiraukan dengan orang yang berbelanja gah, bercuti melancong 3-4 kali umrah. Jangan susah hati anak-anak sendiri dapat baju baru setahun sekali, anak orang lain pakai baju jenama bertukar ganti. Ubah mentaliti.

      Usah hidup dengan memikirkan apa kata orang. Bekerjalah semata-semata mencari keberkatan. Kita jaga Allah, Allah akan jaga kita. Berikanlah hak masa dan kasih sayang yang sepatutnya kepada ahli keluarga. 

       Untuk apa kita pertaruhkan kehidupan akhirat demi mendapat kebahagiaan yang tidak kekal di dunia. Untuk apa kita punya anak, sebaliknya tiada siapa yang mendoakan sekembalinya kita ke dunia sana. 

      Berniagalah dengan niat sekadar untuk mempermudahkan urusan ekonomi keluarga, dan bukan kerana bermatlamat untuk senang dan hidup kaya raya.

        


0 comments: